Tuesday, May 24, 2016

Iktibar Dari Ucapan Al Rabi Bin Khatim


Tajuk sorotan kita adalah mengenai ungkapan tokoh tabi’i kenamaan, al-Rabi’ bin Khaitim (رضي الله عنه) (W 65H). Beliau adalah teman baik Abdullah bin Mas’ud (رضي الله عنه). Abdullah sangat memuliakan tokoh tabi’i ini dan pernah mengucapkan, "Setiap kali saya menyaksikan anda, saya teringat para ahli ibadat (المخبتين). Seandainya Rasulullah melihat anda, nescaya baginda akan mencintai anda."

Ulama kenamaan, Sya’bi (رحمه الله) pernah berkata Rabi’ termasuk para siddiqin yang murni yang terkenal dengan sifat waraknya. Ungkapan al-Rabi’ yang hendak kita teliti ini berbunyi: ‘Jika saya amati keadaan kita, dan dibandingkan dengan para sahabat Rasul (رضوان الله عليهم), kita ini bagaikan penjahat (penyamun) belaka.’ Sungguh menarik kisah saat ungkapan ini terkeluar dari mulut Rabi‘.


Ketika beliau jatuh sakit, dua sahabat beliau Hilal bin Isaf, bersama Munzir bin Ya’la al-Tsauri (هلال بين إساف و المنذر بن يعلى الثوري) datang menjenguk. Sebelum sampai di rumah Rabi’, Munzir berbincang dengan Hilal. ‘Bagaimana pendapatmu, perlukah kita tanya terlebih dahulu kepada Syeikh Rabi’ mengenai keinginan dan permintaannya. Atau sebaiknya kita berdiam diri sahaja. Mungkin dia akan meminta sesuatu dari kita.’

Kata Hilal, ‘Percayalah, jika kamu duduk satu tahun penuh di hadapan Rabi’, beliau tidak akan buka mulut bercakap denganmu, kecuali jika kamu yang mula bercakap dahulu. Pasti beliau tidak akan mendahului percakapan kerana beliau sentiasa berzikrullah; dan diamnya hanyalah untuk berfikir. Hidupnya hanya zikir dan fikir.

Kata Munzir, ‘Baiklah, dengan mengharapkan keberkatan Allah, kita berangkat sahaja ke rumah beliau.’



Sesampai di hadapan Rabi’, dua orang sahabat ini mengucapkan salam dan bertanya ‘Bagaimana kedaan Syeikh?'

Rabi’ menjawab, ‘Saya hamba yang daif, lemah, dan bergelimang dosa. Saya masih mampu makan sementara menunggu saat ajal tiba.’

Hilal mengajukan usulan, ‘Di kota Kufah ini sekarang ada doktor pakar. Jika Syeikh mengizinkan, kami boleh memanggilnya datang ke sini untuk cuba merawat Syeikh.’

Kata Rabi’, ‘Wahai Hilal, saya yakin berubat itu memang dianjurkan. Namun saya perhatikan kaum ‘Ad, kaum Tsamud, Ashabur Rass(أصحاب الرس), dan kaum-kaum yang lain masih banyak lagi. Kehidupan mereka serba maju, banyak harta benda keduniaan, badan mereka jauh lebih kuat dan tegap dibandingkan dengan kita sendiri. Dalam kalangan mereka juga ada doktor dan pesakit, namun doktor dan pesakit tersebut semuanya lenyap binasa. Andainya penyakit yang menjadi masalah, nescaya kita sudah berhasil mengatasinya.’

Munzir bertanya ‘Lantas, apa sebenarnya penyakit yang dimaksudkan, wahai Tuan Syeikh?’

Jelas beliau ‘DOSA.’

Munzir bertanya lagi, ‘Ubatnya apa?’

Kata Syeikh ‘Ubatnya ialah ISTIGHFAR.’

Munzir bertanya lagi ‘Kesembuhan dari penyakit ini bagaimana?’

Jelas Syeikh, ‘Mesti BERTAUBAT, sesudah itu jangan diulang lagi dosa itu.’ Rabi’ memandang kedua sahabat beliau itu dengan lebih fokus dan meyakinkan, ‘Peliharalah hati kamu. Apa yang ada dalam hatimu tidak diketahui manusia. Namun bagi Allah tidak ada yang tersembunyi. Carilah ubat hati ini.’

Munzir bertanya ‘Apa ubatnya?’

Kata Syeikh ‘Taubat yang murni.’ Sejenak kemudian Rabi’ menangis sehingga basah janggutnya.

Munzir justeru bertanya, ‘Mengapa tuan menangis? Tuan adalah personaliti yang cukup terkenal dengan kesolehan.’

Rabi’ menjelaskan, ‘Sungguh jauh sekali keadaan kita ini. Mengapa saya tidak menangis, saya sendiri mendapati generasi gemilang. Jika mereka dibandingkan dengan kita ini, kita ini bagaikan penjahat dan pencuri belaka.’ (Generasi yang beliau maksudkan adalah sahabat Rasulullah (صلى الله عليه وسلم).


PENGAJARAN DAN IKTIBAR

1. Keharusan mengemukakan dan memuji kebaikan solihin.
2. Termasuk sifat solihin: ahli ibadat, mencintai solihin, dan bersifat sidq (الصدق).
3. Menjenguk sahabat yang sakit.
4. Berbincang dengan sahabat yang soleh.
5. Berdiam diri dari kata-kata yang tidak bermanfaat.
6. Tutur kata mukmin ‘zikir,’ diamnya ‘fikir’ (zikir & fikir).
7. Bertanya tentang perihal sahabat yang sakit.
8. Ungkapan kata mukmin merendah DIRI dan tawaduk.
9. Menawarkan bantuan kepada sahabat yang sakit.
10. Tawakal yang tinggi satu solusi di samping upaya berubat.
11. Semua manusia akan lenyap binasa.
12. Penyakit rohani tidak kalah pentingnya daripada penyakit jasmani.
13. Penyakit rohani yang paling asas adalah dosa yang wajib dirawat dengan istighfar.
14. Kesembuhan daripada penyakit dosa apabila si hamba meninggalkan dosa tersebut.
15. Permasalahan hati perkara yang sangat mendasar.
16. Allah menilik dan menilai hati dan amalan zahir hamba-Nya.
17. Hati memerlukan taubat yang murni.
18. Tangisan solihin untuk muhasabah dan cermin diri.
19. Dalam hal ketaatan perlu mendongak ke atas, jangan tunduk ke bawah.
20. Dalam hal kebendaan, jangan melihat ke atas.
21. Cermin diri untuk menyingkap kelemahan sendiri.
22. Si mukmin perlu belajar dari sejarah gemilang generasi awal, sahabat, tabiin, dan sebagainya.
23. Kepekaan mukmin terhadap keadaan umat semasa dan persekitaran yang serba kurang.
24. Iman dan keyakinan solihin mengukir keajaiban dalam sejarah umat.
25. Pada dasarnya umat terdahulu jauh lebih baik dari yang kemudian.
26. Beruntunglah individu mukmin yang mahu mengikuti contoh yang baik.
27. Menyingkap kisah cemerlang solihin dapat melenyapkan kedahagaan rohani mukmin.
28. Kehidupan para solihin dalam tuntunan Ilahi, dan dalam kawalan malaikat.
29. Dalam hal ini dapat kita ukur melalui: solat berjemaah, solat nawafil, tilawah, sedekah, muamalah, dll.
30. Demikian juga melalui cinta ilmu, semangat pengorbanan, dan berdakwah.
31. Bercermin diri melalui kisah solihin adalah termasuk tuntutan ayat Ummul Kitab yang dibaca siang malam.
32. Kisah solihin adalah jalan pintas untuk mengenal Islam.
33. Mencintai solihin menuntun Mukmin ke arah mencintai al-Maula SWT.
34. Semakin banyak kisah solihin yang diketahui, perjalanan hidup akan lebih terarah.
35. Tuntunlah diri dan keluarga kita dengan kisah solihin.

[Tazkirah Ustaz Ahmad Asri Lubis di Surau Al Ehsan, Bandar Baru Bangi, Selangor]

No comments:

Post a Comment