Sunday, March 25, 2012

Elak Anak Dibuli Di Laman Sosial


serenemaklong.blogspot.com




SALAM  sejahtera buat semua pengunjung.

Alam siber telah membawa begitu banyak manfaat kepada manusia zaman moden. Pertukaran maklumat cuma memerlukan satu klik di hujung jari. Namun, sepertimana pisau yang membawa manfaat besar, ia juga boleh disalahguna sehingga membawa kemudaratan yang besar. Inilah yang menjadi mimpi ngeri bagi ramai orang, termasuk guru dan pelajar sekolah.


Asraf, pelajar tingkatan empat di sebuah sekolah menengah di Selangor telah dibuli oleh sekumpulan pelajar yang menggunakan laman sosial Facebook (FB). Kumpulan pelajar itu menceroboh laman sosial rakan-rakan dan guru mereka dengan meletakkan pelbagai status dan komen memalukan.


Rakan-rakan dan saudara mara Ashraf menyangka dia melayari laman sosial itu sepanjang masa. Ini berdasarkan statusnya yang dikemas kini hampir setiap minit. Padahal Asraf langsung tidak berbuat demikian pada hari berkenaan. Di rumahnya tidak ada kemudahan Internet dan dia juga tidak mengunjungi kafe siber. Kalau pergi pun dia akan ditemani bapa dan ibunya. Telefon bimbitnya pula tidak ada capaian Internet.


Asraf tidak dapat meneka siapa yang terlibat kerana mereka ini bergerak secara berkumpulan. Mereka menggunakan kafe siber untuk melakukan kerja-kerja menggodam Facebook dia. Disebabkan pengalaman itu, Asraf tidak lagi berminat melayari Facebook kerana bimbang menjadi mangsa buli lagi.


Rakan Asraf juga mengalami perkara yang serupa. Gambar dan profilnya dalam Facebook telah ditukar. Perbuatan itu memang memalukan, namun mangsa hanya berdiam diri kerana bimbang akan dibuli lebih teruk.

Guru kelas Asraf turut menjadi mangsa hingga terpaksa menukar kata laluan. Namun, dia masih gagal menghalang kumpulan pelajar nakal itu daripada terus menceroboh. Setiap kali guru itu menukar kata laluan baru di akaun FB, mereka berjaya mengesannya.


Daya tarikan Internet memang kuat sehingga menjadi kegilaan bukan saja pada kanak-kanak dan remaja bahkan orang dewasa. Disebabkan ketagihan kepada Internet terutama pada laman-laman sosial seperti FB, Fanpage, blog dan sebagainya menyebabkan mereka terdedah kepada kejadian buli siber.


Laporan Keluarga Norton Online 2010 menunjukkan kanak-kanak dan remaja Malaysia  menghabiskan secara purata 19 jam seminggu di Internet. Laporan tersebut juga mendapati hanya empat daripada 10 ibu bapa mengetahui apa yang dicapai dan dilayari oleh anak-anak mereka di Internet.


Peluang untuk melayari Internet juga tidak terhad dengan penggunaan komputer meja atau riba sahaja. Kemunculan komputer yang lebih kecil dan senang dipegang seperti tablet, iPad dan telefon bimbit memudahkan capaian anak-anak kepada Internet. Ia diburukkan lagi dengan sikap ibu bapa yang begitu mudah menyediakan kemudahan untuk anak-anak mereka melayari dunia siber tanpa sebarang panduan dan pengawasan.


Kajian yang sama menunjukkan sembilan daripada 10 kanak-kanak dan remaja di Malaysia pernah terdedah kepada pengalaman negatif menerusi penggunaan dalam talian. Senario itu sebenarnya memberikan kesan negatif terhadap emosi mereka.

Ibu bapa adalah guru terbaik yang boleh mengajar anak-anak supaya mematuhi panduan  berasaskan prinsip dan nilai ketika melayari Internet. Ibu bapa mesti sedia maklum laman web yang sesuai untuk dilayari oleh anak-anak supaya tidak terjerumus ke laman web yang tidak wajar di dalam usia mereka. Ibu bapa perlu memperuntukkan masa memeriksa dari semasa ke semasa setiap kenalan anak mereka menerusi laman web sosial seperti FB dan sebagainya.

Memberikan peluang anak melayari Internet seumpama membenarkan mereka bermain di padang permainan di mana perlu ada panduan keselamatan. Panduan dan bimbingan dapat mengelakkan mereka daripada  terjebak dengan perkara negatif di dunia siber termasuk membuli pengguna lain.

Ikatan kekeluargaan yang rapat merupakan kaedah terbaik supaya anak-anak sebagai generasi akan datang selamat ketika melayari Internet. Ibu bapa perlu mendidik anak-anak supaya melayari alam siber secara positif, menjaga keselamatan diri, keluarga dan juga rakan-rakan lain.

No comments:

Post a Comment