Wednesday, December 31, 2014
Info Penting Untuk Mangsa Banjir
Kebanyakan harta benda akan musnah jika “banjir” sudah mengetuk pintu rumah anda, termasuklah kereta. Malang sekali, hampir semua insurans kereta tidak memberi perlindungan jika kereta dilanda bencana alam, seperti ditimpa pokok, terbalik akibat ribut kencang, dan kereta yang ditenggelami air banjir.Apabila terkena banjir teruk, kereta yang separuh tenggelam atau sepenuhnya sering diklasifikasikan sebagai “totaled”, “gone case”, lalu terpaksa dilupuskan. Walau bagaimanapun, sesetengah kereta ini berakhir di kedai kereta terpakai.Pembeli perlu berhati-hati kerana tidak semua peniaga akan berterus terang mengenai kerosakan kereta akibat banjir. Ia bakal menjejaskan kewangan anda suatu hari nanti. Walaupun kereta kelihatan baik dan seolah-olah berfungsi dengan baik, masalah yang bakal menelan belanja mahal boleh muncul kemudian hari disebabkan hakisan karat yang terus berlaku di dalam komponen kritikal. Kereta seperti ini boleh membahayakan nyawa pemandu.
Selepas banjir surut, periksa kenderaan anda. Jangan cuba hidupkan enjin kerana ini akan menyebabkan kereta mengalami kerosakan lebih teruk. Pastikan pihak kereta penunda, atau ejen bengkel tidak berbuat tindakan serupa - satu taktik kotor untuk anda bayar lebih bagi membaiki kerosakan. Apabila enjin dihidupkan dengan menggunakan alat kawal jauh, aliran elektrik mengalir ke dalam semua sistem elektronik enjin termasuk kotak komputer (untuk kereta suntikan elektronik) dan sekiranya masih terdapat saki baki air di dalam alat berkenaan, akan berlaku litar pintas yang mana alat tersebut akan mengalami kerosakan serius dan terpaksa diganti.Kos untuk sebuah kotak komputer adalah lebih kurang RM1000 -- RM1500,bergantung pada jenis kereta, cc dan pilihan pengguna. Tindakan itu juga akan menyebabkan kesemua sensor yang biasanya akan beroperasi semasa kita menyalakan suis enjin menjadi terbakar. Biasanya satu sensor harganya tidak berapa mahal tetapi kesan daripada sensor yang tidak berfungsi boleh menyebabkan kos yang tinggi. Contohnya, sensor untuk mengesan atau untuk mengarah minyak kotak gear mengalir dengan baik di dalam kotak gear apabila tidak berfungsi akan menyebabkan pengagihan minyak kotak gear tidak sekata dan paling lama kotak gear tersebut boleh berfungsi dengan baik adalah 2 hingga 3 bulan.Selepas itu, keseluruhan kotak gear terpaksa diganti (harga untuk kotak gear baru wira 1.6 auto adalah lebih kurang RM7000).
Apabila sampai ke bengkel, periksa bahagian yang terkena air terutama bahagian elektronik dan rungkaikan semua kereta anda keseluruhannya termasuk kesemua penutup alat elektronik. Periksa palam pencucuh kereta. Pastikan ianya tidak berair. Kalau berair maksudnya air telah masuk ke dalam enjin. Periksa minyak enjin dan pastikan minyak enjin tidak bercampur air. Periksa minyak petrol. Selepas semua peralatan elektronik telah dipastikan kering sepenuhnya (biasanya 2 atau 3 hari), baru boleh dihidupkan enjin tetapi jangan cuba jalankan kereta kerana kotak gear belum diperiksa. Periksa dulu benda-benda ini. Sekiranya enjin boleh dihidupkan, murahlah belanja. Jika tidak, mungkin akan mencecah ribu-ribu ringgit. Periksa minyak kotak gear, biasanya ia berwarna merah dan kalau bercampur air, warnanya akan bertukar menjadi warna air bandung (merah susu). Jika bercampur air, tukar minyak gear, jalankan kereta untuk 2-5 minit dan periksa kembali minyak gear. Ulang tindakan ini sehingga minyak kotak gear menjadi betul-betul merah jernih atau tidak bercampur air. Biasanya proses ini perlu diulang sehingga 7-8 kali dan akan menggunakan lebih kurang 15-20 liter minyak kotak gear. Sekiranya tiada kerosakkan yang melibatkan peralatan elektronik, kos cuma melibatkan upah, minyak enjin, minyak kotak gear dan beberapa peralatan yang sensitif kepada air seperti penapis udara (original).
Peralatan lain seperti mesin basuh, peti sejuk dan barang-barang elektrik lain pun begitu juga , mesti dijemur hingga kering baru boleh "On".. [Dari FB: Lai Fatt Chua]
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment