Wednesday, August 15, 2012

Berbuat Pahala, Menghimpun Dosa



serenemaklong.blogspot.com

SUATU ketika dahulu, tatkala tiada wayarles, telefon, radio, televisyen dan Internet, ruang berkomunikasi amat terbatas sekali. Selain daripada berhubung secara langsung, khabar hanya dapat disampaikan dari mulut ke mulut.

Ketika itu, ada manusia yang diutus sebagai posmen untuk menghantar khabar sama ada dengan berlari ataupun menunggang kuda. Burung juga digunakan untuk mempercepat penyampaian berita. Api juga digunakan sebagai bahasa isyarat. Pada waktu itu, apa sahaja maklumat, berita dan gosip begitu lambat tersebar. Dan pengetahuan tentangnya begitu terhad.


Pada hari ini, medium untuk berkomunikasi menjadi mudah, malah hampir tiada batasan masa. Imej, tulisan mahupun suara boleh berpindah dan disampaikan kepada ramai orang dalam masa yang singkat. Komunikasi massa yang dahulunya lebih banyak di pihak penyampai, kini menjadi bertimbal-balik. Kemudahan teknologi juga membolehkan si penerima, menjawab apa yang dia terima dengan spontan.

Mudahnya kita berkomunikasi pada hari ini sebenarnya semakin mendedahkan kita kepada perbuatan baik dan buruk. Ia juga memudahkan kita menambah pahala atau menghimpun dosa.

Daripada Abu al-Abas Abdullah bin Abas bin Abdul Mutalib ra daripada Rasulullah SAW dalam apa yang diriwayatkan daripada Tuhannya (Hadith Qudsi) ALLAH SWT sabdanya :“Sesungguhnya ALLAH mencatatkan semua kebaikan dan semua kejahatan kemudian ALLAH menjelaskan, sesiapa yang berniat hendak melakukan kebaikan, tetapi tidak dikerjakannya maka ALLAH mencatatkan untuknya satu pahala dan jika dia berniat hendak melakukan kebaikan lalu dikerjakannya maka ALLAH mencatatkan untuknya sepuluh (pahala) hingga tujuh ratus kali ganda atau lebih.

Sesiapa yang berniat hendak melakukan sesuatu kejahatan, tetapi tidak dikerjakannya ALLAH mencatatkan untuknya satu pahala dan jika dia berniat hendak melakukan kejahatan kemudian dilakukannya ALLAH mencatatkan untuknya satu dosa.”

Berdasarkan kepada hadis di atas, kita boleh dapat minimum sepuluh pahala dengan satu kebaikan. Bayangkan tulisan kita di dalam blog, Facebook mahupun Twitter; meskipun betapa pendek ayatnya, ia boleh menjana pahala. Jika sepotong kata-kata kebaikan kita paparkan di Facebook dan ia dibaca oleh seratus orang, dengan mudah kita memperoleh 1,000 pahala. Sekiranya ia menjadi amalan, alangkah mudahnya kita mengumpul beribu-ribu pahala setiap bulan. Apatah lagi andainya apa yang disampaikan itu merupakan ilmu yang dimanfaatkan. Ia bakal menjadi amal jariah yang tidak terputus pahalanya hingga ke hari akhirat.

Sebaliknya, jangan lupa komunikasi yang memudahkan kita menambah pahala itu berpotensi juga untuk menghimpun dosa. Apa sahaja hebahan yang negatif, yang berupa makian, celaan, fitnah, pembohongan yang diketahui, tidak diketahui seperti menyebarkan berita palsu, gambar palsu dan hadis palsu boleh menambah dosa.

Apatah lagi bila sesuatu yang tidak baik dalam dunia artis serta dunia politik yang tentunya menarik lebih ramai tumpang semangkuk memberi ulasan hingga menambah api kemarahan, akan melipatgandakan dosa penyebarnya.

Meskipun secara matematiknya, satu kebaikan membawa 10 pahala dan satu keburukan memberi hanya satu dosa, jika kita lihat banyaknya respons terhadap sesuatu yang negatif dan sedikitnya respons terhadap sesuatu yang positif, nampak gayanya kesukaan kepada yang berdosa itu lebih banyak daripada yang berpahala. Seolah-olah ramai di antara kita yang mengetepikan saranan daripada al-Quran agar berlumba-lumba dalam melakukan kebaikan seperti di dalam surah al-Baqarah ayat 148. Sebaliknya, cepat sekali memberi reaksi dengan menokok tambah jika sesuatu yang terpapar itu sesuatu yang negatif.

Soal dosa pahala yang dipaparkan dalam konteks ini bukan yang kali pertama saudara baca. Bagaimana pun, soalnya apabila kita menatap sesuatu yang tidak baik dan sia-sia itu, apakah kita berani untuk menyuarakan tentangan terhadapnya sama ada secara berlapik atau secara rahsia melalui mesej peribadi?

Berhenti berbuat dosa itu boleh kita lakukan sendiri. Tetapi, apakah kita bersedia untuk melarang orang lain daripada terus melakukannya? Amal makruf, nahi mungkar? Bukankah mereka yang kita tegur itu adalah rakan-rakan siber kita? Jika kita boleh berlaku adil kepada diri sendiri, mahukah kita mengajak orang lain berlaku adil kepada diri mereka?

“Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman, iaitu mereka yang khusyuk di dalam solatnya, dan mereka yang menjauhkan diri daripada perbuatan dan perkataan yang sia-sia.”
(Surah al-Mu’minun 22: 1-3)
(Sumber: Norden Mohamed /Sinar Harian)  

No comments:

Post a Comment