Wednesday, March 16, 2016

Bukan Muhammad s.a.w. Atau Siti Khadijah



Lelaki dan wanita yang soleh dan solehah memang menjadi dambaan mereka yang mencari pasangan hidup. Namun begitu, ada yang agak kecewa bila pasangan yang disangkakan ideal, berubah sikap setelah mendirikan rumahtangga. Lalu timbul sedikit kekesalan kerana panas yang diharapkan hingga ke petang, rupa-rupanya hujan di tengah hari.

Tetapi NANTI DULU! Jangan terburu-buru meleraikan ikatan ijab kabul. Ucapkan syukur kepada Allah S.W.T. kerana memberikan kita jodoh, sedangkan di luar sana masih ramai yang bujang, mengharapkan kehadiran seseorang di sisi. Bersyukurlah kerana kita menghidupkan Sunnah Nabi s.a.w. dengan kekal berpasangan walaupun dilanda ujian.

Ya, ini adalah UJIAN ALLAH. Bercakaplah penuh berhemah dengan pasangan supaya kembali melaksanakan perintah Allah. Jika si dia enggan menerima, cuba minta seorang ahli keluarga lebih tua yang dihormati oleh pasangan untuk menasihatinya. Jika sikap masih tidak berubah, adukan masalah kita kepada Allah. Dia Maha Mendengar. Hidayah dan Taufik adalah miliknya. Dia yang menentukan kepada siapa mahu diberikan hidayah.

Kita pula mesti istiqamah dalam segala amalan. Jangan turunkan tahap amalan sedikit pun meski pasangan kita tidak pedulikan perintah Allah. Semoga istiqamah kita akan membuka hati pasangan untuk berhijrah ke jalan Allah.

Elakkan rasa ujub disebabkan amalan. Itu dosa besar, malah boleh menimbulkan rasa jengkel pasangan dan memburukkan keadaan rumahtangga. Sebaliknya, beramallah dan tumpukan perhatian kepada kesejahteraan anak-anak yang bakal menjadi saham selepas kita kembali ke alam barzakh.

Jangan lupa bahawa Siti Asiah, ibu angkat Nabi Musa a.s. diangkat menjadi salah seorang wanita syurga walaupun suaminya ialah Fira’un. Yang penting, tingkatkan amalan yang ikhlas semata-mata kerana Allah, bersangka baik dengan Allah dan juga manusia lain, dan jadikan akhlak dan perasaan malu sebagai pakaian harian.

Sematkan di dalam hati bahawa suami bukan Muhammad s.a.w. dan isteri bukan Siti Khadijah. Masing-masing punya kelemahan. Muhasabah diri…Wallahu’alam.








No comments:

Post a Comment