serenemaklong.blogspot.com
(Oleh El Fesfanji – melalui
kiriman emel dari Schanizan )
Dengan rahmat dan kurniaan
Allah SWT, saya telah menulis beberapa siri artikel tentang saka. Sama ada
dalam buku, majalah atau blog, kesemua tulisa-tulisan tersebut, meskipun di
lihat sebagai perbincangan yang boleh di kategorikan dalam perubatan, tetapi
sebenarnya lebih menjurus kepada perbincangan tasauf (hati) walaupun dalam
bentuk yang berbeza dari pendekatan yang digunakan oleh Imam Ghazali dan lain-lain
tokoh besart tasauf, tetapi maksudnya tetap juga sama iaitu untuk mengajak
masyarakat membersihkan jiwa daripada kekotoran sehingga dapat melihat jalan
Allah yang sepatutnya setiap manusia mesti berada di situ.
Maka dalam siri ini pula, saya
berhasrat dan berdoa kepada Allah SWT sebanyak-banyaknya supaya dapat
memanjangkan lagi perbincangan tajuk tasauf yang besar itu kepada sudut
pembukaan Sirr. Sebenarnya ada banyak kitab yang di beri jodol
mukasyafah termasuklah karya Imam Ghazali dan Ibn Arabi. membincangkan
tentang apa itu Sirr.
Meskipun telah
dibincangkan secara meluas dalam masyarakat kita sama ada di masjid, surau
dan tempat-tempat tazkirah, tetapi perbincangan itu masih bersifat teori
yang mana bila sampai kepada peringkat penghayatan, kita mendapati amat banyak
kekeliruan dan salah faham yang menyebabkan ia tidak boleh di aplikasikan sepenuhnya
dalam kehidupan dan dalam diri sendiri.
Sebagai contoh, masyarakat
kita amat keliru dengan apa yang di namakan sebagai silat gerak. Dalam masyarakat
kita, ilmu ini adalah satu cabang ilmu persilatan kebatinan yang amat diminati
oleh ramai pihak kerana ia mengajarkan ilmu persilatan dengan senang dan mudah.
Tetapi banyak pro dan kontra berkenaan dengannya. Walaupun silat gerak ada
bermacam nama dan kumpulan, sebagai mana terdapat berbagai nama kumpulan
tarikat dalam sejarah pembanguanan masyarakat Islam, di satu sudut ia
ditentang—namun di satu sudut lain ia
tetap hidup subur dalam masyarakat.
Kekeliruan yang membingungkan ini
perlu dirungkai dengan memahami hal itu sedalam-dalamnya.
Contoh lain berkenaan dengan
pembukaan Sirr ialah berlakunya gila isim kepada pengamal-pengamal
zikir sehingga menyebabkan orang ramai takut untuk mendekati kumpulan zikir.
Pernah terjadi di salah sebuah
sekolah menengah di Rawang, seorang pelajar tingkatan tiga diserang histeria,
rasukan atau namakan sahaja dengan apa-apa namapun. Menurut kawan-kawannya,
pelajar tersebut ada beramal ilmu silat gerak. Kerana itu dia meracau dan cakapnya tidak tentu
butir lagi.
Maka puan pengetua telah
mengarahkan seorang ustaz supaya menghembus sekuat-kuatnya bagi menghalau jin
yang melekat pada badan pelajar tersebut. Hampir sepuluh kali puan pengetua itu
berpesan kepada ustaz tersebut supaya mengingatkan pelajar tersebut supaya jangan
lagi mempelajari ilmu yang karut marut, “Inilah akibatnya, jin dah masuk dalam
tubuh kamu,” kata pengetua.
Ahkirnya pelajar tersebut berjaya
di sedarkan.
Maka hebohlah dalam masyarakat
Rawang bahawa ustaz tersebut melarang mempelajari silat gerak tersebut. Dua
tahun kemudian, hal ini menjadi semakin membesar. Pada suatu hari, guru silat gerak
tersebut datang ke sekolah menemui ustaz.
Umurnya menjangkau 65
tahun. “Panggil saja saya ni Pak Long. Itulah panggilan orang kampung pada saya,” katanya memperkenalkan diri.
“Mana dalil haram belajar ilmu
zikir ALLAH ALLAH ALLAH yang kami ajarkan kepada anak buah kami ini, Ustaz?” tanya guru silat. “Kalau benar zikir ALLAH ALLAH itu haram memang
kami tidak mahu mengajarkan lagi, bahkan kami sendiri juga
tidak mahu mengamalkannya, Ustaz. Pada pandangan
kami, ilmu ini betul, kalau tidak takkanlah kami nak ajarkan kepada anak-anak
orang kampung ini ilmu sesat“.
Ustaz itu menjelaskan,
“Sepanjang saya belajar ilmu agama dengan guru saya, membuat persediaan jihad
adalah wajib berdalilkan firman Allah. Saya tidak kata zikir ALLAH ALLAH ALLAH
itu haram. Saya menyuruh pelajar saya menumpukan perhatian kepada pelajaran
sahaja.“
“Ilmu sekolah ini ilmu zahir
saja, ustaz, ilmu kulit, ada tak apa tak ada pun tak apa. Tapi ilmu haq ini mesti kita bekalkan kerana kita
akan mengadap Allah,“ tambah guru silat tersebut lembut. Akhirnya ustaz mengakui kebenaran kata-kata guru tersebut.
“Jadi saya nak kepastian ilmu
yang saya ajar ini haram atau tidak, ustaz, saya juga nak ustaz berperanan
membantu saya menyebarkan ilmu zikir ALLAH ALLAH ini sekiranya ia baik
atau mengharamkannya terus sekiranya ia adalah sesat “ kata guru silat, menambahkan lagi pening kepala ustaz tersebut.
Guru silat itu menjelaskan, “Budak
itu asalnya nakal. Telah ada banyak syaitan dalam badannya. Bukan sahaja dia
malah ibu bapanya tidak pernah cukup sembahyang dan puasa. Kerana itu saya
mengajak dia bersembahyang, berpuasa, berzikir dengan memujuk bahawa dia akan
jadi kuat macam Khalid Ibn Walid. Tujuannya tidak lain, hanya supaya dia dapat
membaiki kehidupan keluarganya yang jauh tersasar dari landasan syariat. Itulah
sebabnya bila mana budak tersebut berzikir ALLAH ALLAH ALLAH syaitan yang
telah lama bersebati di dalam dirinya mengamuk menyebabkan orang ramai
menyangka syaitan itu datang daripada ilmu yang di pelajari daripada saya.
Padahal saya mengajarkan dia berzikir ALLAH ALLAH ALLAH melalui pembukaan Sirr
semata-mata. Memang bijak syaitan berpura-pura sehingga ahli agama berjaya
dilaga-lagakan antara satu sama lain“.
Dalam membincangkan tentang
pembukaan Sirr ada beberapa perkara yang perlu dilihat.
Benarkah kata-kata Pak Long, syaitan yang telah lama bersebati dalam diri budak itu yang marah
kerana dia bersedia hendak berubah
dengan mengamalkan zikir ALLAH, ALLAH sehingga merasai kepanasan berada dalam
tubuh pelajar tersebut?
Bagaimanakah ia dilakukan?
Apakah hakikat Sirr dalam badan manusia? Bagaimana Pak Long melakukan
sehingga terhasilnya silat gerak dalam diri pelajar tersebut? Gerak itu datang
dari mana? Dari jinkah, dari dalam
dirikah, dari zikir ALLAH ALLAH ALLAH kah? Dari mana?
Soalan 1: Di mana salahnya
zikir Allah Allah....
Zikir Allah Allah… tidak
salah, malah sangat baik jika dikerjakan KERANA ALLAH. Tapi zikir Allah Allah…..
akan mengundang syaitan jika dikerjakan kerana hendakkan gerak silat. Berapakah
peratusan seorang remaja tingkatan tiga beramal zikir Allah Allah kerana Allah,
berbanding untuk mendapat gerak silat? Di situlah silapnya...
Soalan 2 : Dari mana
datangnya gerak silat?
Terdapat banyak riwayat
menceritakan para sahabat berlatih seni tempur pada zaman Rasullullah s.a.w
sendiri. Kalau ada gerak dari zikir dengan pembukaan sirr, tentu
Rasullullah s.a.w adalah orang pertama yang mengamalkannya.
Tidak dinafikan, apabila
terbuka sirr kadangkala terjadi karamah yang mencarik adat. Tetapi
karamah yang mencarik adat adalah anugerah dari Allah s.w.t. Ada para wali yang boleh membaca hati orang,
ada para wali yang boleh berjalan atas air, ada para wali yang boleh berada di
beberapa tempat pada satu masa.
Yang utama di sini: Tiada
seorang pun para wali boleh demand karamah apa yang mereka mahu. Semuanya
pasrah dengan apa saja yang dikurniakan oleh Allah.
Jadi, kalau kita mampu
demand karamah dari jenis gerak silat dengan amalan kita, sedangkan para wali
pun tidak mampu hendak demand karamah yang terjadi pada diri mereka, dari mana
datangnya gerak tersebut?
Bak kata orang-orang muda
zaman sekarang, Lu pikirlah sendiri....
Wallahualam.