Tuesday, January 26, 2016
Balasan Di Akhirat Buat Pelakon Sandiwara Dunia
Pentas sandiwara dunia sering mengecewakan. Manusia boleh bersandiwara menjadikan yang salah itu benar, yang benar itu salah. Harta dan kuasa sering merubah timbangan hakiki dalam kehidupan ini. Walaupun kadangkala semua mata dapat menyaksikan betapa bohong dan menipunya sandiwara yang dipertontonkan itu, namun kuasa dan harta dengan penuh kecurangan menabalkan yang salah di tempat yang benar, yang benar di tempat yang salah.Namun, Tuhan tidak lupa walaupun insan sering lupa. Membaca al-Quran melapangkan jiwa kita, bahawa hari yang maha adil itu akan tetap menjelma jua. Firman Allah: (maksudnya): Dan janganlah kamu menyangka bahawa Allah lalai akan apa yang dilakukan oleh orang-orang yang zalim; Sesungguhnya Dia hanya melambatkan balasan mereka hingga ke suatu hari yang padanya terbeliak kaku pemandangan mereka, (dalam pada itu) mereka terburu-buru (menyahut panggilan ke padang Mahsyar) sambil mendongakkan kepala mereka dengan mata tidak berkelip, dan jantung hati mereka yang kosong (kerana bingung dan cemas) (Surah Ibrahim 42-43).
Nabi s.a.w pernah bersabda: "Akan datang kepada manusia tahun-tahun yang penuh tipu daya. Ketika itu didustakan orang yang benar, dianggap benar orang yang dusta, dianggap khianat orang yang amanah, dianggap amanah orang yang khianat, dan bercakap ketika itu al-Ruwaibidoh. Para sahabat bertanya: “Siapakah al-Ruwaibidoh?” Sabda Nabi s.a.w.: Orang lekeh yang berbicara mengenai urusan awam (orang ramai).” (Diriwayatkan oleh al-Imam Ahmad, Abu Ya’la, al-Bazzar, Ibnu Majah, al-Kharaiti, dan al-Hakim. Al-Hakim menyatakan isnadnya sahih dan ini disetujui oleh Al-Zahabi). [Sumber: Dr MAZA]
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment