Wednesday, August 8, 2012

Lalui Sukar Dengan Sabar







Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh

Perjalanan guru kami yang dikasihi, Al-Ustaz Dato’ Haji Ismail Kamus dalam menyebar luaskan ilmu Allah memang penuh beronak duri. Beliau ditohmah, diumpat, disindir oleh orang-orang yang kurang senang dengan usahanya.

Kami, para daie yang menjadi barisan pelapisnya tidak terkecuali daripada mengalami perkara yang serupa. Namun Yang Mulia Al-Ustaz sudah mendidik kami supaya mencontohi kesabaran Rasulullah saw ketika menyampaikan seruan Allah SAW kepada umat manusia, Baginda ditentang, dicaci, dilontar dengan batu sehingga berdarah dan dilempari najis, bukan sahaja oleh kaum Quraisy, tetapi juga oleh saudara-maranya sendiri. Adakah Baginda memberhentikan usahanya? Sesekali tidak.

Disebabkan kegigihan Baginda terus menerus mengajak umat manusia ke jalan yang lurus inilah membolehkan kita di Malaysia yang berada jauh daripada Makkah dan Madinah dapat menjalani puasa, solat, membaca Al-Quran dan berbagai ibadah lain. Tanpa seruan Baginda, kita mungkin masih berada dalam keadaan kafir, naudzubillah min zalik.

Al-Ustaz Dato’ Haji Ismail Kamus juga menasihati kami supaya tidak putus-putus berdoa kerana `Doa adalah Otak Ibadah`. Memohon supaya kami terus menjadi hamba yang sentiasa solat kepadaNya, membantu kami memperbaiki akhlak, mengamalkan amal makruf nahi mungkar dan juga mendoakan kebaikan bagi orang-orang yang tidak sukakan usaha-usaha kami. Kata beliau, setiap kali kami mendoakan orang lain, malaikat  turut memohon supaya Allah SAW mengabulkan doa itu. 

Disebabkan inilah maka setiap kali sebelum tidur dan juga sebelum bergema azan subuh, kami memanjatkan kepada Allah SAW doa berikut:
`Ya Allah, kami berlindung kepada Engkau Yang Maha Agung daripada bencana alam, bencana penyakit, keburukan yang didalangi oleh syaitan dan manusia yang dikuasai syaitan, daripada menimpa diri kami, keluarga kami dan mereka yang pernah dan sedang berjasa kepada kami. Lindungilah juga orang-orang yang mencaci kami, mengumpat kami, mengutuk kami, menyindir kami, memfitnah kami lantaran tidak memahami usaha kami menegakkan yang Haq.

Kami ini umpama gembala kambing di gurun pasir. Jika ada kambing yang terlepas daripada kawanan dan tersesat, adakah kami akan membiarkan ia terus sesat? Sesekali tidak. Kami akan berusaha membawanya kembali kepada kawanan supaya ia tidak menjadi mangsa haiwan liar.

Allah SAW sedang melihat apa yang kami lakukan. Semoga Dia terus memberikan kami  kekuatan untuk meneruskannya. Aamiin.      
   

        

No comments:

Post a Comment