Thursday, November 19, 2015
Keutamaan Mengkhatam Al Quran
Dari Ibnu Abbas r.a. beliau mengatakan ada seseorang yang bertanya kepada Rasulullah s.a.w. “Wahai Rasulullah, amalan apakah yang paling dicintai Allah?” Baginda menjawab, “Al-hal wal murtahal.” Orang ini bertanya lagi, “Apa itu al-hal wal murtahal, wahai Rasulullah?” Baginda menjawab, “Iaitu membaca Al-Qur’an dari awal hingga akhir. Setiap kali selesai dia mengulanginya lagi dari awal.” (HR. Tirmidzi).
Dari Abu Qilabah, Rasulullah s.a.w. mengatakan, “Barangsiapa yang menyaksikan (mengikuti) bacaan Al-Quran ketika dibuka (dimulai), maka seakan-akan dia mengikuti kemenangan (futuh) fi sabilillah. Dan barangsiapa yang mengikuti pengkhataman Al-Quran maka seakan-akan dia mengikuti pembahagian ghanimah.” (HR. Addarimi).
Dari Mus’ab bin Sa’d, dari Sa’d bin Abi Waqas, beliau mengatakan, “Apabila Al-Quran dikhatamkan bertepatan pada permulaan malam, maka malaikat akan berselawat (berdoa) untuknya hingga subuh. Dan apabila khatam bertepatan pada akhir malam, maka malaikat akan berselawat/ berdoa untuknya hingga petang.” (HR. Addarimi.)
Dari Abdullah bin Amru bin Ash, beliau berkata, “Wahai Rasulullah s.a.w., 'Berapa lama aku sebaiknya membaca Al-Qur’an?' Baginda menjawab, “Khatamkanlah dalam satu bulan.” Aku berkata lagi, “Sungguh aku mampu lebih dari itu, wahai Rasulullah?” Baginda menjawab, “Khatamkanlah dalam dua puluh hari.” Aku berkata lagi, “Aku masih mampu lebih dari itu, wahai Rasulullah.” Baginda menjawab, “Khatamkanlah dalam lima belas hari.” “Aku masih lebih mampu lebih dari itu, wahai Rasulullah.” Baginda menjawab, “Khatamkanlah dalam sepuluh hari.” Aku menjawab, “Aku masih lebih mampu lagi, wahai Rasulullah.” Baginda menjawab, “Khatamkanlah dalam lima hari.” Aku menjawab, “Aku masih lebih mampu lagi, wahai Rasulullah.” Namun baginda tidak memberikan izin bagiku. (HR. Tirmidzi)
Dari Abdullah bin Amru bin Ash, dari Rasulullah SAW., beliau berkata, “Puasalah tiga hari dalam satu bulan.” Aku berkata, “Aku mampu untuk lebih banyak dari itu, wahai Rasulullah.” Namun beliau tetap melarang, hingga akhirnya beliau mengatakan, “Puasalah sehari dan berbukalah sehari, dan bacalah Al-Quran (khatamkanlah) dalam sebulan.” Aku berkata, “Aku mampu lebih dari itu, wahai Rasulullah?” Beliau terus malarang hingga batas tiga hari. (HR. Bukhari).
Dari Abdullah bin Amru, beliau mengatakan bahwa Rasulullah SAW. bersabda, “Tidak akan dapat memahami/menghayati Al-Quran, orang yang membacanya kurang dari tiga hari.” (HR. Abu Daud). Dari Aisyah ra, beliau mengatakan, “Aku tidak pernah tahu Rasulullah s.a.w. mengkhatamkan Al-Quran secara keseluruhan pada malam hingga fajar.” (HR. Ibnu Majah).
Dari Tsabit al-Bunnani, beliau mengatakan bahawa Anas bin Malik jika sudah mendekati dalam mengkhatamkan Al-Qur’an pada malam hari, beliau menyisakan sedikit dari Al-Qur’an, hingga ketika subuh hari beliau mengumpulkan keluarganya dan mengkhatamkannya bersama mereka. (HR. Darimi).
Hikmah yang dapat dipetik dari hadis Anas di atas, ketika khatam Al-Quran merupakan waktu yang mustajab untuk berdoa kepada Allah. Dengan mengumpulkan seluruh anggota keluarga, semuanya berdoa secara bersama kepada Allah mengharapkan rahmat dan barakah dari-Nya.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment