Friday, December 5, 2014
Awal Syiah Di Malaysia
1 Februari 1979 Khomeini pulang ke Iran selepas rajanya Shah Iran Reza Pahlavi lari meninggalkan Tehran. Khomeini melabelkan perjuangannya sebagai sebuah Revolusi Islam dan menjadikan Iran sebagai negara Islam pasca dunia moden.
Namun selepas kejayaan revolusi Iran, Khomeini disibukkan dengan krisis tahanan Kedutaan Amerika Syarikat di Tehran pada 1982 yang berlarutan selama 444 hari. Sekumpulan para pelajar universiti Tehran yang pro revolusi telah menawan seramai 52 orang kakitangan kedutaan Amerika di Tehran. Ia bermula pada 4 November 1979 dan berakhir pada 20 Januari 1981. 24 April 1980 Presiden Amerika ketika itu, Jimmy Carter telah menghantar tentera elitnya menggunakan lapan helikopter untuk operasi menyelamat tebusan di kedutaan mereka di Tehran. Namun tragedi menimpa pasukan khas ini apabila diserang ribut pasir sehingga menyebabkan helikopter-helikopter yang digunakan pasukan khas ini bertembung sesama sendiri. Operasi penyelemat ini gagal dan beberapa orang anggota pasukan elit ini terbunuh. Mayat anggota tentera elit ini kemudiannya diarak dan dipamerkan pada rakyat Iran di Tehran.
Tamat sahaja krisis tebusan kedutaan Amerika ini, Khomeini mula mengeksport semangat revolusi Islam Iran ke seluruh dunia Islam. 1982 Khomeini telah mengadakan Persidangan Ulama Islam Sedunia di Tehran. Dan antara yang dijemput dalam persidangan tersebut adalah pemimpin gerakan Islam dari seluruh Asia tenggara termasuk dari Malaysia. Salah seorang wakil Malaysia ialah Ustaz Asaari Muhammad dari pertubuhan Al Arqam. Bila kembali ke negara masing-masing,mereka menggunakan semangat revolusi Islam Iran ini sebagai alat menaikkan semangat perjuangan pergerakan di seluruh Nusantara, termasuk Malaysia. Asaari, pemimpin Arqam telah menulis buku bertajuk ‘Bahaya Syiah’ dan kemudiannya mengadakan road show di seluruh negara bagi mendedahkan penyelewengan aqidah Syiah dan bahaya revolusi Iran terhadap masa depan umat Islam seluruh dunia. Namun usahanya diperlekehkan oleh ramai pemimpin gerakan Islam di Malaysia.
1983 satu taklimat mengenai krisis tebusan kedutaan Iran (1979-1980) diadakan di International Hotel Kuala Lumpur. Zabidi Mohamed beserta 80 orang pemimpin pelajar dari sekitar KL, termasuk pelajar Malaysia dari UK yang kebetulan pulang bercuti telah menghadirinya. Dalam program itu tiga orang pemimpin pelajar Universiti Tehran yang terlibat dalam peristiwa rampasan dan tebusan kedutaan Amerika di Tehran memberi taklimat dan menanam kebencian terhadap Amerika. Di atas lantai di ruang masuk ke dewan, bendera Amerika diletakkan untuk dipijak-pijak oleh para peserta semasa memasuki dewan seminar. Beberapa gambar peristiwa penahanan tebusan di kedutaan Amerika di Tehran digantung di dinding sebagai bahan pameran dan propaganda. Ketika sesi soal jawab diadakan, pihak pengurusan hotel memaklumkan terdapat dua buah trak FRU sudah berada di luar hotel dengan beberapa kereta peronda polis untuk menyerbu program tersebut. Esoknya berita mengenai program anjuran pelajar Universiti Tehran ini tersiar di dada akhbar dan tiga pelajar yang mengendalikan program tersebut telah diarah keluar segera dari Malaysia.
Beberapa bulan kemudian, seorang pelajar senior di fakulti undang-undang tidak hadir kuliah dan tutorial selama beberapa minggu. Pada hari pertama dia muncul semula di fakulti, dia memberitahu telah dipanggil oleh pihak Special Branch (SB) dari Bukit Aman untuk disoal siasat. Dia mengaku gelah menghadiri Persidangan Pemimpin Pelajar Islam Sedunia yang dianjurkan oleh Khomeini di Tehran bersama beberapa pelajar di Universiti Malaya yang lain. Semua kos tiket dan penginapan mereka ditanggung oleh kerajaan Iran.Sejak itu bermulalah era menyebarkan semangat revolusi Iran di kampus Universiti Malaya diketuai oleh seorang tenaga pengajar di Fakulti Sastera. 1995 Ustaz ini bersama-sama dengan beberapa pejuang syiah tanahair telah di tahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negara (I.S.A). Ramai pengikut gerakan Islam di Malaysia menghantar anak-anak mereka belajar agama di Qom, Iran yang dianggap kota suci bagi pengikut syiah. Anak-anak inilah yang sekarang telah kembali dan sedang mengembangkan fahaman dan aqidah sesat syiah di Malaysia hari ini.
[Petikan dari buku tulisan Zabidi Mohamed berjodol MEMOIR SEORANG PENGIKUT ‘The Leap Of Faith’ yang merupakan sambungan kepada buku ARQAM, TERSUNGKUR DI PINTU SYURGA.]
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment