Sunday, November 15, 2015
Guna Pesawat Dunia Untuk Terbang Ke Akhirat
Allah tidak mencipta dunia tanpa sebab. Ia disediakan untuk hamba-hamba beramal ibadah, mencari bekalan untuk dibawa pulang ke akhirat. Jangan membenci dunia kerana ia juga makhluk Allah yang memberi sumbangan kepada makhluk-makhluk Allah yang lain. Pun begitu ia tidak layak dicintai. Ia mampu menghancurkan diri orang yang lena dalam ulitannya. Cinta dunia akan mengundang kecemburuan Allah SubhanaAllah Wa Talla. Dunia ini hanya sarana, cepat atau lambat akan ditinggalkan. Berpisah dengan anak, isteri, keluarga, harta, dan jabatan.
Syukuri nikmat dunia kerana bersyukur akan mendatangkan banyak nikmat lain yang jauh lebih besar dan lebih baik. JANGAN gunakan dunia untuk bermaksiat dan bersifat kufur.Kufur nikmat akan mendatangkan azab Allah. Dan nikmat itu akan dicabut-Nya kembali. Nabi s.a.w. bersabda: “Mereka telah menyegerakan kesenangannya sekarang juga; sebuah kesenangan yang akan cepat berakhir. Kita adalah kaum yang menangguhkan kesenangan kita untuk hari akhir.Perumpamaan hubunganku dengan dunia seperti orang yang berpergian pada musim panas. Ia berlindung sejenak di bawah pohon, kemudian berangkat dan meninggalkannya."
Dunia ini hanya tempat transit. Jangan terlalu leka di tempat transit kerana pesawat akan memanggil kita segera meneruskan perjalanan yang jauh, tiba-tiba Allah memanggil anda pulang kembali ke sisi-Nya, sedangkan tangan penuh dengan bungkusan dosa. Lalu apa yang akan kita bawa nanti di padang Mahsyar nanti? Dalam tujuh hari seminggu, tahanlah segala nafsu, rasa lapar dan rasa haus, paling tidak dua hari dalam seminggu, berpuasa Isnin-Khamis. Dalam dua puluh empat jam sehari, luangkan sejam dua untuk bersolat dan membaca al-Qur’an. Lapan jam waktu tidur, kita luangkan sedikit masa untuk solat tahajud. “Celupkan tanganmu ke dalam lautan,” saran Nabi s.a.w. ketika ada sahabat yang bertanya tentang perbezaan dunia dan akhirat. “Air yang ada di jarimu itulah dunia, sedangkan sisanya adalah akhirat.“ Bersiaplah, untuk menyelam di “lautan akhirat”.Siapa tahu Allah Subhanahuwa Ta’ala akan memanggil kita sebentar lagi. Renungkanlah,
Sulaiman a.s. menggunakan hartanya untuk ketaatan. Allah Subhanahu Wa Talla menambah nikmatnya sampai akhir hayatnya.Qarun menggunakan hartanya untuk kemaksiatan. Allah Subhanahu Wa Talla menenggelamkannya beserta harta kekayaannya ke dalam perut bumi. Semoga bermanfaat bagi kita semua. Aamiin
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment