Sunday, December 14, 2014
Fatamorgana Hanya Membawa Kecewa
Dunia ini penuh kacau-bilau. Perpecahan, pergeseran dan segala bentuk perkara negatif mudah berlaku. Masa kini insan lebih banyak memandang ke atas, ke hadapan dan ke sisi, jarang sekali tunduk ke bawah melihat kaki yang berpijak di bumi nyata. Yang dilihat dengan mata kasar itulah yang diidam-idamkan.
Rumput di seberang jalan dicemburui kerana kehijauannya. Bulan di langit dirindui kerana cahayanya. Bila rumput dan bulan gagal dimiliki, lalu merajuklah hati, meninggalkan keceriaan dan kebahagiaan hakiki yang selama ini menjadi tonggak kehidupan. Tidak terfikir olehnya bahawa rumput hijau di seberang jalan itu hanya rumput plastik yang kehijauannya bakal pudar ditelan luluhhawa. Bulan di langit pula cuma batu-batuan, lopak dan gaung pasir yang tidak mampu menampung sebarang hidupan.
Insan merancang perkara-perkara yang pada fikirannya mampu membawa keuntungan baginya. Apabila yang direncanakan itu tidak menjadi, ia membawa dua isyarat, sama ada perlu berusaha lagi ataupun perkara itu lebih banyak MEMBAWA KEBURUKAN. Sesungguhnya dan sebenar-benarnya, perancangan Allah itu jauh lebih baik dan lebih hebat. Istana gemerlapan yang dilihat di kejauhan itu hanya FATAMORGANA yang nilainya ialah SIFAR - ZERO – NOL, umpama istana Disney dalam dunia seluloid. Fatamorgana itu melelahkan, melemaskan dan membuatkan pemburunya terperangkap dalam KEKECEWAAN.
Allah mengetahui apa yang bermanfaat buat hamba-Nya. Redhalah dengan ketentuan-Nya. Jalani hidup dalam keadaan QANAAH (serba cukup). Bagi setiap nikmat yang dianugerahkan - makan pakai, tempat berteduh, amal soleh dan silaturrahim orang-orang di sekeliling, panjatkanlah rasa SYUKUR kepada-Nya.
Walaupun dunia kini dalam keadaan huru-hara, insan individu masih berpeluang membina kebahagiaan dalam dunia ciptaan sendiri dengan membuang sifat jumud dan prasangka. Sebarkan salam dan kemaafan, doakan saudara seakidah dalam diam-diam, hadapi ujian Allah dengan penuh redha. Duhai hati, usah merajuk lagi. Kembalilah ke wadi yang penuh kedamaian abadi.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment