Thursday, March 3, 2016
Sampaikan Walaupun Sepotong Ayat
HIDAYAH adalah iman di dalam hati yang mencakupi tiga aspek iaitu:
1. Keyakinan di dalam hati (i'tiqadi)
2. Pengikraran dengan lisan (Iqrari)
3. Perlaksanaan dengan anggota badan (amali)
Hidayah juga bermaksud orang yang mendapat petunjuk daripada Allah S.W.T. daripada seorang kufur menjadi seorang yang beriman dan taat pada perintah Allah SWT. Semua manusia yang menganut agama Islam adalah mendapat hidayah daripada Allah S.W.T. tetapi tidak semua dari kalangan mereka mendapat taufiq untuk mengerjakan amal soleh.
Menurut kitab Jauharah Tauhid, taufiq ialah sesuatu yang diciptakan oleh Allah S.W.T. yang mendorong seseorang untuk melakukan kebaikan jika perkara tersebut berada di dalam dirinya.Taufiq diberikan hanya kepada mereka yang bersungguh-sungguh mengabdikan diri dengan rasa kehambaan demi mendekatkan diri kepada-Nya. Firman Allah S.W.T. maksudnya: "Dan orang-orang yang bersungguh-sungguh berusaha di dalam agama Kami, nescaya Kami akan beri petunjuk (hidayah) kepada mereka akan jalan-jalan kami." (Surah al-Ankabut ayat 69)
Dalam ayat yang lain Allah S.W.T. berfirman maksudnya : "Maka sesiapa yang Allah kehendaki untuk memberi hidayah petunjuk kepadanya nescaya Dia melapangkan dadanya (membuka hatinya) untuk menerima Islam; dan sesiapa yang Allah kehendaki untuk menyesatkannya, nescaya Dia menjadikan dadanya sesak sempit sesempit-sempitnya, seolah-olah dia sedang mendaki naik ke langit (dengan susah payahnya). Demikianlah Allah menimpakan azab kepada orang-orang yang tidak beriman" (Surah al-An'am ayat 125)
Allah S.W.T. tidak menyeksa sesuatu kaum melainkan hidayah terlebih dahulu disampaikan kepada mereka. Berpindah dari keadaan jahil kepada takwa itu adalah sesuatu yang sesuai dengan kehendak hidayah. Firman Allah S.W.T. maksudnya : "Sesiapa yang mendapat petunjuk, maka sesungguhnya itu adalah petunjuk untuk dirinya sendiri; dan sesiapa yang sesat maka sesungguhnya kesesatan itu untuk dirinya sendiri (pula). Dan tidaklah memikul beban seorang pemikul akan beban orang lain, dan Kami (Allah) tidak akan mengazab sebelum Kami (Allah) mengutus seorang rasul." (Surah al-Israk ayat 15)
Hidayah dan taufik adalah hak Allah S.W.T. Dia akan beri kepada sesiapa sahaja yang Dia kehendaki. Seorang rasul tidak mampu memberi hidayah kepada orang yang dikasihinya walaupun ahli keluarganya sendiri. Nabi Nuh a.s. telah berdakwah hampir 1000 tahun tetapi isteri dan anak lelakinya tidak mahu beriman kepada Allah S.W.T. dan tidak beriman kepada baginda sendiri. Nabi Luth a.s. juga menghadapi masaalah yang sama kerana isteri baginda tidak menerima seruan dakwah yang dibawa oleh baginda sebaliknya bersekongkol dengan golongan homeoseks dengan memberitahu bahawa suaminya (Nabi Luth a.s) mempunyai tetamu lelaki yang segak dengan tujuan mendapat upah yang lumayan.
Nabi Muhammad s.a.w. tidak mampu memberi hidayah kepada bapa saudaranya, Abu Talib yang banyak berjasa kepada baginda di saat akhir kematiannya. Nabi s.a.w. mengajar beliau mengucap, namun beliau tetap dengan pendirian dan teguh bersama dengan tuhan nenek moyangnya. Selepas kematian Abu Talib, Nabi s.a.w. bersabda maksudnya: "Demi Allah, aku meminta ampun daripada Allah selagi tidak di larang". Lalu turun wahyu yang bermaksud: "Tidaklah dibenarkan bagi Nabi dan orang-orang yang beriman, meminta ampun bagi orang-orang musyrik sekalipun orang itu kaum kerabat sendiri, sesudah nyata bagi mereka bahawa orang-orang musyrik itu adalah ahli neraka.(Surah at- Taubah ayat 113).
Nabi s.a.w. pernah berdoa kepada Allah S.W.T. supaya memberi hidayah dan taufik kepada salah seorang daripada dua lelaki (pembesar Quraisy) iaitu Umar bin al-Khattab atau Abu Jahal. Akhirnya Allah S.W.T kabulkan doa baginda dan Umar bin al-Khattab telah beriman dan masuk Islam dan menjadi seorang sahabat Nabi SAW yang besar.
Tugas kita sebagai pendakwah (daie) atau pendidik (murabbi) adalah tugas yang murni di sisi Allah S.W.T. Kita menjalankan tugas mendidik (tarbiah) kepada umat Islam sendiri dan menyampaikan dakwah Islam kepada orang yang bukan Islam. Perlu diingat bahawa berjaya atau gagalnya tarbiah atau dakwah yang kita jalankan bukanlah urusan kita kerana hidayah dan taufik adalah urusan Allah S.W.T. Di akhirat nanti kita tidak akan ditanya berapa ramai orang yang kita dakwahkan telah masuk Islam, tetapi kita akan ditanya adakah kita telah berdakwah kepada orang bukan Islam yang ada di sekeliling kita. Adakah kita telah sediakan program dakwah dan berusaha bersungguh-sungguh untuk menyampaikan mesej Islam kepada mereka?
Marilah sama-sama kita bergerak dalam satu saf yang tersusun rapi untuk menggembeling tenaga untuk menjalankan kerja-kerja dakwah dan tarbiah kerana kerja-kerja ini adalah kerja-kerja para rasul yang mulia dan sesiapa yang menjalankan kerja-kerja ini akan mendapat kemuliaan di sisi Allah SWT . Tidak ada balasan yang lebih baik melainkan balasan syurga seluas langit dan bumi yang akan di sediakan oleh Allah S.W.T.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment