Thursday, August 16, 2012

Kolam Mesra Alam


serenemaklong.blogspot.com


SEBELUM meletak kolam hiasan dan jakuzi di laman kediaman kos pembinaan dan penyelenggaraan harus difikirkan.

Rata-rata mahukan harga yang murah dan pada masa sama, air dalam kolam dan jakuzi sentiasa jernih tanpa perlu penyelenggaraan yang kerap. Banyak nurseri dan kedai peralatan kolam hiasan, jakuzi dan spa menawarkan produk seumpama itu.

Sri Lanai Design Sdn Bhd, contohnya menghasilkan sistem penapisan klorin di mana vakum khas menyedut semua kotoran dalam kolam bagi menjernihkan air. Sistem itu juga kurang penyelenggaraan dan pemantauan. Ini bererti jakuzi boleh dibiarkan terdedah pada sinaran matahari namun lumut ataupun alga tidak boleh hidup di dalamnya.



Sri Lanai menawarkan pembinaan jakuzi dalam pelbagai saiz berharga serendah RM8,000 dengan jaminan struktur 10 tahun manakala untuk penapis tempoh jaminan dua tahun diberi.
Klorin yang digunakan untuk sistem penapisan jakuzi ini adalah jenis yang biasa digunakan dalam kolam renang. Klorin adalah bahan kimia yang sering diguna untuk memastikan kolam renang dan jakuzi bebas daripada bakteria yang boleh mengancam manusia.

Klorin bertindak membunuh bakteria melalui tindak balas kimia sederhana. Dengan menuang klorin dalam kolam, ia akan memusnahkan enzim dan struktur di dalam sel bakteria dan mampu mengoksidakan organisme dalam masa beberapa saat.

Bagi kolam hiasan pula, Sri Lanai turut menyediakan sistem penapisan biologikal menggunakan bahan semula jadi sebagai penapis iaitu kulit kerang-kerangan dan pasir serta batu sungai yang memang diakui sangat berkesan menapis kotoran.

Bagi kolam kurang penyelenggaraan ini, pemilik kediaman boleh meletakkan ikan mahu pun tumbuhan dalam kolam hiasan tanpa khuatir masalah kotoran, air berbau atau bertukar warna kerana airnya sentiasa jernih.

Kolam hiasan menggunakan sistem penapisan biologikal juga bebas daripada masalah pertumbuhan lumut mahu pun alga air serta tidak menjadi tempat pembiakan nyamuk dan katak.

Menariknya, kolam menggunakan sistem berkenaan boleh dihiasi mengikut cita rasa pemilik kediaman sama ada untuk diletakkan di dalam atau luar kediaman.

Saiz kolam hiasan bergantung kepada permintaan pelanggan dan harga yang ditawarkan bermula RM10,000 ke atas bergantung kepada saiz dengan jaminan lima tahun untuk struktur kolam dan dua tahun bagi alat penapisan.

Antara jenis penapis:

Penapisan mekanikal


Kebanyakan media dalam sistem penapisan jenis ini adalah alat mekanikal. Biasanya menggunakan alat pemutar air dan berus yang mencuci kolam sebelum sisa terampai serta kumbahan disedut dengan pam yang mencuci air menjadi lebih jernih.

Penapisan biologi

Lazim digunakan untuk membuang bakteria tertentu di dalam kolam yang terhasil daripada sisa kumbahan. Ada dua peringkat yang dapat menghapus ammonia.

Peringkat pertama ammonia dihapus dan ditukar menjadi nitrat menggunakan bakteria nitrosomonas. Peringkat kedua menukarkan nitrik kepada nitraty dengan bakteria nitrobacter.

Penapisan Kimia

Berfungsi mengubah ammonia dan bahan buangan organik lain dengan penyerapan bahan kimia. Ini bererti sisa kumbahan dan ammonia dalam air ditukarkan kepada karbon. Zeolite boleh melarutkan ammonia dan nitrik di dalam air.

Penapisan Pasir

Ada kolam ikan koi menggunakan penapis pasir untuk menjernihkan air. Biasanya pasir ini akan disiram dengan air laju atau tekanan tinggi. Bakteria yang aktif akan diserap masuk ke dalam pasir, jadi kekotoran turut diserap sama dan air menjadi lebih cerah.

Penapis pasir ini biasanya lebih mahal tetapi boleh dijimatkan dengan melakuknnya sendiri di rumah.

(Sumber: Rohaniza Idris/Berita Harian)

No comments:

Post a Comment