Sunday, March 13, 2016

Murah Dengan Sedekah



Allah berfirman: “Dijadikan indah kepada manusia, kesukaan kepada benda-benda yang diingini nafsu, iaitu wanita-wanita dan anak-pinak, harta benda yang banyak bertimbun daripada emas dan perak, kuda peliharaan yang bertanda lagi terlatih, binatang-binatang ternak dan kebun-kebun tanaman. Semuanya itu kesenangan hidup di dunia. Dan (ingatlah), di sisi Allah tempat kembali yang sebaik-baiknya (syurga).” (Surah Ali Imran ayat 14)

Allah berfirman lagi: “ Carilah apa-apa yang dikurniakan Allah untuk kebahagiaan di akhirat dan janganlah pula lupa habuan kamu di dunia.” (Surah Al Qasas ayat 77).

Ayat di atas menyuruh manusia mencari harta untuk keperluan diri di dunia seperti makanan, pakaian, tempat tinggal. Dalam pada itu jangan lupa kepada tuntutan agama seperti haji, zakat, juga sedekah jariah untuk keperluan di akhirat.

SEDEKAH JARIAH adalah salah satu amalan yang tidak mudah dilakukan kecuali seseorang itu mempunyai SIFAT PEMURAH YANG TERBINA kerana:
- percaya kurnia dan rezeki adalah milik Allah. Manusia hanya peminjam dan pemegang amanah yang dikehendaki menyampaikannya kepada yang berhak.
- percayakan janji Allah yang akan memberi ganjaran dan gantian bagi setiap sedekah jariah, walau betapa kecil sekalipun pemberian itu, dengan sesuatu yang jauh lebih baik dan bermanfaat kepada si pemberi.
- sedar bahawa sedekah jariah datang dalam berbagai bentuk – harta dan wang, bantuan tenaga, idea, kata-kata bermanfaat, dan juga ilmu.

WAKTU TERBAIK UNTUK BERSEDEKAH:
- Semasa sihat dan rasa sangat kedekut.
- Semasa bimbang akan jatuh miskin.
- Semasa kaya dan senang. Manusia diuji sama ada bersedekah kerana Allah, atau untuk menunjuk-nunjuk kepada manusia lain, dan menganggap kekayaan itu adalah hasil dari usahanya snediri.

KEUTAMAAN ORANG YANG YANG MENERIMA SEDEKAH:
- Ibu bapa
- Keluarga terdekat iaitu anak isteri, saudara dan kerabat
- Anak yatim yang telah kehilangan bapa sebelum mencapai baligh.
- Fakir miskin
- Ibn sabil iaitu perantau, penuntut ilmu dan sebagainya.

Allah berfirman: “Dan bandingan orang yang membelanjakan hartanya kerana mencari redha Allah dan kerana meneguhkan jiwa mereka adalah seperti sebuah kebun di tempat tinggi yang ditimpa hujan lebat, lalu mengeluarkan hasilnya dua kali ganda. Kalau ia tidak ditimpa hujan lebat, maka hujan renyai-renyai (pun memadai). Allah Maha Melihat apa yang kamu lakukan.” (Surah Al Baqarah ayat 265).

Maksud hujan yang lebat itu adalah seperti sedekah yang banyak. Kalau sedikit pula umpama hujan renyai-renyai. Walau banyak atau sedikit, orang yang pemurah tetap akan melakukannya.

BALASAN BAGI ORANG PEMURAH:

SEMASA DI DUNIA,
- hatinya tenang. Tiada sifat nifak.
- Harta dan rezekinya semakin berkat, bermanfaat dan berganda dan berharga.
- Harta, keluarga dan kehidupannya terpelihara dari musibah
- Mendapat cinta manusia. Mereka mendoakan kebaikan untuknya.
-
SEMASA DI AKHIRAT,
- Dihimpunkan bersama nabi, syuhada dan solehin.
- Mendapat hisab yang ringan. Selamat melintas sirat.
- Hartanya jadi saksi kebenaran imannya di hadapan Allah.
- Mendapat nikmat syurga, dapat bersama nabi, serta dapat melihat Allah.

Jangan sekali-kali menjadi ILMUAN yang menyampaikan ilmu untuk dipandang sebagai cendekiawan. Atau, DERMAWAN yang memberi sumbangan agar dipandang sebagai orang pemurah. Atau, SYAHID yang berjuang di jalan Allah agar dipandang sebagai pahlawan.

Lakukan apa jua kebaikan demi kerana Allah, bukan kerana pujian dan sanjungan manusia. Umar Ibn al Khattab pernah berdoa, “ Wahai Tuhan janganlah Engkau jadikan kebinasaan umat Muhammad s.a.w. di atas tanganku. Wahai Tuhanku, umurku telah lanjut dan kekuatanku telah lemah. Maka genggamkan (matikan) aku untuk-Mu, bukan untuk manusia.”

Bila Allah tidak redha dengan sesuatu amalan kita, maka nerakalah tempat kita yang abadi. Ingatlah pesanan, Ibnu Mas’ud: “Manusia di dunia ini laksana tetamu dan harta yang dimilikinya adalah pinjaman. Cepat atau lambat, tetamu tersebut akan pergi. Begitu juga dengan pinjamannya, juga harus dikembalikan.”

Jadilah orang bijak yang sentiasa kembali kepada Allah sebelum mati. Jangan jadi orang lalai yang cuba kembali kepada Allah selepas mati. Jadikan pinjaman di dunia ini sebagai modal untuk hidup bahagia di akhirat nanti.





No comments:

Post a Comment