Tuesday, December 2, 2014
Cara Rasulullah s.a.w. Mengubati Penyakit Masyarakat
Sudah menjadi fitrah manusia ingin hidup aman damai. Begitu juga fitrah manusia tidak mahu berlakunya krisis, kemungkaran, pemerkosaan dan segala penyakit masyarakat.Kalau dia seorang pemimpin, dia mahu orang yang dipimpinnya meletakkan ketaatan kepadanya. Jika dia seorang yang dipimpin, dia mahu pemimpinnya meletakkan keadilan kepadanya. Kalau dia seorang ayah, dia mahu anak-anaknya memberikan ketaatan dan kepatuhan kepadanya. Jika dia seorang anak, dia mahu ibu dan ayahnya meletakkan kasih sayang kepadanya. Suami kepada isterinya, dan isteri kepada suami. Andaikata pemimpin, ibu, ayah, guru, suami, isteri dapat meletakkan diri di tempat masing-masing, rakyat, anak murid dapat meletakkan diri di tempat masing-masing, maka tidak akan terjadi pergaduhan, pertengkaran di atas muka bumi ini.
Tetapi apa yang terjadi kini adalah sebaliknya. Firman Allah yang ertinya: "Telah berlaku kerosakan di daratan dan di lautan akibat dari tangan-tangan manusia" [Q.S Ar-Rum : 41]--------------Ini berlaku kerana pemimpin tidak dapat memberi keadilan terhadap orang-orang yang dipimpinnya. Orang yang dipimpinnya tidak dapat memberikan ketaatan kepadanya. Ibu ayah tidak dapat memberikan kasih sayang kepada anak-anak mereka, anak-anak tidak dapat memberikan ketaatan terhadap ibu dan ayah, guru terhadap murid dan murid terhadap gurunya, suami terhadap isteri dan isteri kepada suami. Sebab itu berbagai-bagai masalah timbul, dari rumahtangga hingga ke negara-negara yang mempunyai pemimpin yang hebat.
Berbagai cara dan jalan dicari untuk menyelesaikan masalah. Ada yang mengatakan kekayaan dapat menyelesaikan masalah ini. Maka merekapun berusaha bersungguh-sungguh mendapatkannya, namun tidak menyelesaikan masalah. Kepandaian, ilmu pengetahuan, pangkat dan darjat gagal menyelesaikan masalah yang melanda masyarakat, malah bertambah parah dan rumit. Ada yang mencadangkan hukuman sebagai jalan keluar, terbukti semakin ramai yang sedang menunggu hukuman gantung, menjadi penghuni penjara dan pusat serenti. Masalah tetap tidak selesai malah makin bertambah.
Jalan paling mudah untuk selesaikan masalah ini ialah kembali kepada Al Qur'an dan Sunnah Rasulullah SAW. Firman Allah SWT yang ertinya : "Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah sesuatu kaum itu, sehingga mereka mengubah yang ada di dalam diri mereka (hatinya)" [Q.S Ar-Rad : 11]. Hadis Rasulullah SAW yang ertinya : "Di dalam diri manusia itu ada seketul daging. Jika baik daging itu maka baiklah jasadnya. Jika rosak daging itu, maka rosaklah jasadnya. Ketahuilah itu adalah hati." (riwayat al-Bukhari dan Muslim). Abu Hurairah melaporkan dalam sebuah hadis "Hati adalah umpama raja dan anggota badan adalah sebagai pengawalnya. Apabila raja memerintah dengan baik, maka pengawalnya tentu bertugas dengan baik. apabila rajanya melakukan sesuatu yang tidak baik, maka sudah tentu pengawalnya pun begitu juga".
Dapat dilihat dari Al Qur'an dan Hadis tadi setiap penyakit yang timbul dalam diri manusia bermula dari hati berpenyakit (jahat) yang mendorong mata, kaki, tangan berbuat jahat. Maka lahirlah masyarakat yang jahat, seperti merompak, membunuh, memfitnah, mengumpat dan sebagainya. Penyakit masyarakat (rosak aqidah, malas solat, bergaul bebas, dedah aurat, zina, anak luar nikah, buang anak........terlalu panjang senarainya) boleh diibaratkan sebagai sebatang pokok yang mengeluarkan buah beracun. Buah itu beracun disebabkan pokok yang beracun. Jadi untuk menghilangkan buah yang beracun hendaklah ditebang pokok itu terlebih dahulu. Kalau sekadar buang buah atau cantas dahan saja, sepuluh buah yang dibuang akan tumbuh pula sepuluh pokok/ dahan yang beracun. Begitulah seterusnya.
Lihat saja bagaimana Rasulullah s.a.w. berjaya mengubat penyakit masyarakat ketika zamannya sehingga menjadikan orang miskin sabar dan redha dalam kemiskinan dan orang kaya pemurah. Seperti Abu Hurairah yang menjadi ketua dari puluhan fakir miskin yang tinggal di Serambi Masjid Madinah. Sayidatina Fatimah, seorang wanita miskin walaupun anak Rasulullah s.a.w. dan menikah pula dengan Sayidina Ali yang begitu miskin lagi pejuang pula. Kemudian perpecahan di antara satu golongan dapat disatukan seperti Muhajirin dan Ansar. Baginda Rasulullah s.a.w. mendidik masyarakat jahiliah kenal dan cinta kepada Allah SWT. Rasulullah s.a.w. diutus sebagai Pembawa Rahmat kepada sekalian alam.
Sebelum dibahas tentang bagaimanakah Rasulullah s.a.w. mengubati penyakit masyarakat jahiliah di zamannya, terlebih dahulu kita mesti memahami jenis penyakit masyarakat yang kritikal ketika itu. Sebelum Nabi Muhammad SAW diangkat menjadi Rasul, masyarakat tertimpa berbagai macam krisis dan penyakit jiwa. Di antara penyakit yang menimpa masyarakat :Sangat memuja berhala. Hati masyarakat begitu melekat kepada berhala.Terlalu ketagihan dengan arak/alkohol.Terlalu suka dengan riba. Bunga tinggi, tak sanggup bayar, jadi hamba.Wujudnya dua empayar besar yaitu Rome dan Parsi yang menindas negara-negara lemah.Pelacuran amat berleluasa di tengah-tengah masyarakat.Akhlak kaum wanita ketika itu amat rendah.Manusia terlalu bakhil, terlalu gila harta sehingga harta orang hendak dijadikan harta sendiri. Perpecahan menjadi-jadi sehingga membawa kepada peperangan. Kadang-kadang peperangan besar hanya disebabkan hal kecil.
Rasulullah s.a.w. menyelesaikan krisis dengan menanam 3 pil pada diri masyarakat Jahiliah ketika itu.PERTAMA, menanam kembali rasa tauhid ke dalam hati masyarakat sehingga manusia terasa akan kebesaran Tuhan, kasih sayang, kehebatan dan keperkasaan Tuhan. Hingga wujud rasa berTuhan dan rasa kehambaan dalam jiwa masyarakat. KEDUA, menanam kembali cinta kepada Akhirat. Beliau memperkatakan tentang Syurga dan Neraka. "Akhirat itu adalah lebih utama, lebih baik daripada dunia." (Q.S. Ad Dhuha : 4). "Akhirat itu adalah lebih baik dan lebih kekal" (Q.S. Al A'la : 17). Lalu lahirlah manusia yang jiwanya terpaut dengan Akhirat. Bukan saja harta dihabiskan untuk Akhirat bahkan nyawa sendiri dikorbankan. Mereka mahu mati syahid menjadi para syuhada. KETIGA, Rasulullah menanam semangat dan perasaan cinta akan sesama manusia terutamanya umat Islam untuk mengikis penyakit terlalu cinta diri sendiri, keluarga atau kawan-kawan sendiri. Lahirlah perpaduan dan ukhwah. Hiduplah mereka dalam berkasih sayang, bertolong bantu antara satu sama lain.
"Tidak sempurna iman seseorang dari kamu sehingga dia mencintai diri saudara-saudaranya seperti dia mencintai dirinya sendiri". "Sebaik-baik manusia ialah manusia yang banyak berkhidmat kepada manusia yang lain". "Barang siapa yang menunaikan hajat saudara lain, Tuhan akan tunaikan padanya 70 hajat". Terjalin perasaan ghairah apabila menolong orang lain. Lahir perasaan kasih sayang pada orang lain. Mereka dapat merasakan nasib orang lain seperti nasib sendiri, kesenangan orang lain seperti kesenangan sendiri, kesusahan orang lain seperti kesusahan sendiri, darah orang lain seperti darah sendiri, nyawa orang lain seperti nyawa sendiri. Dengan 3 pil inilah Rasulullah S.A.W. mendidik manusia Jahiliyah hinggakan Allah telah memuji Rasulullah dan generasi ketika itu. ---------- Firman Allah yang ertinya : "Kamu adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan untuk manusia yang mengajak kepada Ma'ruf dan mencegah yang mungkar dan beriman kepada Allah" [Q.S. Ali Imran : 110]. ---------- Hadis Rasulullah s.a.w. ertinya: "Sahabat-sahabatku adalah seperti bintang-bintang di langit. Jika diikuti di antara mereka nescaya kamu akan mendapat petunjuk".
Penyelesaian untuk zaman ini telah ada contohnya terbentang di hadapan mata. Jika benar beriman kepada Allah dan Rasul, ikutilah cara Al Qur'an dan Sunnah, yang telah ditunjukkan Baginda. Kita terlalu banyak berteori dalam mengatasi gejala sosial dan penyakit masyarakat sedangkan keadaan semakin meruncing saban hari. Dalam Islam, HUKUMAN adalah perkara terakhir, setelah semua perkara-perkara asas dilaksanakan. Maka tidak wajar HUKUMAN didahulukan jika belum menempuh disiplin dakwah yang ditunjukkan Nabi s.a.w.
Hari ini bukan tidak ramai ulama, pendakwah, guru, pakar motivasi tetapi usaha menanamkan iman ke dalam jiwa manusia amat kurang dilaksanakan. Yang amat diperlukan ialah membawa manusia kembali merasa kehambaan dan rasa berTuhan, menerima Allah sebagai tuhannya, lantas mahu menyembahnya. Menanam iman tidak semudah menanam pokok. Sedangkan menanam pokok perlu dijaga, dibaja, dipagar, diracun musuh-musuhnya, inikan pula iman. Tetapi jika memandang pada payahnya, tanpa memulakan usaha, pasti tidak berjaya. Lihat kembali cara Rasululllah s.a.w. membaiki masyarakat di zamannya dengan iman, hingga lahir masyarakat yang agung akhlak. .................[Nota Oleh : Ustaz Mohd Fadli Yusof. LINK NOTA ASAL : https://www.facebook.com/notes/mohd-fadli-yusof/bagaimana-rasulullah-mengubati-penyakit-masyarakat/457367031718]
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment