Thursday, March 31, 2016
Barsisa - Abid Yang Berakhir Di Neraka
BARSISA adalah seorang abid berketurunan Bani Israil, pengikut agama Nabi Musa a.s. Dia merupakan seorang mahaguru yang mempunyai 60,000 pelajar yang boleh terbang di atas angin kerana berkatnya.Ibadah Barsisa cukup kuat hinggakan malaikat takjub melihatnya. Allah S.W.T. bertanya kepada para malaikat,“ Mengapa kalian semua takjub melihat Barsisa beribadat? Sesungguhnya Aku amat mengetahui apa kamu tidak ketahui.Barsisa yang kamu takjub itu akan mati kafir dan kekal di dalam neraka buat selama-lamanya."
Hal kematian Barsisa yang akan mati dalam keadaan kafir telah didengari oleh syaitan. Maka syaitan pun segera menuju ke tempat Barsisa sedang beribadat dalam keadaan menyamar sebagai manusia yang soleh. Setibanya di situ syaitan lantas memanggil Barsisa. Barsisa yang mendengar namanya dipanggil terus menyahut seruannya dan bertanya, "Siapakah tuan?"
Syaitan menjawab,"Saya seorang abid datang untuk menemani tuan beribadat kepada Allah S.W.T."
Apabila mendengar jawapan syaitan, Barsisa menjawab,"Barang siapa yang datang ke sini untuk beribadat kepada Allah, Allah akan mengadakan teman baginya, silakanlah wahai abid untuk beribadat bersama-sama saya."
Maka syaitan tadi pun beribadat 3 hari 3 malam, tidak tidur, tidak makan dan tidak pula minum. Ini menyebabkan Barsisa berasa kagum dengan teman barunya kerana dia lebih kuat beribadat daripadanya. Maka berkatalah Barsisa,"Aku beribadat kepada Allah S.W.T. 220 tahun tetapi saya tidak pula sanggup untuk meninggalkan tidur, makan dan minum seperti tuan. Bagaimanakah saya hendak beribadat seperti tuan?"
Kata Syaitan, "Wahai tuan, lakukanlah maksiat kepada Allah, kemudian tuan bertaubat kepada-Nya, sesungguhnya Allah S.W.T. Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.”
Barsisa terkejut lantas bertanya, "Mengapa pula saya mesti mengerjakan maksiat kepada Allah, sedangkan saya telah lama beribadat kepada-Nya?"
Jawab syaitan, "Manusia apabila melakukan dosa, mereka sangat berhajat untuk meminta keampunan daripada-Nya hingga tuan boleh merasai betapa lazatnya melakukan ketaatan kepada Allah .S.W.T setelah melakukan dosa."
Barsisa bertanya lagi,"Apakah dosa yang kamu maksudkan?"
Jawab syaitan,"Cubalah berzina."
Barsisa bertegas untuk tidak melakukannya. Lantas syaitan berkata,"Kalau tidak mahu berzina, bunuhlah seorang Muslim."
Sekali lagi Barsisa menolak nasihat syaitan. Tanpa berputus asa, syaitan meneruskan lagi,"Kalau tidak mahu membunuh, maka minumlah minuman yang memabukkan."
Barsisa menjawab,"Ya! itulah yang lebih ringan. Di manakah saya boleh dapatkan minuman itu?"
“Pergilah ke desa sekian-sekian."
Maka Barsisa pun pergi ke desa yang dimaksudkan untuk mendapatkan minuman tersebut. Di sana dia bertemu seorang wanita cantik sedang menjual khamar (arak).Barsisa membeli minuman tersebut dan meminumnya sehingga dia mabuk.Dalam keadaan mabuk dia merogol wanita penjual khamar. Tiba-tiba suami wanita itu pulang ke rumah.Oleh kerana takut rahsianya terbongkar, Barsisa membunuh suami wanita tersebut.
Syaitan yang mengubah penampilannya menjadi manusia pergi bertemu dengan raja untuk melaporkan kesalahan Barsisa membunuh orang. Raja memerintahkan agar Barsisa ditangkap. Setelah sabit kesalahan, Barsisa dirotan 80 kali kerana kesalahan meminum khamar, 100 kali sebatan kerana merogol dan juga dijatuhkan hukuman sula kerana membunuh suami wanita itu. Ketika Barsisa sedang berdiri terpacak di tiang sula, syaitan mendatanginya lalu bertanya, "Wahai Barsisa, bagaimanakah keadaanmu sekarang?"
Jawab Barsisa,"Beginilah keadaanku apabila terpedaya dengan seorang teman yang jahat lagi pengkhianat."
Syaitan berkata lagi, "Ketika saat kamu mahu disula ini, mahukah kamu jika aku lepaskan dengan satu syarat?”
Jawab Barsisa," Apakah syarat tersebut, aku sedia memenuhinya.”
Jawab syaitan,“Sujudlah kepadaku satu kali."
Barsisa menjawab,“Bagaimanakah aku hendak sujud kepadamu sedangkan aku terpaku di tiang sula ini?"
Kata syaitan,“Cukuplah dengan isyarat menganggukkan kepala sahaja."
Barsisa pun patuh, dia melakukan sujud kepada syaitan (Iblis mal'un) dengan cara menganggukkan kepalanya terhadap iblis. Ketika itulah Raja mengarahkan hukuman dilaksanakan ke atas Barsisa. Maka matilah Barsisa dengan bertuhankan syaitan.
Surah An-Nur ayat 21 juga menjelaskan sekiranya Allah S.W.T. tidak mengurniakan nikmat dan rahmat-Nya kepada manusia yang berupa pengampunan daripada-Nya, nescaya manusia akan terus berada dalam dosa dan kemaksiatan. Justeru Allah S.W.T. melarang hamba-hamba-Nya daripada sifat putus asa dalam memohon keampunan daripada Allah S.W.T. Allah mengkhabarkan pula bahawa Dia akan mengampuni sesiapa sahaja yang bertaubat kepada-Nya, baik dari dosa-dosa kecil mahupun yang besar.
Dalam sebuah hadith sahih, Rasulullah s.a.w. bersabda, "Allah Yang Maha Tinggi berfirman: "Wahai anak Adam, sesungguhnya jika kamu berdoa kepada-Ku dan mengharapkan-Ku maka Aku akan mengampunimu atas semua dosa yang kamu lakukan, dan Aku tidak peduli. Wahai anak Adam, andaikata dosa-dosamu itu sampai ke puncak langit kemudian kamu meminta ampunan kepada-Ku nescaya Aku ampuni dan Aku tidak peduli. Wahai anak Adam, seandainya kamu datang kepada-Ku dengan dosa yang besarnya seisi bumi seluruhnya, kemudian datang menemui-Ku dan tidak menyekutukan Aku dengan yang lain nescaya Aku akan datang kepadamu dengan ampunan yang besarnya seisi bumi seluruhnya."
Wallahu A'lam - Kisah ini boleh dijadikan iktibar buat kita semua.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment