Monday, November 16, 2015
Berakhlak Islam
Dari Abu Hurairah r.a. katanya, Rasulullah s.a.w. bersabda, "Siapa yang beriman dengan Allah dan hari kiamat, maka janganlah dia menyakiti jirannya. Dan siapa yang beriman dengan Allah dan hari kiamat, hendaklah dia memuliakan tetamunya. Dan siapa yang beriman dengan Allah dan hari kiamat, hendaklah dia BERKATA BAIK ATAU DIAM." (HR Muslim no. 38).
Muslim yang berakhlak mulia lebih banyak diam. Dia lebih banyak mendengar sebab khuatir kata-katanya akan menimbulkan perkara yang buruk. Namun dia bukan "syaitan bisu" yang membiarkan kemungkaran berlaku. Dia menegakkan kebenaran pada perkara-perkara yang mendatangkan manfaat. Tegurannya bertempat. Dia tidak memandai-mandai bercakap mengenai perkara yang di luar dari bidang pengetahuannya, lebih suka merujuk kepada yang lebih pakar. Saidina Ali r.a. pernah menuturkan," Matinya manusia kerana tergelincir lidahnya. Tiadalah manusia mati kerana tergelincir kakinya. Dengan tergelincir mulut itu dipukul orang akan kepalanya sedang luka. Dan sebab tergelincir kaki itu boleh sembuh dengan beransur-ansur." Pepatah Melayu juga menyebut perkara yang sama iaitu "Sebab pulut santan biasa, sebab mulut badan merasa."
Memuliakan tetamu dan dan menjaga hak jiran itu penting dalam Islam. Sabda Rasulullah s.a.w."Sentiasa datang Jibril kepadaku menyuruh aku berbuat baik pada jiran-jiranku sehingga aku sangka mereka mewarisi harta pusaka daripadaku." Baginda menggolongkan jiran kepada 4 kumpulan iaitu "yang tinggal denganmu dalam satu rumah, yang rumahnya berdekatan dengan rumahmu, mereka yang berada dalam 40 rumah di sekeliling rumahmu, dan sesiapa yang senegeri denganmu." Muslim yang berakhlak tidak memandang keburukan yang ada pada jiran. Hidupnya tidak menyusahkan jiran malah membantunya ketika dia berada dalam kesusahan. Rasulullah s.a.w pernah dilayan dengan begitu buruk oleh seorang wanita Yahudi. Namun bila wanita itu jatuh sakit, Baginda menziarahinya. Bila ditanya, " Mengapa kamu ziarah aku?" Jawab Nabi s.a.w., "Sebab hari ini tiada perkara teruk yang berlaku." Tanya wanita itu lagi, "Adakah ini ajaran agamamu?" Nabi s.a.w. mengaku memang begitu ajaran Islam. Disebabkan akhlak itulah wanita Yahudi tersebut mengucapkan syahadat. MasyaAllah!!! Beginilah cara terbaik menyebarkan Islam .... menerusi akhlak yang santun dan lisan yang baik.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment