Wednesday, May 4, 2016

Peristiwa Ajaib Israk Dan Mikraj



Peristiwa Israk dan Mikraj berlaku pada 27 Rejab, setahun sebelum Hijrah Nabi Muhammad s.a.w. dari Makkah ke Madinah. Perjalanan Rasulullah s.a.w. bersama malaikat Jibril dan Mikail itu boleh dibahagikan kepada dua fasa:

Israk iaitu perjalanan Nabi Muhammad s.a.w. menaiki binatang Buraq dari Masjidil Haram di Makkah ke Masjidil Aqsa, di Baitulmaqdis, Palestin.
Mikraj ialah perjalanan dari Masjidil Aqsa ke Sidratil Muntaha di langit ketujuh. Perjalanan Nabi Muhammad s.a.w. ini telah diabadikan oleh Allah سبحانه وتعالS.W.T. di dalam Al-Quran:
Firman-Nya:

سُبْحَانَ الَّذِي أَسْرَىٰ بِعَبْدِهِ لَيْلًا مِّنَ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ إِلَى الْمَسْجِدِ الْأَقْصَى الَّذِي بَارَكْنَا حَوْلَهُ لِنُرِيَهُ مِنْ آيَاتِنَاۚ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ الْبَصِيرُ ﴿١

“Maha Suci Allah yang telah memperjalankan hamba-Nya pada suatu malam dari Al-Masjidil Haram ke Al-Masjidil Aqsa yang telah kami berkati sekelilingnya agar Kami perlihatkan kepadanya sebahagian dari tanda-tanda kebesaran Kami. Sesungguhnya Dia Maha Mendengar lagi Maha Melihat.” (Surah Al-Israa’: Ayat 1).

.

Menariknya, keseluruhan perjalanan Rasulullah s.a.w. hanya berlangsung pada satu malam. Sebagaimana difahami daripada firman Allah dalam ayat tadi di mana Allah menegaskan “asra bi ‘abdihi lailan” yang bermaksud memperjalankan hamba-Nya pada waktu malam. Perkataan hamba yang dimaksudkan di sini iaitu Nabi Muhammad ﷺ yang mana meliputi batang tubuh dan rohnya serentak bukan rohnya sahaja. Jika ia berlaku pada rohnya sahaja maka sudah tentu firman Allah itu berbunyi “asra bi rohi ‘abdihi lailan” yang bermaksud memperjalankan roh hamba-Nya pada waktu malam, tetapi yang berlaku sebaliknya di mana Allah secara jelas menyatakan bahawa Dia telah memperjalankan hamba-Nya iaitu Nabi Muhammad s.a.w. dalam keadaan tubuh dan rohnya serentak.

Rasulullah s.a.w. menceritakan apa segala yang berlaku kepada masyarakat umum tetapi orang-orang kafir mengejek dan mendustakan Baginda. Fitnah terhadap Baginda s.a.w. bertambah kuat, malah ada juga yang sebelum ini telah memeluk Islam namun murtad kembali. Bagi mereka yang percaya, iman mereka tetap utuh contohnya Sayyidina Abu Bakar.

Sebelum melalui kejadian Israk dan Mikraj, Nabi Muhammad s.a.w. mengalami pembedahan dada yang dilakukan oleh malaikat Jibrail dan Mika’il. Hati Baginda s.a.w. dicuci dengan air zamzam serta dibuang ketulan hitam (‘alaqah) iaitu tempat syaitan membisikkan waswas. Kemudian dituangkan hikmah, ilmu dan iman ke dalam dada Baginda. Setelah itu, dada Baginda dijahit dan dimeterikan dengan “khatimin nubuwwah”.Selesai pembedahan, didatangkan binatang bernama “Buraq” untuk ditungganginya dalam perjalanan luar biasa yang dinamakan “Israk.”

Sepanjang perjalanan (Israk) itu Nabi Muhammad s.a.w. ditemani oleh malaikat Jibrail dan Israfil. Tiba di tempat-tempat yang mulia dan bersejarah, Rasulullah s.a.w. diarahkan oleh Jibrail supaya berhenti dan bersolat sebanyak dua rakaat.

Di antara tempat-tempat berkenaan adalah:

Negeri Thaibah (Madinah), tempat Rasulullah s.a.w. akan melakukan hijrah.
Bukit Tursina, iaitu tempat Nabi Musa a.s. menerima wahyu daripada Allah S.W.T.
Baitul-Laham (tempat Nabi Isa a.s. dilahirkan);


Dalam perjalanan itu juga Nabi Muhammad s.a.w. menghadapi gangguan jin ‘Afrit dengan api jamung dan dapat menyaksikan peristiwa-peristiwa simbolik yang amat ajaib. Di antara peristiwa-peristiwa tersebut adalah seperti berikut :

Kaum yang sedang bertanam dan terus menuai hasil tanaman mereka. Apabila dituai, hasil (buah) yang baru keluar semula seolah-olah belum lagi dituai. Hal ini berlaku berulang-ulang. Rasulullah s.a.w. diberitahu oleh Jibrail: “Itulah kaum yang berjihad “Fisabilillah” yang digandakan pahala kebajikan sebanyak 700 kali ganda bahkan sehingga gandaan yang lebih banyak.”

Tempat yang berbau harum. Jelas Jibrail: "Itulah bau kubur Masyitah (tukang sisir rambut anak Fir’aun) bersama suaminya dan anak-anaknya (termasuk bayi yang dapat bercakap untuk menguatkan iman ibunya) yang dibunuh oleh Fir’aun kerana tetap teguh beriman kepada Allah S.W.T. (tidak mahu mengakui Fir’aun sebagai Tuhan).”

Sekumpulan orang yang sedang memecahkan kepala mereka. Setiap kali dipecahkan, kepala mereka sembuh kembali, lalu dipecahkan pula. Demikian dilakukan berkali-kali. Jibrail memberitahu: “Itulah orang yang berat kepala mereka untuk sujud (solat).”

Sekumpulan orang yang hanya menutup kemaluan mereka (qubul dan dubur) dengan secebis kain. Mereka dihalau seperti binatang ternakan. Mereka makan bara api dan batu dari neraka Jahannam. Kata Jibrail: “Itulah orang yang tidak mengeluarkan zakat harta mereka.”

Satu kaum, lelaki dan perempuan, memakan daging mentah yang busuk sedangkan daging masak ada di sisi mereka. Kata Jibrail: “Itulah lelaki dan perempuan yang melakukan zina sedangkan lelaki dan perempuan itu masing-masinh mempunyai isteri / suami.”

Lelaki yang berenang dalam sungai darah dan dilontarkan batu. Kata Jibrail: “Itulah orang yang makan riba.”

Lelaki yang menghimpun seberkas kayu dan dia tidak terdaya memikulnya, tetapi ditambah lagi kayu yang lain. Kata Jibrail: “Itulah orang tidak dapat menunaikan amanah tetapi masih menerima amanah yang lain.”

Satu kaum yang sedang menggunting lidah dan bibir mereka dengan gunting besi berkali-kali. Setiap kali digunting, lidah dan bibir mereka kembali seperti biasa. Kata Jibrail: “Itulah orang yang membuat fitnah dan mengatakan sesuatu yang dia sendiri tidak melakukannya.”

Kaum yang mencakar muka dan dada mereka dengan kuku tembaga mereka. Kata Jibrail: “Itulah orang yang memakan daging manusia (mengumpat) dan menjatuhkan maruah (mencela, menghinakan) orang.”

Seekor lembu jantan yang besar keluar dari lubang yang sempit. Tidak dapat dimasukinya semula lubang itu. Kata Jibrail: “Itulah orang yang bercakap besar (Takabbur). Kemudian menyesal, tetapi sudah terlambat.”

Seorang perempuan dengan dulang yang penuh dengan pelbagai perhiasan. Rasulullah s.a.w. tidak memperdulikannya. Kata Jibrail: Itulah dunia. “Jika Rasulullah s.a.w. memberi perhatian kepadanya, nescaya umat Islam akan mengutamakan dunia daripada akhirat.”

Seorang perempuan tua duduk di tengah jalan dan menyuruh Rasulullah s.a.w. berhenti. Rasulullah s.a.w. tidak menghiraukannya. Kata Jibrail: “Itulah orang yang mensesiakan umurnya sampai ke tua.”

Seorang perempuan bongkok tiga menahan Rasulullah s.a.w. untuk bertanyakan sesuatu. Kata Jibrail: “Itulah gambaran umur dunia yang sangat tua dan menanti saat hari kiamat.”

Setibanya di masjid Al-Aqsa, Nabi Muhammad s.a.w. turun dari Buraq. Kemudian masuk ke dalam masjid dan mengimamkan solat dua rakaat dengan segala anbia` dan mursalin menjadi makmum.

Nabi Muhammad s.a.w. terasa dahaga, lalu dibawa Jibrail dua bekas yang berisi arak dan susu. Rasulullah s.a.w. memilih susu lalu diminumnya. Kata Jibrail: “Baginda s.a.w. membuat pilhan yang betul. Jika arak itu dipilih, nescaya ramai umat baginda akan menjadi sesat.”


SEMASA MIKRAJ:

Tujuan naik ke Hadhratul-Qudus untuk menemui Allah S.W.T. Didatangkan Mikraj (tangga) yang indah dari syurga. Nabi Muhammad s.a.w. Jibrail naik ke atas tangga pertama lalu terangkat ke pintu langit dunia (pintu Hafzhah).

DI TANGGA PERTAMA:

Nabi Muhammad s.a.w. dan Jibrail masuk ke langit pertama lalu berjumpa dengan Nabi Adam a.s. Baginda dapat melihat orang yang makan riba` dan harta anak yatim, orang berzina dengan rupa dan kelakuan sangat hodoh. Penzina lelaki bergantung pada susu penzina perempuan.

DI TANNGA KEDUA:

Nabi Muhammad s.a.w. dan Jibrail naik tangga langit yang kedua, lalu masuk dan bertemu dengan Nabi ‘Isa a.s. dan Nabi Yahya a.s.

Di Tangga Ketiga:

Naik langit ketiga, Rasulullah s.a.w. bertemu dengan Nabi Yusuf a.s.

DI TANGGA KEEMPAT:

Naik tangga langit keempat, Rasulullah s.a.w bertemu dengan Nabi Idris a.s.

DI TANGGA KELIMA:

Naik tangga langit kelima, Rasulullah s.a.w. bertemu dengan Nabi Harun a.s. yang dikelilingi oleh kaumnya Bani Israil.

DI TANGGA KEENAM:

Naik tangga langit keenam, Nabi Muhammad s.a.w. bertemu dengan Nabi-Nabi. Seterusnya dengan Nabi Musa a.s. Rasulullah s.a.w. mengangkat kepala (disuruh oleh Jibrail) lalu dapat melihat umat baginda sendiri yang ramai, termasuk 70,000 orang yang masuk syurga tanpa hisab.

DI TANGGA KETUJUH:

Naik tangga langit ketujuh dan masuk langit ketujuh lalu bertemu dengan Nabi Ibrahim Khalilullah yang sedang bersandar di Baitul-Ma’mur dihadapi oleh beberapa kaumnya. Kepada Rasulullah s.a.w. Nabi Ibrahim A.S. bersabda, “Dikau akan berjumapa dengan Allah S.W.T. pada malam ini. Umatmu adalah akhir umat dan terlalu dha’if, maka berdoalah untuk umatmu. Suruhlah umatmu menanam tanaman syurga iaitu:

“LAH HAULA WALA QUWWATA ILLA BILLAH.”

Mengikut riwayat lain, Nabi Ibrahim a.s.. bersabda, “Sampaikan salamku kepada umatmu dan beritahu mereka, syurga itu baik tanahnya, tawar airnya dan tanamannya ialah lima kalimah, iaitu:

“SUBHANALLAH, WAL-HAMDULILLAH, WA LA ILAHA ILLALLAH ALLAHU AKBAR dan WA LA HAULA WA LA QUWWATA ILLA BILLAHIL- ‘ALIYYIL-‘AZHIM.”

Bagi orang yang membaca setiap kalimah ini akan ditanamkan sepohon pokok dalam syurga.”

Setelah melihat beberpa peristiwa ajaib yang lain, Rasulullah s.a.w. dan Jibrail masuk ke dalam Baitul-Makmur dan bersolat (Baitul-Makmur ini betul-betul di atas Baitullah di Makkah).

DI TANGGA KELAPAN:

Di sinilah disebut “al-Kursi” yang berbetulan dengan dahan pokok Sidratul-Muntaha. Rasulullah S.A.W. menyaksikan pelbagai keajaiban pada pokok itu. Sungai air yang tIDak berubah, sungai susu, sungai arak dan sungai madu lebah. Buah, daun, batang dan dahannya berubah-ubah warna dan bertukar menjadi permata-PERMATA yang indah. Unggas emas berterbangan. Semua keindahan itu tidak terfikirkan oleh manusia. Baginda s.a.w. dapat menyaksikan juga sungai Al-Kautsar yang terus masuk ke syurga. Seterusnya baginda masuk ke syurga dan melihat neraka beserta dengan Malik penunggunya.

DI TANGGA KESEMBILAN:

Di sini berbetulan dengan pucuk pokok Sidratul-Muntaha, Rasulullah S.A.W. Masuk di dalam nur dan naik ke Mustawa dan Sharirul-Aqlam. Lalu dapat melihat seorang lelaki yang ghaib di dalam nur ‘Arasy, iaitu lelaki di dunia yang lidahnya sering basah berzikir, hatinya tertumpu penuh kepada masjid dan tidak memaki ibu bapanya.

DI TANGGA KESEPULUH:

Rasulullah s.a.w. sampai di Hadhratul-Qudus dan Hadhrat Rabbul-Arbab lalu dapat menyaksikan Allah s.a.w. dengan mata kepalanya, lantas sujud. Kemudian berlakulah dialog antara Allah S.W.T. dan Muhammad, Rasul-Nya:

Allah S.W.T.: “Ya Muhammad!”

Nabi Muhammad s.a.w.: “Labbaika.”

Allah S.w.T.: “Angkatlah kepalamu dan bermohonlah, Kami perkenankan.”

Nabi Muhammad s.a.w.: “Wahai Tuhanku! Dikau telah ambil Ibrahim sebagai Khalil dan Dikau berikan dia kerajaan yang besar. Dikau berkata-kata dengan Musa. Dikau berikan Dawud kerajaan yang besar dan dapat melembutkan besi. Dikau kurniakan kerajaan kepada Sulaiman yang tidak Dikau kurniakan kepada sesiapa pun dan memudahkan Sulaiman menguasai jin, manusia, syaitan dan angin. Dikau ajarkan ‘Isa Taurat dan Injil. Dengan izin-Mu, dia dapat menyembuhkan orang buta, orang sufaq dan menghidupkan orang mati. Dikau lindungi dia dan ibunya daripada syaitan.”

Allah S.W.T.: “Aku ambil kamu sebagai kekasih. Aku perkenankanmu sebagai penyampai berita gembira dan amaran kepada umatmu. Aku buka dadamu dan buangkan dosamu. Aku jadikan umatmu sebaik-baik umat. Aku beri keutamaan dan keistimewaan kepadamu pada hari qiamat. Aku kurniakan tujuh ayat (Surah Al-Fatihah) yang tidak aku kurniakan kepada sesiapa sebelummu. Aku berikanmu ayat² di akhir surah al-Baqarah sebagai suatu perbendaharaan di bawah ‘Arasy. Aku berikan habuan daripada kelebihan Islam, hijrah, sedekah dan amar makruf dan nahi munkar. Aku kurniakanmu panji-panji Liwa-ul-hamd, maka Adam dan semua yang lainnya di bawah panji-panjimu. Dan aku fardhukan ke atasmu dan umatmu lima puluh (waktu) solat.”

Selesai munajat, Nabi Muhammad s.a.w. dibawa menemui Nabi Ibrahim a.s. yang kemudiannya menyuruh Rasulullah s.a.w. merayu kepada Allah agar diberi keringanan, mengurangkan jumlah waktu solat itu. Selepas sembilan kali merayu, (setiap kali dikurangkan lima waktu), akhirnya Allah S.A.W. memperkenan memfardhukan solat lima waktu sehari semalam dengan mengekalkan nilainya sebanyak 50 waktu juga. Setelah itu Nabi Muhammad s.a.w. kembali ke langit dunia dan seterusnya turun ke Baitul-Maqdis dan menunggang Buraq perjalanan pulang ke Makkah pada malam yang sama.

(Sumber : Kitab Jam’ul-Fawaa`id)

Kesimpulan:

Peristiwa Israk dan Mikraj bukan sekadar sebuah kisah sejarah yang diceritakan kembali setiap kali 27 Rejab menjelang. Yang lebih penting kita menghayati pengajaran di sebalik peristiwa tersebut bagi meneladani perkara yang baik dan menjauhi perkara yang tidak baik. Pelbagai kejadian aneh seharusnya memberi keinsafan agar sentiasa mengingati Allah S.W.T. dan takut kepada kekuasaan-Nya.


No comments:

Post a Comment