Wednesday, September 20, 2017

Pandangan Mata Yang Menipu







Ketika memilih sayuran di pasar, pilih sayuran yang berlubang daunnya. Jika ulat berani makan sesuatu pokok sayur, ertinya sayur itu lebih selamat dari sayur yang cantik tidak dimakan ulat kerana mungkin ada racun serangga pada daunnya.

Bila memilih ikan di meja penjual,jangan pilih ikan yang segar,masih keras,masih jernih matanya. Kalau diberi pada kucing,tanpa dibasuh dulu,jika kucing makan,itu tanda ikan itu selamat di makan tetapi jika kucing meninggalkannya setelah mencium,itu tanda ikan itu direndam dengan kimia fomaline,sejenis bahan awet  yang diguna untuk mengawet mayat supaya nampak segar.

Jika membeli ayam di pasar malam, jangan beli ayam yang telah dilayur kerana kebiasaannya ayam itu tidak segar, telah berhari-hari tidak terjual dan disimpan dalam ais.Untuk selamat, beli yang segar dan suruh penjual layur depan mata kita. Beli ayam yang kakinya masih tegak bila ditelentangkan. Jika kakinya meleweh jatuh, itu tanda ayam lama. Begitu juga ayam yang siap dipotong, mungkin ia ayam yang sudah lama.

Bila membeli daging, mintalah daging yang digantung dan masih ada darah pada pahanya. Jika daging diletak di bawah kemungkinan dicampur daging import yang lebih murah. Walau nampak cantik ia telah dibekukan berbulan-bulan. Ada peniaga berpura memotong daging di paha yang digantung agar tidak mencukupi timbangan dan bila ditimbang tidak mencukupi,lalu ditambah dengan daging yang diletak di bawah, tidak digantung. Itu daging import yang jauh lebih murah.

Jangan terpedaya dengan apa yang kita lihat. Pandangan mata boleh menipu. Umpama fatamorgana di gurun. Nampak seperti air atau jalan yang panas, padahal ia tidak wujud. Pandangan menipu yang tidak dapat memahami hakikat sebenar. Oleh itu kita mesti melihat sesuatu dengan hakikat dan fikiran.

Sebab itu Allah suruh kita berfikir mengguna akal.Jangan membuat kesimpulan berdasarkan pandangan sahaja. Berjubah berserban bukan tanda muktamad seseorang itu baik.Biasa membaca berita ustaz yang mengajar kitab Hikam di masjid,tetapi akhirnya ditemui dia mengguna murid sebagai pemuas nafsunya dengan meletak fahaman kepada murid bahawa apa yang dilakukannya adalah digerakkan oleh Allah. Air yang tenang jangan disangka tiada buaya. Waspada selalu dan teliti dulu denga fikiran baru buat kesimpulan. 

Bila Allah takdirkan sesuatu peristiwa, jangan sekadar berbicara dengan apa yang dapat dilihat oleh mata, tetapi lihatlah juga hakikat sebaliknya. Kebakaran maahad tahfiz yang mengorban jiwa tidak seharus dilihat pada aspek kelemahan pentadbiran dari segi keselamatan sahaja tetapi perlu diinsafi mengapa Allah takdirkan wujudnya budak-budak yang sanggup melakukan sedemikian. Rosaknya akhlak remaja kini hingga tidak punya perasaan belas kasihan. Akal dikuasai oleh dadah, akibat kurang didikan dan kawalan ibu bapa, kegagalan kerajaan menangani masalah penyebaran dadah. Allah ingin  mengingatkan manusia bahawa dadah bukan sekadar membunuh jiwa orang yang mengambilnya tetapi boleh juga mengancam nyawa orang lain. Ia mesti diperangi seperti memerangi musuh yang menyeberang sempadan.

Belajarlah melihat dengan hakikat. Alam ini indah kerana Allah yang mencipta keindahan itu. Begitu hebat Yang Maha Mencipta. Begitulah seterusnya.Wallahua'lam. [Dari pemikiran Cikgu Abdul Ghani Haron]


No comments:

Post a Comment