Wednesday, March 2, 2016

Tamadun Semut


Foto teks ini memaparkan kisah seorang lelaki asyik memerhati seekor semut yang berusaha keras untuk mengheret sehelai daun besar kembali ke sarangnya. Perjalanan semut itu dipenuhi berbagai bentuk rintangan.

Perlahan-lahan, akhirnya daun itu berjaya dibawa ke pintu sarang. Namun, daun itu terlalu besar untuk ditarik masuk. Setelah berkali-kali mencuba namun tetap gagal, si semut terus masuk ke dalam dan meninggalkan daun tersebut di luar sarang.

Kisah ini boleh ditafsir dari dua sudut pandang. Mata duniawi yang melihat dari apa yang tersurat mengandaikan semut itu tamak, mengheret daun besar ke sarang untuk jadi makanannya sendiri. Usahanya mengalami kegagalan, kerugian dan sia-sia belaka.

Mata basirah (mata hati) yang melihat secara tersirat mengandaikan si semut masuk ke dalam sarang untuk meminta bantuan dari rakan-rakan lain supaya mengerat daun tersebut menjadi kepingan yang kecil dan membawa masuk secara berdikit-dikit untuk dijadikan makanan bersama.

Semut dicintai Allah sehingga dalam Al Quran sendiri pun terdapat satu surah yang dikhususkan untuk komuniti serangga ini. Sebagaimana makhluk ciptaan Allah yang lain, mereka sentiasa bertasbih kepada-Nya sebagai tanda bersyukur. Mereka hidup bermasyarakat dan berjemaah dalam apa jua tindakan. Bersatu teguh, becerai roboh. Semasa berada dalam jemaah, tiada siapa yang berani mengganggu. Bila bersendirian, ketika masing-masing bertebaran mencari makanan, semut mudah menjadi mangsa makhluk yang lebih besar.

Ini berbeza dengan sesetengah manusia yang dikatakan berakal tinggi. Manusia mudah berpecah belah, malas solat, apa lagi bersyukur di atas jutaan nikmat yang Allah limpahkan. Manusia begini kontang perasaan, hati sentiasa bersalut lumpur kerana jarang mengambil iktibar daripada alam. Kerana itu apa sahaja yang dilihat negatif belaka. Hati yang dibersihkan dengan zikir dan istighfar pasti melihat kebaikan dalam setiap kejadian dan mengambil ibrah darinya.

Jom fikir-fikirkan, siapa yang lebih bertamadun, semut atau manusia?

No comments:

Post a Comment