Wednesday, March 23, 2016

Mahalnya Sakit



Tidak ada satu pun di muka bumi ini yang boleh berlaku tanpa izin Allah. Rasulullah s.a.w. pernah bersabda: “Setiap kepenatan, sakit, dukacita, runsing, kesusahan, walaupu sekadar tercucuk duri yang menimpa seorang Muslim atau Muslimah, maka Allah akan menghapuskan dengan sebabnya akan dosa-dosanya. (HR al-Bukhari dan Muslim).

Abdullah bin Mas’ud meriwayatkan, bahawa pada suatu hari beliau masuk ke tempat Rasulullah s.a.w. sedang mengidap demam panas. Nabi s.a.w. bersabda kepadanya: “Saya menderita dua kali ganda daripada orang biasa.”

Berkata Ibnu Mas’ud: “Itu kerana tuan akan memperoleh pahala dua kali ganda daripada orang biasa?”

Jawab Nabi: “Benar, demikianlah keadaannya. Tiada seorang Muslim yang menderita, sekalipun berupa duri atau lebih daripada itu, melainkan Allah akan menghapuskan keburukannya dan digugurkan dosa-dosanya laksana gugurnya daun-daun dari pokoknya.”

Sakit itu mahal. Kos rawatan sama ada di hospital kerajaan atau swasta memang tinggi. Sakit adalah salah satu ujian yang Allah beri untuk mengenali hamba mana yang PALING BAIK (baca, ikhlas) amalannya, bukan yang PALING BANYAK. Ia juga menandakan kasih sayang Allah kepada hamba tersebut, terutama pesakit yang menghadapi penyakitnya dengan sabar dan redha. Dia dihadiahi ganjaran terbesar iaitu redha-Nya dan gugur semua dosa. Oleh itu bersyukurlah dengan sakit. Cuba fikirkan, Firaun tidak pernah diuji sakit. Sebab itu dia kufur kepada Allah dan mengisytiharkan dirinya Tuhan.

Pesakit yang redha tidak mengeluh dan menuding jari ke sana sini. Masa sakit dimanfaatkannya dengan membaca al-Quran dengan suara perlahan, ataupun mendengar bacaan dari orang lain, termasuk mendengar rakaman bacaan Al Quran dari gajet. Dia berikhtiar merawat penyakit melalui cara yang halal, bukan dengan bantuan bomoh yang mengamalkan perbuatan khufafat serta syirik.

Di zaman moden ini bila menerima berita mengenai kerabat yang sakit, yang dihantar adalah ucapan “Semoga cepat sembuh” melalui Facebook atau WhatsApp, tanpa menziarahi pesakit. Ramai yang tidak tahu mengenai kelebihan menziarahi pesakit. Sebenarnya kunjungan seperti itu akan menyebabkan 70,000 malaikat berdoa buat pengunjung dari saat dia berada di sisi pesakit sehinggalah dia pulang ke rumah.

Adab menziarahi pesakit, pilihlah masa lawatan yang sesuai.Jangan berkumpul beramai-ramai di sisi pesakit, adakan sistem giliran dan jangan berlama-lama. Berikan semangat positif kepada pesakit supaya berjuang menentang penyakit yang dideritainya. Banyakkan berdoa untuk dia tanpa pengetahuannya.Malaikat yang mendengar turut mendoakan kita.
Seperkara lagi, sakit tidak menggugurkan kewajipan solat. Ia mesti dilakukan mengikut kemampuan pesakit. Dia boleh berwuduk dengan air atau bertayamum, dan bersolat secara berdiri, duduk, berbaring, ataupun menggerakkan mata, mengikut keadaan sakitnya.


Para nabi yang maksum dari dosa pun Allah uji. Inikan pula manusia biasa. Antara hikmah, tujuan dan kelebihan sakit ialah membersihkan dosa, menggugurkan kesalahan, mengurangkan maksiat, menambahkan kebajikan, menambah pahala di atas kesabaran dan keredhaan menanggungnya, mengangkat darjat dan memuliakan kedudukan seseorang hamba serta menimbulkan rasa insaf dan taqwa, lalu mendekatkan diri kepada Allah dengan beristighfar, bertaubat dan beribadah.

Bila hukum qadak dan qadar Allah Yang Maha Pengasih dapat difahami dengan penuh keimanan, mukmin akan sentiasa mendapat rahmat Allah dalam semua keadaan.

No comments:

Post a Comment