Sunday, March 18, 2012

Perjalanan Manusia Dalam 5 Alam


serenemaklong.blogspot.com



SEGALA puji bagi Allah S.W.T yang mana telah mencipta bumi dan langit. Bumi itu pula berlapis, dan langit itu bertingkat walaupun kita tidak dapat melihat dengan mata kasar. Begitu juga dengan manusia yang hidupnya melalui alam-alam, bermula dengan penciptaan Nabi Adam a.s hingga ke alam barzakh sebelum kita ke alam yang abadi iaitu kekal di Syurga.

Alam yang pertama

1. Alam yang kita lalui di sulbi ayah.
2. Kemudian berpindah ke dalam rahim ibu.

Dan ketika Tuhan kamu menjadikan keturunan Adam dari punggungnya, dan Tuhan mengambil kesaksian dari mereka dengan berkata: Bukankah Aku ini Tuhan kamu? Mereka berkata: Bahkan! Kami menjadi saksi, bahwa kamu nanti di Hari Kiamat tiada dapat mengatakan, bahawa kami ini lalai dari perkara itu - Al-A’raaf: 172

Jelaslah dalam ayat ini, Allah S.W.T telah menyatakan kisah Hari Mitsaaq (hari perjanjian) yang mana kita – zuriat Nabi Adam a.s -  berjanji untuk mengakui keEsaan dan ketuhanan Allah S.W.T

Alam di mana Allah Ta’ala mencipta Adam a.s dan membekalkan zuriat di tulang punggungnya yang penuh keberkatan.

Alam yang kedua (Alam kita menjalani hidup di dunia)

Ibnul Jawzi telah membahagikan peringkat-peringkat umur itu kepada lima kategori:
1. Masa kanak-kanak: dari peringkat umur bayi hingga seseorang itu mencapai umur 15 tahun.
2. Masa muda: dari peringkat 15 tahun hingga umur 35 tahun.
3. Masa dewasa: dari peringkat umur 35 tahun hingga 50 tahun.
4. Masa tua: dari peringkat umur 50 tahun hingga umur 70 tahun.
5. Masa tua bangka: dari peringkat umur 70 tahun hingga ke akhir umur yang dikurniakan Tuhan.

Mengapakah para Ulama telah membahagikan umur manusia sedemikan? Apa yang kita sebagai manusia -lebih lebih lagi umat Islam- dapat pelajari dari pembahagian ini?

Di alam yang kedua ini iaitu alam yang tidak kekal, manusia diminta supaya beramal dan diuji. Amalan kita di ambil kira dan dihisab. Oleh itu, elok kita mengenal pasti peringkat mana yang harus kita mula mendidik anak-anak kita. Bukankah Nabi Muhammad S.A.W telah berpesan kepada umat Islam:

Kedua kaki anak Adam itu akan tetap berdiri di hadapan Tuhannya pada Hari Kiamat, sehingga selesai ditanya tentang empat perkara”
1
. Tentang umurnya, untuk apa dihabiskan.
2. Tentang masa mudanya, untuk apa dipergunakan.
3. Tentang hartanya, dari mana diperolehi dan untuk apa dibelanjakan.
4. Tentang ilmunya, apa yang sudah dibuat dengannya.

Alam yang ketiga (alam Barzakh, ketika kita di kubur)

Bermula dari masa manusia keluar dari dunia ini dan menempuhi mati hinggalah dia dibangkitkan dari kubur.

Siksaan kubur

Siksaan Kubur adalah HAK iaitu benar, sepertimana Rasulullah s.a.w  telah khabarkan pada umatnya,
Kebanyakan siksa kubur disebabkan tiada memelihara diri dari kencing.

Nabi juga berpesan supaya kita memohon pada Allah Ta’ala supaya dihindarkan dari siksaan kubur.

Alam yang Allah S.W.T telah nyatakan dalam firmannya:
Dan di hadapan mereka terdapat Barzakh, hinggalah ke hari mereka dibangkitkan - Al-Mu’minun: 100.

Di alam ini, walau jasad musnah – kecuali para wali-wali Allah S.W.T-  roh manusia itu kekal di alam Barzakh di mana manusia berada di antara alam Dunia dan alam Akhirat di masa antara dua tiupan.

Alam yang keempat

1. Di padang Mahsyar


Bermulanya daripada kebangkitan manusia dari kuburnya untuk menerima pengadilan Tuhan, sehingga kepada masuknya ahli syurga ke syurga, dan masuknya ahli neraka ke dalam neraka.

Dan ditiupkanlah pada sangkakala, maka mereka pun bangun dari kubur masing-masing, lalu datang kepada Tuhan mereka dengan berbondong-bondong - Yasin: 51

2. Mizan (Amalan ditimbang)


Di alam ini, umat manusia akan menuju ke padang Mahsyar supaya amalan mereka dihitung dan ditimbang oleh Allah S.W.T sebagaimana firman-Nya

Dan neraca pada hari itu tepat, maka barangsiapa yang berat timbangannya (kebaikan), niscayalah mereka itu menjadi orang-orang yang beruntung. Dan barangsiapa yang ringan timbangannya, niscayalah mereka itu adalah orang-orang yang merugikan dirinya sendiri, disebabkan mereka tiada mempercayai keterangan-keterangan Kami - Al-A’raf:8-9.

Di titian Shirath

Setelah itu manusia akan melalui Shirath (jambatan), yang dipasang di atas muka neraka jahannam. Shirath itu lebih tajam dari pedang dan lebih halus dari rambut. Tatkala itu manusia akan melaluinya menurut kadar amalan masing-masing.

a. Ada yang umpama kilat ketika melintasi titian Shirath, ada yang umpama angina, ada yang seperti burung atau kuda.
b. Juga ada yang merangkak, ada yang dijilat api, ada yang terjerumus ke gaung nereka.

3. Di telaga Nabi Muhammad S.a.w (Haudh)

Setelah terlepas dari titian Shirath, umat manusia yang beriman akan menghampiri Haudh (telaga) Rasulullah S.a.w dan sekali teguk sahaja segala haus dan dahaga akan hilang. Air dari Haudh itu lebih putih dari susu, lebih manis dari madu.

Pesanan Rasulullah S.a.w:

Sesiapa yang melepaskan seorang Muslim dari kesusahan dunia, nescaya Allah akan melepaskannya dari kesusahan Hari Kiamat. Siapa yang menutup rahsia (keburukan) seorang Muslim, nescaya Allah akan menutup rahsia di dunia dan akhirat.

Dan marilah kita hayati kata mutiara dari Rasulullah S.a.w sebagai pedoman untuk menempuh alam yang keempat. Dan kita mengharapkan Syafaat dari Baginda S.a.w di saat itu sepertimana kita mengharapkan Syafaat serta Wasilah Beliau setiap kali kita membaca Doa azan, “Wahai Tuhanku yang memumpunyai seruan yang sempurna ini dan sembahyang yang akan didirikan ini, berikanlah dengan limpahan kurniaMu kepada Muhammad Wasilah(kedudukan yang paling tinggi dalam syurga) dan keutamaan serta limpahkanlah kepadanya Maqam yang terpuji yang Engkau telah janjikan baginya.”

Alam yang Kelima (Di negeri Abadi - Syurga dan Neraka)

Di alam ini ahli neraka masuk ke neraka dan ahli syurga masuk ke syurga buat selama-lamanya yang tiada hujung dan akhirnya.

Nabi Muhammad S.a.w diutuskan untuk membawa rahmat, namun ada yang mengingkari risalah yang diutuskan oleh Allah S.w.t. Balasan bagi mereka yang mendustakan Nabi dan tidak beriman tertera dalam Al-Quran:
Maka Aku memperingatkan kamu akan api yang bernyala. Tiada masuk ke dalamnya melainkan orang yang jahat. Yang mendustakan (kebenaran) dan yang membelakangkan - Al-Lail:14-16.

Allah berfirman dalam Al-Quran:

Neraka itu mempunyai tujuh pintu, tiap-tiap pintu daripadanya ada bahagian yang sudah ditentukan.

Nama-nama pintu dan tingkat neraka:

1. Jahannam
2. Saqar
3. Lazha
4. Huthamah
5. Sa’iir
6. Jahim
7. Hawiyah

Semua lapisan neraka yang tujuh itu telah diasak dengan berbagai-bagai penyeksaan yang berat, lagi dahsyat serta penghinaan yang terkeji. Kita bermohon kepada Allah Ta’ala, agar Dia melindungi kita  daripada seksaan api neraka.

Syurga buat mukmin

Alam syurga dijanjikan bagi orang-orang yang beriman dan bertaqwa. Firman Allah S.w.t : Dan pimpinlah orang-orang yang bertaqwa (memenuhi kewajiban) ke dalam syurga berbondong-bondong, sehingga apabila mereka mendatanginya, dibukakan pintu-pintunya, dan penjaga-penjaganya berkata: Selamat sejahtera untuk kamu! Kamu telah melakukan yang baik, maka masuklah kamu ke dalamnya buat selama-lamanya - Az-Zumar:73.

Firman Allah Ta’ala lagi: Aku sediakan untuk hamba-hambaKu yang soleh sesuatu yang tiada pernah:
a. dilihat oleh mata.
b. didengar oleh telinga
c. tiada telintas di hati sesiapa pun.

Nikmat-nikmat di syurga:

Syurga penuh dengan nikmat-nikmat yang hebat di antaranya:

1. Ahli syurga bersandar di atas permaidani yang sebelah dalamnya diperbuat dari sutera.
2. Ada gadis-gadis sopan –santun, belum pernah disentuh oleh manusia dan jin, dan mereka itu bagaikan permata delima dan mutiara.
3. Di syurga An-Naim ada sofa yang bertatahkan emas dan batu permata.
4. Mereka tiada merasa pening kepala atau mabuk.
5. Bidadari-bidadari yang bermata bulat lagi jelita buat mereka.
6. Tiada matahari yang berhawa panas dan bulan yang berhawa dingin.
7. Ada Mata Air Salsabil.
8. Mereka memakai pakaian daripada sutera halus dan sutera tebal.

Nikmat yang besar selepas masuk ke syurga:

Melihat Allah S.w.t

Syurga-syurga yang sediakan ini, ada lapan pintu, dan ia berbeza dari satu yang lain dan antara satu darjat dengan darjat yang lain sama seperti antara langit dan bumi.

Darjat yang paling tinggi ialah Syurga FIRDAUS yang di atasnya terletak Arasy Allah S.w.t. Orang-orang beriman itu dilimpahi berbilang nikmat, sehingga ditanya kepada mereka: Adakah sesuatu yang lain yang kamu mahu Aku tambahkan? Mereka menjawab:
a. bukankah Engkau telah memasukkan kami ke dalam syurga
b. dan menyelamatkan kami daripada api neraka?
Kemudian Hijab pun terangkat. Pada ketika itu, tiada sesuatu yang diberikan kepada kamu lebih utama daripada nikmat melihat Wajah Tuhan Azzawajalla.

Disediakan oleh Muhammad Dzarif Abdul Wahab
Petikan dari buku: Peringatan Tentang Umur Insan oleh Imam Habib Abdullah Haddad
Terjemahan: Syed Ahmad Semait

No comments:

Post a Comment