Tuesday, August 7, 2012

Jangan Biarkan Hati Lapar

serenemaklong.blogspot.com


DALAM Majalah Q & A Edisi 8, tulisan Ustaz Pahrol Juoi bertajuk “Jangan Biarkan Hati Lapar” amat menarik perhatian. Menurutnya, hati yang lapar akan menyebabkan pemiliknya melakukan dosa, mudah diserang penyakit mazmumah seperti ego, marah, hasad, bakhil dan sebagainya. Hati yang sakit membawa penderitaan di dunia, sebelum penderitaan di akhirat. Sebagai contoh, orang yang hasad, juga si pemarah sukar hidup bahagia.

Makanan hati adalah sama seperti asal kejadiannya iaitu ilmu yang bersumberkan wahyu. Ilmu yang menjawab, “Dari mana manusia datang? Untuk apa dia dihidupkan dan ke mana dia akan pergi selepas mati?” Tiga soalan ini adalah teras iman – keyakinan kepada Allah dan Hari Akhirat, dosa, pahala serta syurga dan neraka.

Tadahlah ilmu wahyu yang tertulis di dalam kitab-kitab, juga menerusi lidah para dai’e dan ulama. Para malaikat melihat majlis ilmu di dunia bagaikan bintang terang gemerlapan. Dengan ilmu hati pasti akan kenyang, dan akhirnya menjadi tenang.

Satu lagi makanan hati ialah zikrullah (mengingati Allah) melalui solat dan pembacaan Al-Quran. Ulama al-Hakim memberi panduan, ”Jika kamu ingin Allah berkata-kata kepada kamu, bacalah A-Quran. Sebaliknya, jika kamu ingin berkata-kata kepada Allah, dirikanlah solat.”

Di dalam solat, seorang hamba mengadu, merintih dan mengharap kepada Allah yang Maha Pengasih, Penyayang dan Maha Berkuasa. Beruntung orang yang solat, apa yang diperdengarkannya sudi didengar oleh Allah, malah sudi juga mengabulkan segala permintaan hambaNya.

Bila seseorang hamba menjalin hubungan dengan Allah, hatinya dicas sehingga dia mendapat kekuatan luar biasa, baik dari segi mental, fizikal, emosi dan jiwa. Ini berlaku kerana hati adalah `raja` dalam kerajaan diri manusia. Bila raja (iaitu hati) kuat, seluruh rakyat juga jadi kuat.

Namun semua ini tidak akan berlaku andai kita tidak memulakan LANGKAH PERTAMA. Sedarlah bahawa seluruh kehidupan ini adalah medan ujian untuk Allah mengetahui siapakah di antara hambaNya yang terbaik amalannya.

Hati yang dicas dengan ilmu, solat dan Al-Quran akan menjadi kuat sehingga mampu mengecilkan segala penderitaan.  
   
Surah Al Asr mengajak umat manusia berpesan-pesan ke jalan kebaikan. Oleh itu, janganlah kita lalai dibuai sifat mazmumah (negatif) lalu membiarkan "mutiara" daripada Ustaz Pahrol Juoi ini terbang tanpa mengambil dan mengamalkan kebaikannya.  


  

No comments:

Post a Comment