Tuesday, September 12, 2017

Ibadah Bukan Untuk Main-main




Semenjak dua ini, syair Ibn Mubarak ini berdendangan di benak...Part, "Pasti kamu sedar main-main sahaja kamu beribadah" sentap!

"Wahai si abid dua tanah suci kalaulah kamu melihat kami
            Pasti kamu sedar main-main sahaja kamu beribadah

Wahai orang yang membasahkan pipinya dengan air mata
            Leher kami pula kebasahan dengan darah

Atau siapa yang memenatkan kudanya pada yang sia-sia
            Kuda kami pagi pertempuran sudah kepenatan

Bagi kamu hembusan wangian sedangkan wangian kami,
            Debu-debuan di kaki-kaki kuda, debu yang mulia

Dan sungguh telah datang kepada kita sabdaan Nabi kita, 
            Kata-kata yang betul, benar, tidak berdusta

Bahawa tidak sama debu ahli Allah di
             Hidungnya dibandingkan asap api yang membakar

Ini pula kitab Allah yang bertutur antara kita
             Bahawa orang syahid sebenarnya tidak mati, tidak berdusta"

ياَ عَـابِدَ الْحَرَمَيْنِ لَوْ أَبْصَرْتَنَـا  … لَعَلِمْتَ أَنَّكَ فِي الْعِبَادَةِ تَلْعَبُ
مَنْ كَانَ يَخْضِبَ خَدَّهُ بِدُمُوعِـهِ…  فَنُحُورِنَـا بِدَمَائِنَـا تَتَخَضَّبُ
أَوْ كَانَ يُتْعِبُ خَيْلَـهُ فِي بَاطِـلٍ…  فَخُيُولَنَا يَوْمَ الصَّبِيحَـةِ تَتْعَبُ
رِيْحُ الْعَبِيرِ لَكُمْ وَنَحْنُ عَبِـيْرُنَا ...    رَهَجُ السَّنَابِكِ وَالْغُبَارُ الأَطْيَبُ 
وَلَقَدْ أَتَـانَا مِـنْ مَقَالِ نَبِيِنَا ...    قَوْلٌ صَحِيحٌ صَادِقٌ لَا يَكْذِبُ 
لَا يَسْتَوِيْ غُبَـارُ أَهْلِ اللهِ فِي ...    أَنْفِ أمْرِئٍ وَدُخَانُ نَارٍ تَلهَبُ 
هَذَا كِتَابُ اللهِ يَنْـطِقُ بَيْنَنَا ...    لَيْسَ الشَّهِيدُ بِمَيـِّتٍ لَا يَكْذِبُ 

-Abdullah bin al-Mubarak, (Siyar A‘lam al-Nubala’)



Qunut Nazilah, Bila lagi?

Sebenarnya jika kita berjaya menghafal doa qunut witir atau subuh, maka hendak menghafal qunut nazilah lagi mudah. Soalnya mahu atau tidak. Sayanglah, jika dipanjangkan umur sampai 50 tahun tetapi hanya mampu mengaminkan qunut nazilah orang lain sahaja!

..................Keperluan Masa Depan

Membaca qunut nazilah syariat Allah. Bahkan ia syiar ukhuwah Islam. Jika benar kita bersimpati dengan saudara seiman yang dizalimi nun di sana, bantulah mereka. Jarak bukannya penghalang untuk menghulurkan bantuan material. Sekalipun benar-benar terhalang, tiada siapa yang mampu menghalang bantuan doa kita buat mereka. 

Syariat Allah ini tetap relevan sepanjang zaman. Bahkan sangat mustahak bagi kita yang menjadi warga akhir zaman. Masa depan bakal menyaksikan tragedi demi tragedi menimpa umat Islam. Ini bukan analisis atau ramalan bahkan realiti yang didedahkan lebih awal oleh Rasulullah. 

Sabda Baginda: “Masa semakin cepat, amal semakin berkurangan, bakhil semakin melampau dan al-haraj semakin menjadi-jadi.” 
Sahabat bertanya: “apa itu al-haraj?”
“Pembunuhan, pembunuhan!” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

..................Hanya Ustaz Tahu?

“Ustaz, malam bila ustaz ada kelapangan. Boleh solat di surau kami?”

“Kenapa, ya? Kalau ikutkan memanglah tiada kelapangan. Tetapi tengoklah hajatnya dahulu. Kalau mustahak boleh saya usahakan.”

“Begini ustaz. Sekarang ini kan berlaku tragedi di Syria. Terbaru isu Rohingya pula. Jadi kami hendak adakan bacaan qunut Nazilah dalam solat Marghib atau Isyak. Tidak sedaplah, surau di tempat kami tidak buat qunut nazilah dalam keadaan sekarang.”

Mengeluh. Membaca doa bukannya kerjaya eksklusif ustaz dan ulama. Doa keperluan semua Muslim. Rasulullah mengajar doa untuk setiap umatnya, bukannya diswastakan kepada golongan tertentu. 

Benarlah, jika ada ustaz atau orang yang lebih utama, kita harapkan mereka mengepalai doa. Namun tidaklah sampai ketika ketiadaan ustaz, mana tidak berdoa.

.......................Tambahkan Koleksi Doa 

Bila kali terakhir kita menghafal doa? Alangkah baiknya kalau kita konsisten menambah senarai doa yang dihafal. 

Tidak mengapalah kita sudah tidak “sempat dan larat” hendak menghafal ayat al-Quran. Setidak-tidaknya kita hafal ayat-ayat doa daripada Allah. Sekurang-kurangnya ada 40 doa “Rabbana” yang Allah ajarkan sendiri untuk kita munajatkan kepada-Nya.

Tidak mengapa jika tidak bertambah hadis atau zikir baru untuk dihafal. Setidak-tidaknya kita hafal rangkap doa ma’thur yang baru. Dalam doa itu terkandung zikir dan ilmu sekali gus. Jika begitu, qunut nazilah antara doa yang mesti kita hafal.

........................Bukan Semasa Jumaat Sahaja

Pembacaan qunut nazilah digerakkan apabila berlaku tragedi atau musibah dahsyat yang menimpa umat Islam. Selama tempoh itu kita disarankan berqunut nazilah sehingga musibah berakhir.

Kita boleh menadah tangan berqunut dalam semua solat yang lima. Maka sayanglah kalau kita hanya berdoa qunut semasa solat Jumaat sahaja. Sesiapa yang menjadi imam, lakukanlah qunut nazilah dalam setiap solat yang dipimpinnya.

Begitulah qunut nazilah Rasulullah. Ibn Abbas menceritakan: “Rasulullah berqunut selama sebulan berturut-turut baik dalam solat Zohor, Asar, Marghib, Isyak mahupun Subuh.” (Riwayat Abu Dawud)

Bahkan diperdebatkan oleh ulama tentang hukum qunut nazilah dalam solat Jumaat. Sebahagian fuqaha berpendapat makruh perkara demikian. Sekalipun tidak berqunut, semasa khutbah itupun boleh dilakukan doa seumpama. 

.......................Tidak Perlu Panjang-panjang 

Sebenarnya qunut nazilah pendek sahaja. Rasulullah berqunut nazilah ringkas sahaja namun isinya fokus kepada tragedi yang berkaitan sahaja. Cuba amati hadis-hadis berkaitan qunut nazilah Nabi.

Anas pernah ditanya: “Adakah Rasulullah pernah berqunut dalam solat Subuh?” Beliau menjawab: “Ya, selepas rukuk secara ringkas.” (Riwayat Muslim) 

Maka membaca qunut nazilah biarlah pendek tetapi kerap. Itu lebih baik berbanding berdoa qunut panjang-panjang tetapi seminggu sekali sahaja.

..................Tiada Lafaz Khusus

Tiada lafaz khusus bagi qunut Nazilah. Sebaliknya lafaznya bersesuaian dengan tragedi yang berlaku. Ia bukan seperti doa qunut Subuh atau witir, Allahummahdina..

Usah rasa pelik jika disebutkan nama orang atau golongan secara khusus. Bahkan itu lebih menepati matlamat dan membangkitkan kesedaran. Perhati qunut nazilah Nabi yang menyebut secara khusus nama-nama sahabat yang diharapkan keselamatan. Begitu juga golongan kuffar yang diharapkan kemusnahan buat mereka.

......................Boleh buat sendiri-sendiri

Tidak salah berdoa qunut nazilah sendirian. Tidak semestinya dalam solat berjemaah. Maka para Muslimah pun boleh menambah koleksi doa dengan qunut nazilah. Dengan itu, biarpun tidak berjemaah masjid, kesedaran dan keprihatinan mereka tidak kalah. Ini kerana mereka berqunut nazilah sendiri-sendiri di rumah.

Walau bagaimanapun saya tidak menafikan ijtihad kedua mahupun ketiga ulama dalam persoalan ini. 

...............Bila Lagi?

Akhir sekali, tahniah kepada saudara yang sudah menghafal. Namun tidak terlewat bagi yang belum. Marilah kita memaksa diri menghafal doa qunut nazilah. Kalau bukan sekarang, bila lagi?

Catatan: Ini ialah tulisan lama saya daripada  ruangan Byb! dalam Solusi 60. Maaf kerana agak panjang, mudah-mudahan "panjang" juga faedahnya.

[FB Muhammad Luqman Makhtar]



No comments:

Post a Comment