Thursday, June 12, 2014

Ujian Keikhlasan

serenemaklong.blogspot.com
Allah menghantar ujian dan musibah kepada insan untuk mengetahui keikhlasannya. Ujian datang dalam bentuk yang di luar bayangan dan jangkaan insan. Ujian itu untuk mengingatkan insan yang mudah lupa bahawa statusnya tidak pernah berubah sejak penciptaan Adam alaihissalam iaitu HAMBA ALLAH. Sebagai Pemilik dan TUAN kepada insan, maka terserah kepada Dia untuk menguji setiap HAMBA mengikut ketetapan-Nya.
Ujian bukan sahaja diturunkan kepada insan yang leka dengan nafsu duniawi, tetapi juga kepada hamba yang ingat dan patuh kepada-Nya. Lelaki beriman dan beramal soleh difitnah berzina. Isteri taat menjaga kerukunan rumahtangga berhadapan dengan khianat suami yang curang. Bapa yang bertanggungjawab menjaga keluarga diuji oleh ahli keluarga yang ingkar. Ibu bapa yang mendidik anak-anak mengikut acuan Islam, berhadapan dengan keturunan berperangai buruk.
Mengapa semua ini berlaku? Itulah bicara Allah kepada hamba-Nya: Benarkah amal soleh lelaki itu dilakukan KERANA DIA? Benarkah si isteri mentaati suami KERANA DIA? Benarkah bapa memikul tanggungjawab menjaga keluarga KERANA DIA? Benarkah ibu bapa mendidik anak-anak KERANA DIA? ------------------------------------------------------------------------------------------------------- Dalam beramal soleh, mentaati suami, bertanggungjawab kepada keluarga, mendidik anak, dll., insan sering menyangka dia patut menerima balasan yang baik-baik sahaja dalam hidup ini. Tidak harus dibalas sebaliknya. Sesungguhnya, garis yang memisahkan di antara seorang insan yang berlaku baik, dengan insan yang ikhlas dalam kebaikannya, amat tipis. Justeru, datanglah ujian yang tidak disangka-sangka, untuk menzahirkan keikhlasan itu.
“Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: ‘kami beriman’, sedang mereka tidak diuji?” (Surah al-Ankabut ayat 2) ------------------------------------------------------------------------------------------------------- Melalui bicara berbentuk ujian, TUAN Yang Satu mahu insan sedar bahawa hati harus puas kerana mengikhlaskan kehambaan kepada-Nya. Sebaik mana pun ibadah, tanpa JIWA HAMBA, segalanya tidak bermakna. HAMBA mesti sedar dirinya dimiliki dan tidak memiliki, tahu yang dirinya layak diuji, dan faham dalam erti kata sebenar bahawa kelahirannya hanya untuk DIA. Bila lulus ujian, darjat akan meningkat dari seorang yang kurang baik menjadi lebih baik, biarpun status masih juga HAMBA ALLAH. Bila ujian yang diturunkan dipenuhi buruk sangka dan gagal pula mencari HIKMAH di sebaliknya, maka binasalah HAMBA tersebut. Justeru hancurkanlah RASA MEMILIKI! [Adaptasi dari tulisan Ustaz Hasrizal Abdul Jamil dalam bukunya: Aku Terima Nikahnya 2 Bercinta sampai ke Syurga]

No comments:

Post a Comment