Thursday, January 14, 2016
Mencari Ketenangan Hati
Jiwa tidak mampu mencapai ketenangan bila kerap menzalimi orang, banyak membuat dosa, mengabaikan ibu bapa, menghina guru terutama guru yang menunjukkan ke jalan Akhirat, hilang kepercayaan tentang kewujudan Allah Taala, tidak mengharap pertolongan Allah, lemah iman atau tidak beriman langsung.
Ketenangan yang terletak di dalam hati nurani perlu dijaga kerana bila ia hilang, maka hilanglah kebahagiaan, tidak ada lagi keindahan di dalam kehidupan sekalipun mempunyai kekayaan, mendiami istana indah, memiliki isteri cantik, dan ada kuasa. Hati sentiasa keluh-kesah, serba tidak kena, makanan hilang keenakan, tidur tidak lena, fikiran hilang fokus, selalu termenung, percakapan orang tidak dapat diberi perhatian, sumbang di dalam pergaulan, mudah marah, suka mnenyenderi, mudah tersinggung, tidak sabar dan mudah rasa tercabar, mudah jemu membuat kerja, makan minum, pakaian dan badan tidak terurus, kurang bertanggungjawab dan tidak suka bercakap.
Orang yang tidak dapat mengawal ketidaktenangan itu sama ada di kalangan khalayak mahupun ketika bersendirian, sentiasa nampak muram, susah hatinya amat ketara sehingga orang pun perasan. Sesetengah orang pula mampu mengawalnya. Di hadapan khalayak dia boleh sembunyikan ketidaktenangannya itu untuk menjaga wibawa atau status diri, tetapi bila bersendirian, dia mula termenung. Kesusahan hatinya tergambar pada air mukanya.
Untuk menghilangkan rasa tidak tenang itu, mohon kemaafan kepada pihak yang dizalimi, tinggalkan maksiat dan dosa, dan kembali berpegang dan bersandar kepada Allah SWT. In sya Allah rasa tenang akan kembali berada di dalam hati. [Ustaz Hasnan Fan Club]
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment