Tuesday, March 15, 2016

Fiqh Kematian


Nabi s.a.w. pernah bersabda, “ Jangan sesekali seseorang daripada kamu mati kecuali dalam keadaan bersangka baik dengan Allah.”

Oleh itu jangan pernah berkata, “Ya Allah, kenapa Kau uji aku dengan penyakit ni?” Mati dalam keadaan begini dikatakan mati dalam keadaan buruk sangka dengan Allah. Oleh kerana itulah ketika kita menziarahi pesakit, bisikkan ke telinganya perkara yang baik-baik. Begitu juga kepada penjaga yang berpenat lelah menguruskan pesakit tersebut. Ujian Allah itu pasti ada ganjarannya. Elakkan bersembang perkara-perkara yang menyakiti hati pesakit dan penjaga, ataupun berbual hal-hal duniawi dengan orang yang berada di sekelilingnya.

Jangan ambil gambar pesakit yang nazak dan menyebarkannya di media sosial. Tindakan ini sungguh tidak beradab.Cuba letak diri kita di tempat pesakit. Bagaimana perasaan jika kita diperlakukan seperti itu. Sebaliknya banyakkanlah berdoa, untuk diri kita, pesakit dan penjaganya. Saat sakaratul maut adalah saat paling penting dalam hidup manusia. Bacakan doa berkali-kali kepada pesakit sambal membisikkan, “Lailaha Illalah”. Ketika menziarahi pesakit, jangan pula berlama-lama.

Kematian adalah perkara pasti. Jangan mengelak atau takut untuk membicarakannya. Jadikan perasaan takut itu sebagai asas untuk bersiap sedia menghadapi kematian. Melalui Malaikat Maut, Allah mengirim tanda-tanda kematian seperti rambut yang beruban, penyakit, kurang pendengaran, kabur penglihatan dan sebagainya. Hanya orang yang tidak sedar akan hal ini sahaja yang enggan bertaubat.


Setiap hari ketika terbit dan terbenamnya matahari, malaikat maut menyeru, “Wahai manusia yang berumur 50 tahun, inilah masa untuk menyediakan bekal ketika tenaga masih kuat. Wahai manusia yang berumur 60 tahun, sudah hampir masa mengutip hasil. Jika kamu lupa tentang azab dan gagal memberi jawapan, maka tidak ada sesiapa yang dapat menolong kamu”.

Namun ini bukan bermakna orang muda tidak mati, tetapi secara adatnya orang tua yang kena lebih beringat dengan kematian. Orang yang berjaya ialah orang yang menyelesaikan urusan hidupnya dengan manusia semampu yang mungkin, contohnya perkara mengenai hutang piutang, memberi kemaafan kepada semua orang dan menyediakan semua prasarana untuk diri sendiri apabila berada di alam barzakh nanti.

Segala kelengkapan untuk urusan jenazah tidak perlu disediakan oleh orang yang mengingati mati. Semua itu akan disediakan oleh orang yang menguruskan fardu kifayah itu ke atas kita. Yang penting ialah menyediakan waris mengenai cara mengurus jenazah. Hadirilah kursus urusan jenazah keluarga yang diadakan di masjid-masjid. Uruslah jenazah dengan perasaan kasih sayang.

Semasa memandikan jenazah, mohon keampunan ke atas semua anggota jenazah seperti tangan, kaki, wajah dan lain-lain. Kafankan jenazah dan solatkannya secara teratur. Umumkan kematiannya supaya orang yang mendapat tahu hal tersebut akan memohon keampunan untuk si mati.

Usah membazir. Buatkan telekung daripada kain kafan itu sendiri, jangan guna yang baru beli. Dalam menguruskan kematian, tidak boleh mengambil apa-apa dari harta si mati. Segerakan urusan ke atas jenazah dan lakukan dengan penuh adab dan amanah. Jaga aurat si mati. Yang mengurus harus melakukannnya dengan niat mengharapkan keredhaan Allah.


Dalam perkara mengenai kuburan, Nabi s.a.w. melarang kubur disapu dengan kapur atau cat. Jangan buat binaan di atas kubur lebih daripada sejengkal. Ini membebankan si mati.

Bila berlaku kematian, yang paling afdal menguruskannya ialah kerabatnya, bukan orang lain. Orang luar yang ingin memandikan jenazah mesti minta izin dari kerabatnya dahulu. Pahala bagi orang yang memandikan jenazah dan menjaga segala aib si mati, selepas tugas itu selesai dia umpama baru dilahirkan oleh ibunya. Jika si mati tiada kerabat, barulah diserahkan tugas tersebut kepada orang luar yang ada ilmu dan bersifat amanah.

Jenazah lelaki diurus oleh kerabat lelaki, dan perempuan oleh kerabat perempuan. Jika benar-benar tidak ada kerabat yang sejantina dengan si mati, jenazah boleh ditayamumkan sahaja bagi membolehkan solat jenazah dikerjakan.

Bila jenazah lalu di hadapan kita, katakan yang baik-baik mengenai si mati kerana malaikat akan mengaminkan kata-kata itu. Dengan “amin” malaikat itu, Allah memberi keampunan kepada si mati. Wanita dilarang mengiringi jenazah ke kubur untuk mengelakkan percampuran antara lelaki perempuan, terbuka aurat dan mengelakkan fitnah.


[Petikan dari Program TANYALAH USTAZAH dengan Ustazah Noorhafizah Musa]










No comments:

Post a Comment