Friday, March 4, 2016

Amalan Kejayaan Dunia Dan Akhirat


Amalan harian untuk mencapai kejayaan dunia dan akhirat:

- Membaca al-Quran setiap hari dan bersungguh-sungguh dengan baik (sebutan dan tajwid), mendengar dan merenungi pengertiannya.
- Mengambil berat tentang kebersihan dalam semua perkara. Sentiasa menjaga kesihatan dengan membuat pemeriksaan dari semasa ke semasa.
- Bercakap benar dan jangan sekali-kali berdusta.
- Menepati segala kata-kata dan janji dan jangan sekali-kali memungkirinya walaupun dalam keadaan paling sulit sekalipun.
- Bersifat berani dan tahan memikul bebanan (tanggungjawab).
- Bersikap serius dengan cara bersungguh-sungguh dalam sesuatu perkara.
- Bersifat pemalu, halus perasaan dan mudah terasa (peka) kepada sesuatu yang baik ataupun yang buruk.
- Berlaku adil dan benar dalam menjalankan sesuatu hukum dalam segala perkara dan jangan melupakan kebaikan orang lain kerana marah dan janganlah kerana sayang.
- Bersifat belas kasihan, pemurah dan bertolak-ansur.
- Boleh membaca dan menulis dengan baik dan sentiasa banyak mengulangkaji subjek-subjek yang berkaitan. Seboleh-bolehnya hendaklah memiliki perpustakaan sendiri walaupun kecil.
- Berhati-hati supaya dapat menunaikan tugas dan tanggungjawab dengan penuh amanah demi kelicinan dan kehalusan kerja.
- Menuntut hak-hak sendiri dengan cara yang baik dan menunaikan hak-hak orang lain dengan sempurna.
- Menyumbangkan harta sendiri untuk dakwah Islam.
- Berusaha sedaya upaya menghidupkan adat-adat yang bercorak Islam, dan mematikan adat-adat asing dalam semua lapangan hidup.


- Sentiasa merasai diri berada di bawah pengawasan Allah S.W.T., mengingati hari akhirat dan bersedia untuknya, dan hendaklah mempertingkatkan perjalanan hidup ke peringkat yang lebih tinggi dalam mendapatkan keredhaan Allah dengan keazaman yang kuat.
- Melakukan dengan baik apabila berwuduk dengan cara menyempurnakan segala syarat dan rukunnya dan hendaklah sentiasa berada di dalam keadaan berwuduk.
- Mengerjakan solat dengan cara yang betul (iaitu menyempurnakan syarat dan rukun-rukunnya) dan menunaikannya pada waktu-waktunya dengan mengutamakan sembahyang berjemaah dan sembahyang di masjid seboleh yang mungkin.
- Sentiasa berada di dalam keadaan niat berjuang kerana Allah
- Sentiasa memperbaharui taubat dan memohon keampunan, menjauhkan diri dari dosa-dosa besar.
- Janganlah bazirkan masa walaupun sedikit kepada perkara-perkara yang tidak memberi faedah dan hendaklah menjauhkan diri dari perkara-perkara yang syubhah dan samar-samar hukumnya.
- Bersungguh-sungguh melawan hawa nafsu sehingga mampu mengendalikannya, jaga pandangan dan kuasailah keinginan naluri dengan cara mengarahkannya kepada yang halal
- Lepaskan diri dari berhubung dengan sebarang badan atau kumpulan yang tidak memberi faedah kepada fikrah perjuangan Islam.

[Sumber Rujukan: Kitab "Apa Ertinya Saya Memeluk Islam" - Fathi Yakan].

No comments:

Post a Comment