serenemaklong.blogspot.com
MALU adalah tabiat
di dalam diri yang menjauhi perbuatan buruk dan menghalang diri daripada
mencuaikan hak orang lain. Mengamalkan sifat malu mengikut panduan Nabi saw
membentuk sebahagian daripada kesempurnaan iman. Nabi saw bersabda yang bermaksud :
Iman itu
mempunyai 70 cabang dan lebih, dan malu adalah satu cabang daripada iman – HR al-Bukhari.
Malu mempunyai
tiga bahagian iaitu:
- Malu kepada Allah (mengamalkan suruhan-Nya dan meninggalkan larangan-Nya)
- Malu kepada manusia lain (tidak menyakiti hati orang dengan pertuturan keji seperti menipu, mengumpat, mencarut)
- Malu pada diri sendiri (menjaga akhlak dan memelihara kehormatan diri)
Malu yang bukan
malu :
Contohnya, malu
menyatakan kebenaran sehingga tidak dapat melakukan kebaikan, tidak dapat
mengajak orang lain kepada kebaikan, tidak dapat menegah daripada perbuatan
keji;
Atau, malu membaca
al Quran, malu bertanya dalam pelajaran, malu mengamalkan amal makruf nahi
mungkar yang menjadi kewajipan seorang Muslim, malu solat berjemaah di masjid
bersama kaum Muslimin, malu berpakaian menutup aurat, malu mencari nafkah yang
halal untuk keluarga bagi lelaki dan yang semisalnya.
Ini sifat malu
tercela kerana akan menghalang seseorang memperoleh kebaikan dan sukar
memperolehi ilmu.
Cara merawat lidah
supaya tahu malu:
- Bercakap perkataan yang baik, lemah-lembut dan mesra.
- Jauhi sikap menghina, mengutuk, merendah-rendahkan orang lain.
- Bergaul sesama rakan yang baik dan mendampingi orang yang tinggi ilmu agamanya
- Elakkan permusuhan, pertengkaran dan mengumpat
- Berbaik sangka dan menolak sangka buruk terhadap orang
- Menghubungkan silaturrahim
- Ringankan lidah memohon maaf jika tersilap dan berbuat salah
Sifat tidak malu
yang bermanfaat
Tidak malu berbuat
kebaikan
Dengan yang demikian,
sesiapa yang mengerjakan sesuatu amal kebaikan, sedang dia beriman, maka
tidaklah disia-siakan amal usahanya; dan sesungguhnya Kami tetap menulisnya – Al Anbiya 94.
Tidak malu berkata
benar
Wahai orang-orang
yang beriman, bertaqwalah kepada Allah, dan perkatakanlah yang benar - Al Ahzab 70.
Tidak malu
membantu sesama Islam
Sesiapa yang
memberikan syafaat (pertolongan) ke arah
yang baik, nescaya dia akan memperoleh bahagian (pahala) daripada-Nya; dan
sesiapa yang memberikan syafaat (pertolongan) ke arah yang buruk, nescaya dia
akan memukul (dosa) daripada-Nya. Dan Allah Maha Kuasa atas sesuatu – An Nisa 85.
Tidak malu
mengingati Allah
Adakah orang
yang dilapangkan Allah dadanya untuk menerima Islam lalu dia tetap dalam cahaya
tuhannya, sama seperti orang yang tertutup hatinya? Maka kecelakaan besarlah
bagi orang yang keras hatinya dari mengingati Allah. Mereka yang demikian
keadaannya adalah dalam kesesatan yang nyata – Az Zumar 22.
Tidak malu
berhijrah
Orang yang beriman
dan berhijrah serta berjihad pada jalan Allah dengan harta benda dan jiwa
mereka adalah lebih besar darjatnya di sisi Allah: dan mereka itulah orang yang
berjaya – at Taubah 20.
Tidak malu belajar
ilmu agama
Dan tidaklah patut
bagi orang yang beriman keluar semuanya (pergi berperang); maka hendaklah
keluar sebahagian sahaja dari setiap puak di antara mereka, untuk mendalami
ilmu agama, dan untuk mengajar kaumnya apabila mereka kembali kepadanya:
mudah-mudahan mereka dapat berjaga-jaga – At Taubah 122.
Tidak malu
menghindar sombong
Dan janganlah
engkau memalingkan muka (kerana memandang rendah) kepada manusia, dan janganlah
engkau berjalan di bumi dengan berlagak sombong: sesungguhnya Allah tidak suka
kepada tiap-tiap orang yang sombong takabbur, lagi membanggakan diri – Luqman 18.
Pada akhir zaman ini
sifat malu sudah mati akibat kesan globalisasi. Menjadi kebiasaan tabiat
menukar pakaian di hadapan orang sama ada di rumah, asrama, tandas awam dan
pejabat, lelaki dan wanita bukan muhrim berjalan berpeluk-pelukan, wanita berpakaian
tetapi `telanjang` (menampakkan susuk tubuh akibat jarang atau ketat),
percakapan kasar membahasakan diri sebagai `aku` dan` kau` pada orang yang
lebih tua, menjerit dan menengking di khalayak ramai, mencarut, menggelar
dengan gelaran yang mengaibkan, memfitnah, dengki, iri hati, menjatuhkan dan
mencelakakan orang lain, sehingga ada yang sampai ke tahap membunuh.
Segala macam
bentuk maksiat seperti merompak, memeras ugut, zina, rasuah, judi dilakukan secara terang-terangan tanpa rasa
bersalah. Ramai lelaki dan wanita muda berasa bangga kehilangan dara dan teruna
pada awal usia. Mereka yang tetap menjaga kehormatan diri pula dianggap kolot
dan kuno.
Semua masalah ini
berpunca dari rumah. Suatu masa dahulu matlamat ibu bapa ialah mengharapkan anak-anak
menjadi manusia yang baik lagi beramal soleh. Namun kini institusi kekeluargaan kian roboh.
Ibu bapa sekarang kurang
berakhlak. Matlamat mereka semata-mata mengejar duit banyak, rumah besar,
kereta mewah, status tinggi dan sebagainya. Ibu bapa begini tidak mungkin dapat
mendidik anak-anak dengan betul.
Tanpa perhatian
dan kasih sayang ibu bapa, anak-anak lebih mudah terpengaruh dengan anasir persekitaran
yang buruk. Mereka inilah makhluk-makhluk
yang digelarkan oleh Ustaz Zamri Mohd Zainuldin, pengantara rancangan Adik-adik
dan Al Quran di TV9 sebagai `buaya-friends` dan `geli-friends`. Lelaki dan
wanita yang rosak akhlak dan hilang sifat malu akan membawa kepada krisis moral
yang kronik.
Kebanjiran hiburan
hedonisme sama ada daripada bahan bercetak mahupun elektronik turut membuang
rasa malu dari dalam diri penonton muda. Sekiranya kebanjiran ini dapat
diawasi, sekurang-kurangnya gejala sosial boleh dibendung.
Hidup di zaman
gawat memerlukan iman yang kuat, kerana saban waktu ia digugat dengan fitnah
yang dahsyat. Sabda Nabi saw bermaksud:
Malu dan amanah
adalah perkara yang mula-mula sekali hilang dari dunia, sebab itu mintalah
dengan Allah untuk kedua-duanya – HR Al Bukhari.
Pihak berwajib
boleh menjalankan peranan dengan mengadakan majlis-majlis ilmu membina jiwa
yang menyeronokkan anak-anak muda, sama ada secara langsung atau melalui dalam
talian.
Bagi umat Islam,
institusi masjid boleh mengorak langkah dengan menjadi pusat ilmu tersebut, di
samping menganjurkan solat berjemaah. Ini bakal membantu membina golongan anak
muda yang cintakan ilmu dan mementingkan silaturrahim.
Bagi mengembalikan
sifat malu ini, Ustaz Zamri memberikan satu formula amalan harian yang
dinamakannya 4B-ATM iaitu:
B(1) – Boleh tolong saya (minta bantuan)?
B(2) – Boleh ajarkan saya (merendah diri)?
B(3) – Boleh saya tahu mengapa… (tidak menghukum)?
B(4) – Bagus…(pujian).
A - Apa
kata kita …(memberi cadangan, bukan arahan)
T - Terima kasih (banyakkan penghargaan)
M - Maafkan saya (jika melakukan kesalahan).
Nabi saw
bersabda yang bermaksud:
Malu kepada Allah
dengan sebenar-benar malu iaitu engkau memelihara kepala dan apa yang
difikirkan, memelihara perut dan apa yang diisikan ke dalamnya, engkau
mengingati mati dan segala kehancurannya. Dan sesiapa yang inginkan akhirat,
dia tinggalkan perhiasan kehidupan, dan dia utamakan akhirat dari dunia.
Sesiapa yang melakukan demikian barulah dia dikatakan malu kepada Allah dengan
sebenar-benar malu.
Inilah pagar iman
yang membenteng manusia daripada melakukan kejahatan. Malu yang terbina dengan
kefahaman dapat menjauhi maksiat dan kekufuran serta meletakkan seseorang dalam
kedudukan bermaruah. Malu bukan penghalang kemajuan. Sebaliknya ia menghalang
kita daripada melakukan sesuatu secara membuta tuli yang kononnya dianggap
berani.
No comments:
Post a Comment