Wednesday, December 31, 2014
Info Penting Untuk Mangsa Banjir
Kebanyakan harta benda akan musnah jika “banjir” sudah mengetuk pintu rumah anda, termasuklah kereta. Malang sekali, hampir semua insurans kereta tidak memberi perlindungan jika kereta dilanda bencana alam, seperti ditimpa pokok, terbalik akibat ribut kencang, dan kereta yang ditenggelami air banjir.Apabila terkena banjir teruk, kereta yang separuh tenggelam atau sepenuhnya sering diklasifikasikan sebagai “totaled”, “gone case”, lalu terpaksa dilupuskan. Walau bagaimanapun, sesetengah kereta ini berakhir di kedai kereta terpakai.Pembeli perlu berhati-hati kerana tidak semua peniaga akan berterus terang mengenai kerosakan kereta akibat banjir. Ia bakal menjejaskan kewangan anda suatu hari nanti. Walaupun kereta kelihatan baik dan seolah-olah berfungsi dengan baik, masalah yang bakal menelan belanja mahal boleh muncul kemudian hari disebabkan hakisan karat yang terus berlaku di dalam komponen kritikal. Kereta seperti ini boleh membahayakan nyawa pemandu.
Selepas banjir surut, periksa kenderaan anda. Jangan cuba hidupkan enjin kerana ini akan menyebabkan kereta mengalami kerosakan lebih teruk. Pastikan pihak kereta penunda, atau ejen bengkel tidak berbuat tindakan serupa - satu taktik kotor untuk anda bayar lebih bagi membaiki kerosakan. Apabila enjin dihidupkan dengan menggunakan alat kawal jauh, aliran elektrik mengalir ke dalam semua sistem elektronik enjin termasuk kotak komputer (untuk kereta suntikan elektronik) dan sekiranya masih terdapat saki baki air di dalam alat berkenaan, akan berlaku litar pintas yang mana alat tersebut akan mengalami kerosakan serius dan terpaksa diganti.Kos untuk sebuah kotak komputer adalah lebih kurang RM1000 -- RM1500,bergantung pada jenis kereta, cc dan pilihan pengguna. Tindakan itu juga akan menyebabkan kesemua sensor yang biasanya akan beroperasi semasa kita menyalakan suis enjin menjadi terbakar. Biasanya satu sensor harganya tidak berapa mahal tetapi kesan daripada sensor yang tidak berfungsi boleh menyebabkan kos yang tinggi. Contohnya, sensor untuk mengesan atau untuk mengarah minyak kotak gear mengalir dengan baik di dalam kotak gear apabila tidak berfungsi akan menyebabkan pengagihan minyak kotak gear tidak sekata dan paling lama kotak gear tersebut boleh berfungsi dengan baik adalah 2 hingga 3 bulan.Selepas itu, keseluruhan kotak gear terpaksa diganti (harga untuk kotak gear baru wira 1.6 auto adalah lebih kurang RM7000).
Apabila sampai ke bengkel, periksa bahagian yang terkena air terutama bahagian elektronik dan rungkaikan semua kereta anda keseluruhannya termasuk kesemua penutup alat elektronik. Periksa palam pencucuh kereta. Pastikan ianya tidak berair. Kalau berair maksudnya air telah masuk ke dalam enjin. Periksa minyak enjin dan pastikan minyak enjin tidak bercampur air. Periksa minyak petrol. Selepas semua peralatan elektronik telah dipastikan kering sepenuhnya (biasanya 2 atau 3 hari), baru boleh dihidupkan enjin tetapi jangan cuba jalankan kereta kerana kotak gear belum diperiksa. Periksa dulu benda-benda ini. Sekiranya enjin boleh dihidupkan, murahlah belanja. Jika tidak, mungkin akan mencecah ribu-ribu ringgit. Periksa minyak kotak gear, biasanya ia berwarna merah dan kalau bercampur air, warnanya akan bertukar menjadi warna air bandung (merah susu). Jika bercampur air, tukar minyak gear, jalankan kereta untuk 2-5 minit dan periksa kembali minyak gear. Ulang tindakan ini sehingga minyak kotak gear menjadi betul-betul merah jernih atau tidak bercampur air. Biasanya proses ini perlu diulang sehingga 7-8 kali dan akan menggunakan lebih kurang 15-20 liter minyak kotak gear. Sekiranya tiada kerosakkan yang melibatkan peralatan elektronik, kos cuma melibatkan upah, minyak enjin, minyak kotak gear dan beberapa peralatan yang sensitif kepada air seperti penapis udara (original).
Peralatan lain seperti mesin basuh, peti sejuk dan barang-barang elektrik lain pun begitu juga , mesti dijemur hingga kering baru boleh "On".. [Dari FB: Lai Fatt Chua]
Monday, December 29, 2014
Malaysia Menangis 2014
Redha atas Takdir-Nya.
Air pasang besar melanda Pantai Timur.
Terperangkap akibat jalan terputus.
Stok makanan kehabisan.
Rumah hilang dibawa arus deras. Yang tinggal hanya tapak rumah.
Mangsa mencari perlindungan di RnR Temerloh.
Kemusnahan bagai dilanda tsunami.
Friday, December 26, 2014
Hikmah Musibah
Seorang ahli hikmah, Ibn Ataillah Askandari pernah berkata, “Apabila Allah menguji orang Islam dengan tragedi, maka mereka mesti MELIHAT DENGAN MATA HATI dan MEMIKIRKAN DENGAN AKAL, agar tercungkil hikmahnya. Jika tidak, itu petanda penglihatan hati tidak jauh, akal yang pendek.”
MUSIBAH adalah SEBAHAGIAN UJIAN yang tidak dapat dihindari kerana HIDUP ini hakikatnya adalah UJIAN. Apabila sanggup hidup, mesti sanggup diuji. Firman Allah: “Dia yang menjadikan mati dan hidup adalah untuk menguji siapakah dalam kalangan kamu yang TERBAIK AMALANNYA.” (Surah Al Mulk ayat 2).
Manusia tidak suka musibah kerana bentuknya yang negatif seperti kematian, kesakitan, kemiskinan, ketakutan, kegagalan, kesedihan, bencana dll. Musibah menimpa semua manusia tidak kira sama ada yang baik atau yang jahat. Cuma bagaimana keadaan seseorang semasa dia ditimpa musibah dan bagaimana dia menghadapi musibah itu menentukan darjatnya di sisi Allah. Firman Allah: “Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal perkara itu amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal perkara itu amat buruk bagimu. Allah mengetahui, sedangkan kamu tidak mengetahui. (Surah al Baqarah ayat 216).
Orang yang beriman yakin setiap perintah Allah itu semuanya bermaksud baik belaka dan yakin dengan hikmah di sebaliknya:
1. Sebagai KAFARAH untuk menyucikan diri orang-orang baik yang terbuat jahat akibat kelalaian dan tidak mampu melawan hawa nafsu.
2. Sebagai IBTILA’ ke atas orang baik yang buat baik supaya dia mendapat pahala berganda (pahala syahid, pahala sabar, pahala pemaaf, pahala bersangka baik) yang meninggikan darjatnya.
3. Sebagai BALA ke atas orang jahat yang membuat jahat akibat memutuskan hubungan dengan Allah. Mereka dihukum di dunia sebelum dihukum dengan lebih berat di akhirat.
4. Musibah menguji dan menguatkan IMAN seseorang mukmin.
5. Melatih diri supaya SABAR.
6. Supaya manusia lebih DEKAT dengan Allah.
7. Mungkin Allah RINDU hendak mendengar rintihan hamba-Nya.
8. Indikator bahawa ALLAH MAHA PERKASA dan manusia pula hamba yang sangat lemah dan tidak berdaya dalam apa jua.
9. Musibah meletakkan manusia berada dalam keadaan TAWADUK, menjadikan DOA serta TAUBAT betul-betul IKHLAS.
10.MEMBANGKITKAN orang yang LALAI dengan nikmat dunia.
11.Supaya manusia yang melakukan KEROSAKAN pada alam sekitar dapat mengambil pengajaran akibat perbuatan mereka.
12.Kadangkala orang yang ditimpa musibah itu adalah akibat perbuatan orang lain. Keadaannya kini dikira orang yang TERANIAYA.Maka Allah merahmatinya dengan mengurniakan DOA yang MAKBUL.
13.Musibah adalah SUMBER PAHALA bagi mereka yang memberi khidmat kebajikan kepada manusia lain.
14.Musibah menunjukkan bahawa dunia ini hina dan tiada apa-apa jika dibandingkan dengan akhirat. DUNIA hanya JAMBATAN ke syurga atau neraka.
15.Musibah adalah PILIHAN ALLAH bagi hamba-Nya dan ia adalah yang terbaik.
Begitulah besarnya hikmah musibah, zahirnya negatif tetapi secara tersirat amat positif. Rasulullah s.a.w. bersabda: “ Perumpamaan orang yang beriman apabila ditimpa ujian, bagai besi yang dimasukkan ke dalam api, lalu hilanglah karatnya (tahi besi) dan tinggallah yang baik sahaja.” Baginda juga bersabda: “ Sungguh mengagumkan urusan seorang Mukmin, semua perkara (yang terjadi pada ) dirinya selalu baik untuknya. Kalau mendapatkan kesenangan, dia terus bersyukur. Maka itu sangat baik untuknya. Dan kalau tertimpa musibah, dia terus bersabar. Dan ini pun menjadi baik untuknya.”
Allah berfirman: “Hanyasanya ucapan orang yang beriman apabila diseru kepada Allah dan Rasul-Nya supaya melaksanakan hukum antara mereka, mereka berkata, ‘Kami dengar dan kami taat.’ Mereka itulah orang yang berjaya.” (An Nur ayat 51)----------“(Iaitu) orang yang apabila ditimpa kesusahan, mereka berkata, ‘ Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali’” (Al Baqarah ayat 156).
Begitulah respons orang yang beriman. Namun begitu, mengapa masih ramai manusia tidak patuh kepada perintah dan tidak sabar dengan musibah. Puncanya kerana kurang ilmu dan lemah iman. Dengan ilmu, akan terserlah hikmah dalam setiap musibah dan dengan iman, hati boleh ditenteramkan dengan mengingati Allah. Dalam suatu hadis qudsi, Allah menegaskan: “Wahai anak Adam, jika engkau sabar dan mencari keredhaan pada saat musibah yang pertama, maka Aku tidak meredhai pahala selain syurga.” (HR Ibn Majah no. 1597).
Tidak salah bersedih dengan musibah. Tidak salah berasa derita ketika mentaati perintah Allah. Namun jangan membantah dengan sombong. Dan jangan bersedih secara keterlaluan.Alangkah malang jika seorang anak yang sedang sakit meluahkan ubat yang disuapkan oleh ibunya bagi menyembuhkan dia. Malah lebih malang lagi jika seorang hamba menolak hikmah musibah yang dikurniakan oleh Allah. Hamba itu akan menderita dua kali. Pertama, menderita ketika musibah itu. Kedua, kerana terluput dan tercabutnya hikmah di sebalik musibah itu.
Carilah dan temuilah hikmah musibah. Sesungguhnya ada JANNAH (syurga) di sebalik musibah.
(Ringkasan artikel “Hikmah Musibah” dalam Solusi #19. Ibrah dari peristiwa tsunami 26 Disember 2004)
Thursday, December 25, 2014
Cermin Mata dan Cermin Muka
Manusia kini sudah kembali berperangai seperti haiwan, ejek mengejek dan tipu muslihat.Manusia lebih teruk dari babi yang tabiatnya menyondol dan najisnya sampai ke darah daging. Kita sudah kembali ganas seperti ular dan buaya yang bercabang lidah, sanggup membelit serta menelan mangsa sekali dengan kasut dan topi keledarnya. Ironinya, golongan yang jahat, ganas, membelit dan zalim seperti haiwan itu yang diagungkan dan disembah manusia. Letakkanlah politik, perbezaan di segi warna kulit, kaum dan agama di tepi. Jangan kerap BERCERMIN MATA kerana khuatir akan terlihat ‘aib orang. Jika terlihat, berusahalah bersungguh-sungguh untuk menutupinya. In sya Allah ‘aib sendiri akan ditutupi Allah pula.
Sebaliknya, rajin-rajinlah BERCERMIN MUKA supaya dapat melihat semua sifat yang mencacatkan diri. Jika ada, dan sudah semestinya ada, berusahalah bersungguh-sungguh untuk memperbetulkannya.Gunakan cermin muka untuk mengesan sifat mazmumah di dalam diri yang memang menjadi laluan mudah untuk syaitan menghasut manusia. Di antaranya:
SIFAT PEMARAH – Marah yang tidak dikawal menyebabkan hilang kewarasan pemikiran.
MENURUTI HAWA NAFSU – Inilah laluan syaitan yang meniupkan “angin jahat”, menyebabkan manusia terjerumus ke lembah maksiat seperti zina, rogol, liwat dan sebagainya.
SOMBONG DAN TAKBUR – menyebabkan ramai manusia menolak kebenaran. Lebih dahsyat lagi bila ada manusia yang mengaku dirinya Tuhan dan juga Nabi!!!
BAKHIL – adalah sifat tamak melampau yang ditanam oleh syaitan sehingga individu itu terasa berat untuk bersedekah atau menghulurkan bantuan.
HASAD DENGKI – Tidak senang dengan kesenangan orang lain. Kalau seseorang dikurniai nikmat, dia amat susah hati sehingga mendorong melakukan sesuatu.
JAHIL – Orang tidak beriman mudah disesatkan oleh syaitan. Maka timba sebanyak-banyak ilmu agama Islam yang benar daripada para ulama muktabar.
ALLAH S.W.T. menyediakan banyak sifat mahmudah dalam diri manusia. Mengelakkan sifat mazmumah bererti mengajak diri kepada kebaikan.
Takut Kepada Allah S.W.T.
Sifat TAKUT KEPADA ALLAH S.W.T. dan menaruh harapan kepada-Nya umpama dua sayap yang digunakan oleh para muqarrabun (orang-orang yang dekat kepada Allah) untuk menuju ke tingkat yang terpuji.
Tidak ada yang mampu sampai kepada Ar Rahman dan Ruhul Jinan kerana tempatnya sangat jauh melainkan orang yang kuat harapannya kepada Allah.Gunakan keutamaan ini sebagai pembimbing ke jalan kebaikan dan petunjuk ke tingkatan yang lebih tinggi. Orang-orang yang tidak takut kepada Allah merasakan dosa itu ringan dan jarang ingin menggambarkan kepada diri sendiri betapa berat dan azabnya seksaan Allah. Oleh itu, jadikan takut kepada Allah dan berharap dengan-Nya sebagai Ilmu dan iman yang harus dipertahankan.Baginda Rasulullah saw bersabda: “Demi Allah, sesungguhnya aku adalah orang yang paling mengetahui Allah dan Aku paling takut kepada-Nya.”
Allah Yang Maha Mengetahui bertanya kepada malaikat-Nya: “Apakah yang diucapkan oleh para hamba-Ku?”
Malaikat menjawab: “Mereka sedang bertasbih, bertahmid dan memuja-Mu.”
“Adakah mereka melihat-Ku?”
“Tidak.Allah mereka tidak melihat-Mu.”
“Bagaimana seandainya mereka melihat-Ku?”
“Seandainya mereka melihat-Mu, pasti mereka akan lebih beribadah, memuji dan bertasbih kepada-Mu.”
“Apakah yang mereka pohonkan kepada-Ku?”
“Mereka memohon kepada-Mu syurga.”
“Adakah mereka melihatnya?”
“Tidak, demi Allah mereka tidak melihatnya.”
“Bagaimanakah seandainya mereka melihatnya?”
“Seandainya mereka melihatnya, pasti mereka akan lebih menghendaki, meminta-minta dan mengimpikannya.”
Wednesday, December 24, 2014
Raih Keampunan Ar Rahman Dengan Memaafkan Insan
Jika dibandingkan dengan Allah Yang Maha Pengampun dan Maha Pemaaf, siapakah kita yang merasa terlalu ego untuk tidak memaafkan kesalahan orang lain? Apakah kita terlalu suci, baik dan sempurna? Sedangkan Allah Yang Agung pun sudi memaafkan kesalahan hamba-hamba-Nya, apatah lagi kita. Allah sudi mengampun bukan sekali, tetapi berkali-kali. Dengan memaafkan, musuh bertukar menjadi sahabat, penentang beralih menjadi pejuang. Bukan setakat sesama Islam, malah yang belum Islam juga.
Iman itu memaafkan. Iman itu aman. Orang yang beriman bukan sahaja dapat merasai keamanan dalam dirinya tetapi juga dapat memberi keamanan kepada orang lain. Orang beriman tidak mudah disakiti hatinya. Jika disakiti sekalipun, dia mudah memaafkan. Sikap mudah memberi maaf menjadi ukuran sejauh mana iman dan kasih sayang yang ada dalam hati seseorang.
Dengan iman, pihak yang bersalah mudah meminta maaf. Dengan iman juga, pihak yang diminta maaf mudah memberi maaf. Meminta dan memberi maaf menghapuskan dosa orang yang melakukan kesalahan dan dosa akibat dendam orang yang menjadi sasaran kesalahan.
Rasulullah s.a.w. bersabda: “Tidak halal bagi seorang Muslim untuk tidak bertegur sapa dengan saudaranya lebih daripada 3 hari. Orang yang terbaik ialah orang yang pertama memulakan salam. (HR al Bukhari).
[Pahrol Moud Juoi]
Tuesday, December 23, 2014
Membaiki Manusia Melalui Solat
Manusia mengukur kejayaan di segi kedudukan ekonomi. Tetapi Allah mengukur kejayaan di segi kesungguhan seseorang hamba-Nya menjaga solat dan rasa khusyuk ketika mengerjakannya. Kata Hukama, untuk membaiki dunia, perlu dibaiki manusia. Untuk membaiki manusia, perlu dibaiki hatinya. Untuk membaiki hati, perlu dimulakan dengan membaiki solat.
Solat adalah pemula segala kebaikan. Ia merupakan ibadah ritual yang jika dikerjakan dengan khusyuk akan membangunkan spiritual seseorang dalam bentuk akhlak mahmudah seperti sabar, tawadduk, pemurah, pemaaf, berani dan lain-lain. Akhlak yang mulia ini akan meningkatkan nilai sosial. Semakin tinggi rasa kehambaan seseorang kepada Allah melalui solatnya, semakin intim pula hubungannya sesama manusia. Solat yang dikerjakan atas rasa CINTA PENCIPTA (I need to pray) akan menerbitkan rasa BAHAGIA SEMASA SEDANG SOLAT, sebagaimana bahagianya suami ketika bersama isteri tersayang. Solat yang dilaksanakan kerana TERPAKSA lantaran takut berdosa (I have to pray), akan menimbulkan rasa LEGA SELEPAS SELESAI SOLAT, sebagaimana leganya hati selepas selesai kerja memindahkan beban berat yang dipikul. Dalam mana-mana keadaan, sama ada kerana cintakan Pencipta mahupun kerana terpaksa, selagi solat itu dapat dilakukan dengan khusyuk, akan terbitlah roh solat yang menghadirkan keakraban dengan Allah dan sesama manusia.
Kemungkaran berupa jenayah dan penyakit sosial yang semakin parah sekarang adalah menifestasi kurangnya nilai sosial dan spiritual. Umat Islam kini meremehkan solat, sama ada tidak solat langsung ataupun solat tidak khusyuk. Bila tidak ada rasa takut pada Allah, muncullah berbagai kejahatan seperti mengadu-domba, mengumpat, memberi dan menerima rasuah, malas, suka berbalah dan sebagainya. Kurangnya akhlak juga merupakan punca sesetengah jemaah tidak peduli mengenai adab dan etika ketika berada dalam masjid. Bercakap dengan suara yang kuat mengenai hal-hal duniawi terutama politik, tanpa mengambil kira jemaah lain yang sedang beribadah.
Gambar di atas telah diambil oleh Saudara Baharuddin Mohamed ketika beliau bersolat zohor di Masjid Sultan Abu Bakar, Muar. Lelaki ini mengikut Saudara Baharuddin sejak mula mengambil wuduk. Selesai solat, dia menegur Saudara Baharuddin," Minta RM2.00." Wang lalu dihulur dengan senyuman. Kemudian mereka berbual."Orang cakap aku gila. Gila pun aku sembahyang sebab takut pada Allah. Yang aku rasa pelik, dia orang yang tak gila tu tak pula sembahyang!!!" MasyaAllah!!! Dia sedang MENGAJAR SESUATU. Semoga dia diletakkan di kalangan ahli syurga.
Kita semua adalah hamba Allah yang mengambil berat mengenai nasib kita di alam akhirat yang kekal. Oleh itu mari kita raih redha Allah dengan menjaga solat, memohon keampunan-Nya, taat kepada ibu bapa, memaafkan kesalahan orang pada kita, bersyukur atas nikmat yang Allah anugerahkan, berterima kasih kepada manusia yang berjasa, juga membantu orang-orang yang memerlukan pertolongan. Segala kebajikan kita kepada orang, pasti akan dibalasi oleh Allah dengan kebaikan juga.
Monday, December 22, 2014
Keistimewaan Wanita Solehah
Doa wanita solehah lebih makbul dibanding lelaki kerana sifat penyayangnya lebih kuat dibanding lelaki. Ketika ditanya kepada Rasulullah SAW akan hal tersebut, jawab baginda, ”Ibu lebih penyayang daripada bapa dan doa orang yang penyayang tidak akan sia-sia.” Wanita yang solehah ebih baik daripada 1000 lelaki yang soleh. Barangsiapa menggembirakan anak perempuan, darjatnya seumpama orang yang senantiasa menangis kerana takutkan Allah. Dan orang yang takut akan Allah SWT diharamkan api neraka ke atas tubuhnya. Wanita yang tinggal bersama anak-anaknya akan tinggal bersama aku (Rasulullah SAW di dalam syurga).
Barang siapa membawa hadiah (barang makanan dari pasar ke rumah lalu diberikan kepada keluarganya) maka pahalanya seperti melakukan amalan bersedekah.Hendaklah mendahulukan anak perempuan daripada anak lelaki. Barangsiapa mempunyai tiga anak perempuan atau tiga saudara perempuan atau dua anak perempuan atau dua saudara perempuan lalu dia bersikap ehsan dalam pergaulan dengan mereka, dan mendidik mereka dengan penuh rasa taqwa, serta sikap bertanggungjawab, maka baginya adalah syurga. Apabila ayah dan ibu memanggil secara serentak, maka jawablah panggilan ibu terlebih dahulu. Ucapan Aisyah r.a.,” Barangsiapa yang diuji dengan sesuatu pada anak-anak perempuannya lalu dia berbuat baik kepada mereka, maka mereka akan menjadi penghalang baginya dari api neraka.
Wanita yang taat berkhidmat kepada suaminya akan tertutuplah pintu-pintu neraka dan terbuka pintu-pintu syurga. Masuklah dari mana saja pintu yang dia kehendaki dengan tidak dihisab. Wanita yang taat pada suaminya, maka semua ikan-ikan di laut, burung di udara, malaikat di langit, matahari dan bulan semua beristighfar baginya selama dia taat kepada suaminya serta menjaga solat dan puasanya. Aisyah r.a berkata, “Aku bertanya kepada Rasulullah, siapakah yang lebih besar haknya terhadap wanita?” Jawab Rasulullah SAW “Suaminya.” ” Siapa pula berhak terhadap lelaki?” Jawab Rasulullah SAW, “Ibunya.” Wanita apabila solat lima waktu, puasa di bulan Ramadhan, memelihara kehormatannya serta kepada suaminya, masuklah dia dari pintu syurga mana saja yang dikehendaki.Tiap wanita yang menolong suaminya dalam urusan agama, maka Allah SWT memasukkan dia ke dalam syurga terlebih dahulu daripada suaminya (10,000 tahun). Apabila seseorang perempuan mengandung janin dalam rahimnya, maka beristighfarlah para malaikat untuknya. Allah SWT mencatatkan baginya setiap hari dengan 1,000 kebajikan dan menghapuskan darinya 1,000 kejahatan. Apabila seseorang wanita mulai sakit hendak bersalin, maka Allah SWT mencatatkan baginya pahala orang yang berjihad di jalan Allah. Apabila seseorang wanita melahirkan anak, keluarlah dia dari dosa-dosa seperti keadaan ibunya melahirkan dia. Apabila telah lahir anak lalu disusui, maka bagi ibu itu setiap satu tegukan dari susunya diberi satu kebajikan. Apabila semalaman seorang ibu tidak tidur dan memelihara anaknya yang sakit, maka Allah SWT memberinya pahala seperti memerdekakan 70 orang hamba dengan ikhlas untuk membela agama Allah SWT. Subhanallah, betapa mulianya kedudukan seorang wanita.
Sunday, December 21, 2014
Meraih Hidayah Allah
Pokok hidayah Islam bersifat tunggal, berteraskan tauhid yang bersumber dari Allah. Hidayah mampu mengubah manusia kufur menjadi manusia beriman, kemaksiatan kepada ketaqwaan, kezaliman kepada keadilan, kegelapan kepada cahaya kebenaran, kegelisahan kepada ketenangan jiwa.
Setiap hamba Allah mempunyai pilihan, sama ada ingin bahagia atau derita. Bagi yang bersedia untuk menerima kebahagiaan, Allah akan melapangkan dada (membuka hati) untuk menerima Islam. Cahaya Allah turun ke hati menyebabkan hamba itu beribadah bersungguh-sungguh untuk kembali ke akhirat, meninggalkan kemegahan dunia dan bersiap sedia menghadapi kematian. Allah memudahkan kebaikan untuknya, petunjuk dan hidayah Allah sentiasa mengiringinya.
Hamba yang dikuasai syaitan menolak hidayah Allah. Kerana itu Allah menjadikan dadanya sesak dan sempit. Allah mencabut kemampuan dan potensi dari hati sehingga fikirannya kusut dan tidak stabil. Petunjuk sukar diterima dan keimanan tidak memberi manfaat dan kebaikan kepadanya. Hidup tanpa hidayah menyebabkan dia dalam keadaan terumbang-ambing, mudah terdorong melakukan amalan penghuni neraka (kejahatan).Golongan yang menolak hidayah bersungguh-sungguh memenuhi keperluan dunia dan mencari rezeki, kononnya atas alasan “sudah menjadi tanggungjawab untuk mencari yang terbaik!” Mereka terlupa rezeki itu Allah yang tentukan. Mereka menafikan keperluan mencari jalan-jalan menuju hidayah.
Sesungguhnya, sebagaimana kita berusaha mendapatkan rezeki dan habuan di dunia, perkara yang sama perlu diusaha untuk mendapatkan ganjaran di akhirat. Dengan ini barulah ada keseimbangan. Kita mesti mengelakkan diri kita daripada menjadi hamba yang kerugian.Wallahualam.
Istidraj
Apa itu ISTIDRAJ ? Istidraj adalah keadaan di mana ALLAH memberi kejayaan, harta kekayaan dan rezeki yang melimpah ruah dalam kehidupan pelaku maksiat tegar supaya dia menjadi semakin jauh dari-Nya. Umumnya, orang yang mendapat istidraj tidak berusaha mengamalkan ISLAM dalam kehidupan, juga tidak berusaha mengenali ALLAH.Contoh orang yang mendapat istidraj memang banyak. Seorang daripadanya ialah Qarun yang mana kisahnya terdapat dalam Al Quran. Dia sungguh kaya. Dikatakan bahawa kotak yang berisi kunci gedung-gedung perbendaharaannya tidak mampu diangkat oleh orang-orang yang kuat. Hartanya melimpah ruah. Segala perniagaan dan pelaburannya menjadi belaka.
Tetapi bila sepupunya, Nabi Musa a.s cuba mengingatkan dia bahawa semua kekayaan itu datang daripada ALLAH, Qarun dengan angkuh menjawab, “Tidak, semua ini hasil dari ilmuku”.Ternyata dia semakin jauh dari Allah, walaupun rezekinya melimpah ruah. Saban waktu dia memperlekehkan pengikut-pengikut nabi Musa a.s. yang terdiri dari orang miskin dan hamba. Apakah pengakhiran Qarun? Allah menenggelamkan dia ke dalam bumi dengan seluruh hartanya.
Mari kita fikirkan – andaikan kita dari jenis orang yang melazimi dosa dan maksiat, tetapi kita berjaya pula dalam semua usaha. Apa yang akan timbul dalam benak? Mungkin ada yang akan berkata begini, “Tengok, aku berjaya walaupun aku tak solat. Siapa kata solat membawa kejayaan?” Sungguhpun kita berjaya, tetapi kita semakin jauh dari Allah. Itulah ISTIDRAJ.
Oleh itu jangan kecewa bila tidak berjaya. Cuba lagi. Hubungan kita dengan Allah itu perlu diperhatikan. Jika hubungan keimanan terbina dengan baik, in sya Allah, datanglah badai apa sekalipun, kita akan mampu melaluinya. Sebenarnya Allah suka menguji hamba-hamba-Nya yang beriman.
Kisah mengenai dua orang nelayan - seorang penyembah berhala, seorang lagi muslim yang taat kepada Allah. Ketika menebar jala, penyembah berhala menyebut nama berhalanya, manakala yang muslim membaca Bismillah. Bila jala diangkat, penyembah berhala mendapat banyak ikan, manakala yang muslim, hampir sahaja tiada ikan untuknya pada hari itu. Malaikat yang melihat keadaan itu bertanya kepada Allah. “Duhai Allah, apa yang telah berlaku? Hamba yang menyekutukan-Mu, Kau berikan rezeki yang banyak, sedangkan hamba yang menyebut nama-Mu, Kau tidak berikan dia apa-apa.”
Allah menjawab, “Yang menyekutukan Aku, tempatnya memang sudah pasti NERAKA. Tetapi Hamba-Ku yang beriman itu, Aku hendak mengganjarkannya SYURGA. Aku suka menguji dia untuk melihat kekuatan imannya.”
Oleh itu jangan putus asa jika gagal dalam peperiksaan, perniagaan, mahupun rumahtangga, setelah bekerja keras menyusun strategi dengan teliti dan kemas. Itu semua sebahagian daripada ujian. Allah hanya menguji mereka yang dikasihi-Nya. Allah berfirman: “Apakah kamu mengira Kami akan membiarkan kamu berkata kami sudah beriman sedangkan kamu belum diuji.”
Jika gagal dalam sesuatu perkara, kegagalan hanya dalam perkara itu semata-mata, sedangkan dalam hal lain masih ada kejayaan yang mungkin tidak kita sedari. Teruskan berusaha selagi nyawa masih ada. InsyaAllah, Allah akan memberikan sesuatu yang bermakna pada kita. Bersangka baiklah dengan-Nya. Bila hidup berhadapan dengan masalah, ucapkan rasa syukur. Itu tandanya Allah masih lagi dekat dengan kita. Ujian adalah tanda kasih sayang dan perhatian-Nya pada kita. Mustahil kita hanya inginkan kesenangan yang sebentar sahaja di dunia, sedangkan di akhirat yang kekal abadi nanti kita merana. Apalah ertinya kejayaan yang dibina di atas timbunan dosa. Jom, periksa hubungan kita dengan Allah.
MEMANG AKU BERDOSA TAPI AKU BERJAYA!!!…. HATI-HATI, JANGAN SAMPAI TERKELUAR KATA-KATA SEPERTI INI ATAUPUN LAFAZ LAIN YANG MEMBAWA ERTI YANG SERUPA DARI MULUT KITA.
Saturday, December 20, 2014
Yang Baik Disampaikan
Perkara yang sering dibazirkan:
1. AMALAN tidak dilakukan dengan ikhlas.
2. CINTA kepada hal-hal duniawi.
3. HATI tidak diisi dengan cinta hakiki kepada Allah dan Rasul-Nya.
4. HARTA tidak dibelanjakan ke jalan Allah.
5. ILMU diperoleh tetapi tidak diamalkan dengan sebaik-baiknya.
6. KEPINTARAN tidak diguna untuk memikirkan keajaiban ciptaan-Nya.
7. KESIHATAN tidak disyukuri akan nikmatnya sebelum datang sakit.
8. MASA diisi dengan aktiviti sia-sia.
9. JASMANI digerakkan bukan dengan niat untuk ibadah.
10. ZIKIR tidak meninggalkan bekas di dalam hati.
Bagi ORANG BERUNTUNG, hari ini lebih baik daripada semalam.
Bagi ORANG RUGI, hari ini sama seperti semalam.
Bagi ORANG MENZALIMI DIRI, hari ini lebih buruk daripada semalam.
“Sebaik-baik manusia ialah orang yang panjang usianya dan baik amalannya.” (HR Tirmizi)
Berterusan membaiki diri sehingga menjadi kuat merupakan MUJAHADAH.
Dalam hidup ini kita mudah menghargai kebaikan orang lain walaupun hal yang kecil, sedangkan jasa ahli keluarga dianggap biasa-biasa saja, tidak perlu dihargai atau dikenang. Walhal, kebaikan ahli keluarga terutama ibu bapa sangat besar berbanding kebaikan yang diberikan oleh orang lain. Buka hati dan minda untuk memikirkan perkara ini. Berlaku adillah dalam memberi penghargaan.
Ilmu mahukan ia diamalkan. Bila orang mengamalkannya, ilmu itu tetap ada. Jika tidak diamalkan, ilmu itu akan hilang dengan sendirinya. (Sufyan ats-Tsauri).
Di antara fitnah orang yang berilmu (orang alim) ialah berkata-kata lebih disukainya daripada mendengar, padahal mendengar itu lebih selamat daripada berkata-kata kerana ketika berkata-kata, orang cenderung mengisi, menokok dan mengurangi. (Yazid bin Abi Habib).
PETUA LEMBUTKAN HATI AHLI KELUARGA:
Buka sekampit beras. Bacakan Surah al Fatihah 70 kali sehari selama seminggu. Gunakan beras tersebut untuk memasak bagi menjamu ahli keluarga.
Orang yang banyak ketawa, kurang wibawanya. Orang yang suka menghina, dia juga akan dihina. Orang yang mencintai akhirat, dunia akan mengekorinya. Barang siapa menjaga kehormatan orang lain, pasti kehormatan dirinya akan terjaga. (Umar al- Khattab).
Subscribe to:
Posts (Atom)