Saturday, May 14, 2016
Pendirian Hatim Si Pekak
Hatim Al-Asham atau nama sebenarnya Abu Abdul Rahman Hatim bin Alwan berasal dari Khurasan bukan pekak. Dia berpura-pura pekak untuk menghormati maruah seorang wanita yang telah terkentut besar secara tidak sengaja di depannya, seolah-olah dia tidak mendengar bunyi kentut tersebut.
Hatim seorang yang amat warak. Dia menuntut ilmu dengan gurunya, Syaqiq al-Balkhi selama 33 tahun. Bila ditanyakan oleh Si guru, Hatim menyatakan pendirian tegasnya mengenai agama Islam seperti berikut:
Pertama - "Sebaik-baik cinta adalah yang sudi menemani seseorang di dalam kubur dan menghiburkannya. Aku tidak mendapati benda lain yang sanggup berbuat demikian selain amal soleh. Oleh itu, kujadikannya kecintaanku agar dapat menerangi kegelapan kuburku, menghiburkanku dan tidak membiarkan aku sendirian di alam sana.
Kedua - Kuperhatikan manusia sering melayan keinginan dan memenuhi hawa nafsu. Lalu kurenung ayat 40 hingga 41 Surah An Nazi'at yang bermaksud, "Orang yang takutkan kebesaran Tuhannya dan menahan diri daripada keinginan hawa nafsu, maka syurgalah tempat tinggalnya. Aku yakin al-Quran itu benar, maka aku segera melawan hawa nafsu dan menyiapkan diri untuk memeranginya. Aku tidak mengikut kehendaknya sehingga dia tunduk dan taat kepaga Allah.
Ketiga - Aku lihat semua orang berusaha mencari harta dan kesenangan dunia, kemudian menggenggamnya eat-erat. Lalu kurenung ayat 96, surat an-Nahl tabg vermaksud, "Apa yang ada di sisimu akan lenyap, dan apa yang ada di sisi Allah kekal..." Oleh itu, kuberikan dengan ikhlas hartaku kepada kaum fakir miskin agar menjadi bekalan di sisi-Nya.
Keempat - Kuperhatikan sebahagian manusia menganggap kemuliaan, kehormatan terletak pada harta melimpah ruah dan anak yang ramai. Sebahagian pula memperoleh dengan merompak, menzalimi dan membunuh. Manakala selebihnya yakin kemuliaan dan kehormatan diperoleh dengan memborosksn harta yang ada.Lalu kurenungi ayat 13 Surat Al Hujurat yang bermaksud, "...Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah adalah mereka yang paling bertaqwa di antara kamu..." Lalu aku pilih taqwa kerana aku yakin Al Quran itu haq dan benar.
Kelima - Kuperhatikan manusia saling memfitnah dan menghina. Semuanya gara-gara perasaan dengki sama ada dengan harta, kedudukan atau ilmu. Lalu kurenung ayat 32 Surah az Zukruf yang bermaksud, "...Kami telah menentukan keperluan hidup mereka dalam kehidupan dunia..." Maka tahulah aku bahawa semua itu ditentukan oleh Allah sejak azali. Oleh itu aku tidak boleh dengki dan harus rela dengan apa jua yang telah diatur oleh Allah.
Keenam - Kuperhatikan manusia saling bermusuhan kerana pelbagai sebab dan tujuan. Lalu kurenung ayat 6 Surah Al Fathir yang bermaksud, "Sesungguhnya syaitan itu adalah musuh kamu, maka anggaplah ia musuh yang mesti dijauhi..." Maka aku sedar aku tidak boleh memusuhi sesiapapun kecuali syaitan.
Ketujuh - Kuperhatikan setiap orang berusaha gigih mencari nafkah untuk hidup, menyebabkan mereka terjerumus dalam perkara syubhah dan haram serta cara yang boleh membuatkan diri mereka dihina dan tidak dihormati.Lalu kurenungi ayat 6 surah Hud yang bermaksud, " Dan tidak ada satu binatang pun yang bergerak di bumi ini melainkan Allah yang menanggung rezekinya..." Maka sedarlah aku, sesungguhnya rezeki itu di tangan Allah, dan Dia telah memberi jaminan. Oleh itu aku menyibukkan diri denggan ibadah dan tidak meletakkan harapan selain daripada-Nya.
Kelapan - Kuperhatian sebahagian orang menyandarkan diri pada benda-benda buatan manusia, bergantung pada dinar dan dirham, pada harta dan kekuasaan, ketekunan dan perusahaan serta sesama makhluk. Lalu kurenung ayat 3 Surah at Talaq, "...dan sesiapa bertawakal kepada Allah nescaya Dia akan mencukupkan keperluannya. Sesungguhnya Allah melaksanakan urusan-Nya. Sesungguhnya Allah telah menetapkan ketentuan setiap sesuatu." Maka aku bertawakal kepada Allah dan mencukupkan diri dengan-Nya kerana Dia adalah sebaik-baik Zat yang boleh dipercayai untuk mengurus dan melindungi semua kepentinganku.
Setelah mendengar penjelasan itu Imam Syaqiq berkata, "Semoga Allah memberkatimu. Aku telah membaca Taurat, Injil, Zabur dan Furqan (Quran), ternyata kitab-kitab itu membahas kesemua persoalan ini. Sesiapa yang mengamalkannya, maka dia telah mengamalkan keempat-empat kitab tersebut."
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment