Sunday, January 31, 2016
Taqwa Muhammad Bin Sirin
Muhammad Bin Sirin lahir dua tahun sebelum berakhirnya khalifah Utsman bin Affan ra. Dia membesar di rumah yang penuh dengan penghuni yang bertaqwa dan warak. Memasuki usia remaja dia rajin menimba ilmu di masjid yang dipenuhi dengan para sahabat dan tokoh tokoh tabi’in saperti Zaid bin Tsabit, Anas bin Malik, Imran bin Hushain, Abdullah bin Umar dan Abu Hurairah.Kemudian beliau berpindah ke Basrah yang dibangunkan oleh kaum muslimin pada akhir era Khalifah Al Faruq Umar bin Khattab ra. Basrah ketika itu adalah pusat pengajaran bagi penduduk Iraq dan Parsi yang baru memeluk Islam. Ketika matahari terbit, beliau ke masjid Basrah untuk mengajar sambil belajar. Bila matahari mulai tinggi, beliau keluar masjid menuju ke pasar untuk berniaga.Bila malam menjelang, beliau tekun di mihrab rumahnya, menghayati Al Quran. Beliau sentiasa menasihati orang sekelilingnya tentang kehidupan akhirat dan menjelaskan tentang hakikat dunia yang sebenarnya sambil memberikan bimbingan tentang cara mendekatkan diri kepada Allah. Hasilnya hampir semua peniaga di pasar sentiasa berzikir semasa menjalankan peniagaan. Jika terdapat seseorang menyebut keburukan orang lain di depannya, beliau segera mengingatkan tentang kebaikan orang itu.
Suatu ketika Allah menguji ketulusan dan kesabarannya. Beliau membeli minyak wangi seharga 40,000 dirham dan berjanji dibayar pada akhir bulan.Ketika diperiksa ternyata ada bangkai tikus yang sudah membusuk di dalamnya. Dia berfikir bahawa minyak ini ditakung dalam satu bekas dan najisnya bukan hanya di sekitar bangkai itu. Jika di kembalikan kepada penjualnya pasti akan dijualnya kepada orang lain. Lalu dibuangnya semua minyak tersebut. Dia rugi besar dan terikat dengan hutang yang sangat berat. Akhirnya dia dipenjarakan dalam gtempoh cukup lama sehingga dia mampu membayar kembali hutang tersebut. Penjaga penjara kasihan padanya dan menyuruh nya pulang kepada keluarga setiap hari dan kembali ke penjara di pagi harinya. Namun dia menolak kerana tidak mahu mengkhianati pemerintah.
Ketika Anas bin Malik sakit tenat, beliau berwasiat agar Muhammad bin Sirin memandikan jenazahnya dan sekaligus mensolatkan juga. Tetapi waktu itu Muhammad Sirin berada di dalam penjara. Pada hari Anas meninggal dunia, seseorang mendatangi Muhammad Sirin dan menceritakan tentang wasiat almarhum itu.Namun beliau menyuruh orang itu meminta izin kepada orang yang beliau berhutang kerana hutang itu belum mampu dibayarnya. Tuan hutang itu memberi kebenarannya dan Muhammad bin Sirin pun memandikan jenazah Anas bin Malik dan bersolat beramai-ramai. Selepas itu beliau langsung kembali ke penjara tanpa sedikitpun mengambil kesempatan untuk menjenguk keluarganya.Hari berganti dan beliau meninggal dunia di penjara pada umur 77 tahun. Setelah wafatnya, jenazahnya lebih ringan dari beban dunia kerana dirinya banyak berbekal untuk kehidupan di akhirat. Suatu ketika seorang ahli ibadah, Hafsah binti Rasyid bermimpi di mana Muhammad bin Sirin menyatakan bahawa Allah memasukkannya ke dalam syurga, kemudian diangkat ke darjat ashabul yamin hingga ke darjat muqarrabin. Semoga kisah ini dapat banyak memberi kesedaran betapa seseorang itu amat jujur kepada Allah meskipun ditakdirkan menjalani musibah yang berat.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment