Friday, September 22, 2017

Tentang Haji dan Umrah






Ramai yang menjadikan pengurusan haji dan umrah sebagai sumber pendapatan. Memang ia satu urusan peniagaan yang halal jika diuruskan dengan betul, namun ada beberapa perkara yang perlu untuk diambil berat.

Dalam keghairahan mempromosi syarikat masing-masing, kadang-kadang para jemaah tidak diberikan maklumat yang betul mengenai urusan umrah atau haji mereka. Yang kali pertama pergi umrah, kadangkala tidak faham dalam banyak perkara. Para penceramah  umrah atau haji perlu bekalkan mereka dengan maklumat yang sahih. Elakkan unsur khurafat ataupun amalan tanpa berasaskan dalil.

Contohnya, ada jemaah masuk ke dalam Masjid Haram tanpa menunaikan solat tahiyyatul masjid atas alasan Nabi s.a.w bersabda: "Tahiyyah BaitulLah (Kaabah) adalah tawaf”. Jadi, apabila mereka tidak tawaf,  setiap kali masuk masjid, ada yang hanya terus duduk. Padahal, hadis yang itu tidak sahih. Para ulama hadis menghukumnya sebagai palsu, ataupun tiada sumber yang asal.

Pun begitu hal ini adalah betul, kerana apabila sampai ke BaitulLah, perkara pertama dilakukan tentulah tawaf. Kemudian, bersolat dua rakaat di Maqam Ibrahim. Bagi, mereka yang masuk ke dalam Masjidil Haram sahaja, maka hukumnya sama dengan masjid lain seperti sabda Nabi s.a.w:
“Apabila seseorang kamu memasuki masjid maka hendaklah dia menunaikan solat dua rakaat sebelum dia duduk” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Demikian juga mengenai doa bagi setiap pusingan tawaf atau saie. Ada syarikat yang menjual alatan khas untuk dipakai oleh jemaah haji dan umrah bagi menlong mereka mengingati doa khas bagi setiap pusingan.

Rasulullah s.a.w hanya menyuruh berdoa secara umum tanpa ditentukan doa khas, kecuali pada beberapa tempat sahaja seperti antara Rukun Yamani dan Hajarul Aswad.
Seseorang boleh berdoa apa sahaja hajat yang diingini, tanpa terikat. Mereka lebih khusyuk dan lebih dapat menghubungkan jiwa dengan Allah. Hajat setiap insan tidak sama.

Justeru, para pembimbing umrah dan haji, tidak boleh hanya berfikir tentang bisnes  sahaja, tanpa memberikan kefahaman kepada jemaah. Pembimbing perlu merujuk kepada sumber yang diyakini.Jika jemaah tersalah disebabkan pembimbing, dibimbangi mereka akan termasuk dalam hadis Nabi s.a.w:
“Sesiapa yang memulakan dalam Islam sunnah yang jahat lalu ia diamalkan selepas itu, ditulis untuknya seperti dosa orang yang mengamalkannya. Ini tidak mengurangkan dosa mereka (para pengamal itu) sedikit pun”. (Riwayat Muslim).


Wallahualam.

No comments:

Post a Comment