serenemaklong.blogspot.com
Assalamualaikum
warahmatullahi wabarakatuh
BEBERAPA hari lalu heboh diperkatakan
tentang “Huru-hara di bulan Ramadan” yang kononnya bakal berlaku pada Jumaat, 15 Ramadan. Memandangkan esok, 3 Ogos merupakan tarikh yang dikatakan
itu maka ramai yang menantinya dengan penuh khuatir.
Sesetengah daripada kita lupa firman Allah
dalam surah Al Mulk yang kita baca setiap malam sebelum tidur iaitu -
Dan mereka berkata: “Bilakah datangnya
ancaman (hari Kiamat) itu jika kamu adalah orang-orang yang benar?” Katakanlah:
“Sesungguhnya ilmu (tentang hari kiamat itu) hanya pada sisi Allah. Dan
sesungguhnya aku (Muhammad saw) hanyalah seorang pemberi peringatan yang
menjelaskan.”
Apa yang kita lakukan sebagai
persediaan menghadapi hari menggerunkan itu? Memang benar, kita solat,
puasa, menunaikan fardu haji dan sebagainya. Itu semua kita lakukan sebagai
menjaga hubungan kita dengan Allah (habluminAllah).
Bagaimana pula hubungan kita sesama manusia
(habluminnas), atau dalam kata lain silaturrahim. Sudahkah kita sempurnakannya?
Untuk menuju ke jalan kebaikan yang dianjurkan oleh agama Islam yang lurus, kedua-duanya perlu dilakukan serentak.
Kita pernah mendengar sabda Rasulullah saw
yang menyebut bahawa tidak akan masuk syurga seseorang yang tidak bertegur sapa
dengan saudara Islamnya lebih daripada 3 hari. Dalam kata lain, tidak
mementingkan silaturrahim.
Pada akhir zaman ini umat Islam di seluruh
dunia berada di dalam keadaan sangat tertindas. Berita di
akhbar dan di kaca TV sungguh
memeritkan perasaan. Yang anehnya, rakyat negara Malaysia yang jauh daripada ancaman
perang turut kucar-kacir, berpecah-belah akibat perbezaan yang sengaja
diada-adakan seperti perbezaan pendapat, etnik, fahaman politik sebagainya. Bolehkah
itu semua dijadikan bekalan untuk dibawa ke rumah kita yang abadi di akhirat kelak?
DARI Tsauban yang berkata: Rasulullah saw
bersabda:
“Suatu masa nanti, bangsa-bangsa (lain)
akan meratah kamu semua sepertimana orang-orang sedang meratah makanan di atas
dulang”. Kemudian ada sahabat bertanya: “Adakah ketika itu bilangan kita (kaum
Muslimin) kecil?” Rasulullah s.a.w. menjawab: “Sebaliknya, jumlah kamu ketika
itu ramai, namun kamu hanya bagai buih di atas air bah (yang dengan mudah
dihanyutkan ke sana
ke mari). Dan Allah SAW akan mencabut rasa takut dari dalam diri musuh-musuh
kamu terhadap kamu, sementara Dia meletakkan penyakit wahn dalam hati kalian.” Ada sahabat bertanya
lagi:”Wahai Rasulullah s.a.w., apakah wahn itu?” Beliau menjawab: “Cinta dunia
dan takut mati.” (Hadis riwayat
Tarmizi)
Zaman yang disebutkan oleh Rasulullah saw
itu telah tiba. Jangan sesekali membiarkan diri
kita “diratah” musuh. Usah bersengketa mengenai perkara yang tiada nilai di
akhirat sana. Sebaik-baiknya tanamkan di dalam hati masing-masing perasaan kasih sayang, sebagaimana yang dilakukan oleh kaum-kaum di zaman
Rasulullah saw dahulu.
Andai ini Ramadan
terakhir, marilah kita saling menghulurkan tangan bermaaf-maafan. Lupakan semua sengketa kita. Sekiranya ada
hati-hati yang tersinggung dan terluka,
ubatinya dengan zikir “Subhanallah wa bihamdihi“ berulang-ulang kali,
seperti yang diajarkan oleh pendakwah tersohor, Ustaz Dr. Zahazan Mohammed.
Percayalah rasa luka dan amarah itu akan hilang. InsyaAllah, kita bakal ditemukan di akhirat sana dalam keadaan
tenang dan damai.
Sebagai mengakhiri
rencana ini, saya dan pasangan Daie yang dianugerahkan Allah kepada saya, Sma
Lubis dengan rasa rendah hati memohon berbanyak-banyak maaf sekiranya kami berdua pernah
terlanjur kata dan terlebih cara kepada mana-mana pihak.
Marilah kita bersatu
padu menjadi umat Nabi Muhammad saw yang kuat dan kukuh. InsyaAllah, kita tidak
akan gentar menghadapi ancaman akhir zaman
ini.
Wassalamualaikum
warahmatullahi wabarakatuh.
No comments:
Post a Comment