Wednesday, September 27, 2017

Bila Allah SWT Marah





Nabi memberitahu:

ثَلاَثَةٌ لاَ يَنْظُرُ اللَّهُ إِلَيْهِمْ يَوْمَ القِيَامَةِ، وَلاَ يُزَكِّيهِمْ، وَلَهُمْ عَذَابٌ أَلِيمٌ،...
"Tiga jenis manusia yang tidak dipandang Allah pada hari Kiamat, tidak dibersihkan mereka dan bagi mereka azab yang pedih*;
i. Seorang yang ada punya laluan air namun dia menyekatnya untuk digunakan oleh orang yang lalu lalang.
ii. Seorang yang berbaiah dengan seorang pemimpin. Dia berbaiah dengannya hanya demi matlamat keduniaan. Jika pemimpin itu memberikannya habuan dunia maka dia suka. Sebaliknya jika dia tidak diberikan sesuatu, maka dia marah.
iii. Seorang yang menjual barangannya selepas asar. Dia menipu berkata: 'demi Allah yang tiada tuhan selain-Nya, aku beli barangan ini dengan harga sekian sekian', lalu ada orang yang mempercayainya.” (Riwayat al-Bukhari)
Fakta Angka 3; Solusi 104-Malam Pertama di Alam Kubur
..............................
+ Golongan ke-4
Menariknya, lafaz* seumpama ini juga Allah gunakan dalam al-Quran:
وَلَا يُكَلِّمُهُمُ اللَّهُ وَلَا يَنْظُرُ إِلَيْهِمْ يَوْمَ الْقِيَامَةِ وَلَا يُزَكِّيهِمْ وَلَهُمْ عَذَابٌ أَلِيمٌ
Rujuk surah Ali Imran, ayat 77 untuk mengetahui siapa gerangannya pula.
Kias-kiaskan, semoga kita tidak termasuk dalam kalangan manusia yang tidak dilayan Allah pada hari Kiamat.
Amin ya Rabb.

[Sumber Ustaz Muhammad Luqman Makhtar]

Aku Tahu Bila Engkau Marah



Sayidatina Aisyah mengisahkan: “Suatu hari Rasulullah berkata kepadaku: ‘Sungguh aku tahu bila engkau reda kepadaku, dan bila engkau marah kepadaku.’”

Aku bertanya: “Bagaimana engkau tahu semua itu?”
Nabi pun menjawab: “Ketika engkau reda dengan aku, engkau pasti akan cakap: ‘Tidak, demi Tuhan Muhammad!’
Ketika engkau marah dengan aku pula, engkau pasti sebut: ‘Tidak, demi Tuhan Ibrahim.’”
Aku pun membalas: “Betullah. Demi Allah wahai Rasulullah, aku tidak pernah mengabaikanmu (ketika marah), hanya sahaja aku tidak mahu sebut namamu.” (Riwayat al-Bukhari)
ReSOLUSI
1. Suami usah mudah terasa apabila dimarahi isteri. Kita bukan sebaik Nabi, namun sebaik-baik Nabi pun dimarahi isteri. Maka tidak boleh terus dihukum nusyuz isteri yang marah terhadap suami.
2. Para isteri pula, teladanilah Sayidatina Aisyah dalam memarahi suami. Beliau tidak sampai ke tahap enggan bercakap, apa lagi enggan melayan suaminya ketika marah.
3. Marah tidak semestinya dengan menengking. Kadangkala dengan berdiam diri, pasangan lebih terasa kemarahan kita.
4. Jangan dihalang pasangan mengekspresi emosi marahnya. Rasulullah tahu saat isterinya marah, namun Baginda tidak terus menegur. Rasulullah senyap dan tidak berbuat apa-apa.
5. Suami isteri yang baik tahu membaca status emosi pasangannya hasil pengalaman berinteraksi sejak sekian lama. Maka dengan itu, dia tahu tindakan yang bijak untuk setiap keadaan.
6. Menghadapi karenah pasangan yang marah adalah asam garam dalam berumah tangga, maka bersabarlah sebagaimana sabarnya Rasulullah.

kolum Asam Garam, Majalah Solusi 102- Waspada Fitnah Dunia

[Ustaz Muhammad Luqman Makhtar]

Monday, September 25, 2017

Sekolah Sihat




Dari Masitah Abu Bakar

1. Tidur tepat pada masa 11.00 malam hingga 4 pagi. Tidur miring ke Kanan, dalam gelap pekat dan pernafasan melalui hidung.

2. Tiada gula. Tiada gula. Tiada gula. Gula punca banyak kerosakan organ badan dan penyakit. Ada banyak gula tersembunyi.

Kurangkan nasi. Hanya 10 suap sehari. Bagi yang baru bermula kurangkan jadi 25 suap sehari. Kemudian setiap bulan kurangkan tiap 5 suap. Beras basmathi. Tiada tepung dan gandum.

Banyakkan sayur dan buah buahan.

3. Check dengan Doktor. Buat ujian darah. buat ujian hormon. Tahu tahap kesihatan semasa. Ambil tindakan untuk cegah sebelum berdikit ia jadi parah.

4. Ambil suplemen -pemakanan tambahan yang sesuai dengan keperluan badan mengikut nasihat pakar. Bukan dengar cakap jurujual.

5. Exercise supaya aliran darah teratur dan lancar. Buat EECP juga supaya pengaliran darah baik. Full body massage secara tradisional dua minggu sekali.

Dua hari dalam seminggu rehat dari exercise. Hari itu adalah Isnin dan Khamis. Dua hari itu puasa.

6. Minum banyak air. Terutama pagi masa bangun pagi dan siang hari. Cuma jangan minum air 40 minit selepas makan. Minum sambil duduk.

7. Makan berat paling akhir 4 jam sebelum tidur. Biar makanan hadam baru tidur. Kunyah makanan sampai hadam. Masa tidur biar usus berehat.

8. Biasakan lidah makan benda pahit. Buat ulaman. Peria katak, daum mujonso, pucuk beko, pucuk mengkudu. Minum kopi pahit. Pahit itu nikmat. Alah bisa tegal biasa. 25 kali cuba, lidah akan jadi biasa.

9. Baca Al Quran. Gandakan sujud. Banyak solat sunat dan taubat. Solat wajib awal waktu secara berjemaah. Ia baik bagi otak. Baca buku. 

10. Pilih team pergaulan. Kurangkan bersama si mata lalat - pengkritik yang memekik semua perkara tidak puas hati. Juga penjilat yang sentiasa bodek tidak bertempat.

11. Bersyukur. Redha dan Bersabar. Mereka yang tidak tahu bersyukur tidak akan dapat bersabar di hari tua nanti. Syukur itu tapak kukuh hidup tenang.

12. Jimat perkataan. Usah sembang kencang. Usah dibuai perasaan.

Banyakkan berfikir dan berzikir. Utamakan masa bersama keluarga.

13. Tidur malam dengan selimut kaki atau pakai stokin supaya hormon bersesuaian dapat dirembeskan. Maafkan semua orang. Bersihkan kolam jiwa. Tiada dengki dan iri hati. Doa dan doa.


Dakwah Tak Henti Walau Miskin





Majoriti daie di  Uganda miskin sehingga tidak mampu membeli basikal sendiri tetapi itu tidak menghalang mereka berjalan kaki siang dan malam mengajak manusia kembali kepada Islam.

Daie di Malaysia dilimpahkan nikmatnikmat menaiki kereta berhawa dingin, berceramah danbersolat di masjid tersergam indah berhawa dingin serta dihidangkan juadah sedap seusai ceramah! 

InshaAllah, stokin daie Uganda yang koyak kerana berjalan menyampaikan mesej Islam bakal menjadi bukti usaha mereka di akhirat kelak.

Apa pula bukti usaha kita di akhirat nanti?

Friday, September 22, 2017

Tentang Haji dan Umrah






Ramai yang menjadikan pengurusan haji dan umrah sebagai sumber pendapatan. Memang ia satu urusan peniagaan yang halal jika diuruskan dengan betul, namun ada beberapa perkara yang perlu untuk diambil berat.

Dalam keghairahan mempromosi syarikat masing-masing, kadang-kadang para jemaah tidak diberikan maklumat yang betul mengenai urusan umrah atau haji mereka. Yang kali pertama pergi umrah, kadangkala tidak faham dalam banyak perkara. Para penceramah  umrah atau haji perlu bekalkan mereka dengan maklumat yang sahih. Elakkan unsur khurafat ataupun amalan tanpa berasaskan dalil.

Contohnya, ada jemaah masuk ke dalam Masjid Haram tanpa menunaikan solat tahiyyatul masjid atas alasan Nabi s.a.w bersabda: "Tahiyyah BaitulLah (Kaabah) adalah tawaf”. Jadi, apabila mereka tidak tawaf,  setiap kali masuk masjid, ada yang hanya terus duduk. Padahal, hadis yang itu tidak sahih. Para ulama hadis menghukumnya sebagai palsu, ataupun tiada sumber yang asal.

Pun begitu hal ini adalah betul, kerana apabila sampai ke BaitulLah, perkara pertama dilakukan tentulah tawaf. Kemudian, bersolat dua rakaat di Maqam Ibrahim. Bagi, mereka yang masuk ke dalam Masjidil Haram sahaja, maka hukumnya sama dengan masjid lain seperti sabda Nabi s.a.w:
“Apabila seseorang kamu memasuki masjid maka hendaklah dia menunaikan solat dua rakaat sebelum dia duduk” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Demikian juga mengenai doa bagi setiap pusingan tawaf atau saie. Ada syarikat yang menjual alatan khas untuk dipakai oleh jemaah haji dan umrah bagi menlong mereka mengingati doa khas bagi setiap pusingan.

Rasulullah s.a.w hanya menyuruh berdoa secara umum tanpa ditentukan doa khas, kecuali pada beberapa tempat sahaja seperti antara Rukun Yamani dan Hajarul Aswad.
Seseorang boleh berdoa apa sahaja hajat yang diingini, tanpa terikat. Mereka lebih khusyuk dan lebih dapat menghubungkan jiwa dengan Allah. Hajat setiap insan tidak sama.

Justeru, para pembimbing umrah dan haji, tidak boleh hanya berfikir tentang bisnes  sahaja, tanpa memberikan kefahaman kepada jemaah. Pembimbing perlu merujuk kepada sumber yang diyakini.Jika jemaah tersalah disebabkan pembimbing, dibimbangi mereka akan termasuk dalam hadis Nabi s.a.w:
“Sesiapa yang memulakan dalam Islam sunnah yang jahat lalu ia diamalkan selepas itu, ditulis untuknya seperti dosa orang yang mengamalkannya. Ini tidak mengurangkan dosa mereka (para pengamal itu) sedikit pun”. (Riwayat Muslim).


Wallahualam.

Wednesday, September 20, 2017

Pandangan Mata Yang Menipu







Ketika memilih sayuran di pasar, pilih sayuran yang berlubang daunnya. Jika ulat berani makan sesuatu pokok sayur, ertinya sayur itu lebih selamat dari sayur yang cantik tidak dimakan ulat kerana mungkin ada racun serangga pada daunnya.

Bila memilih ikan di meja penjual,jangan pilih ikan yang segar,masih keras,masih jernih matanya. Kalau diberi pada kucing,tanpa dibasuh dulu,jika kucing makan,itu tanda ikan itu selamat di makan tetapi jika kucing meninggalkannya setelah mencium,itu tanda ikan itu direndam dengan kimia fomaline,sejenis bahan awet  yang diguna untuk mengawet mayat supaya nampak segar.

Jika membeli ayam di pasar malam, jangan beli ayam yang telah dilayur kerana kebiasaannya ayam itu tidak segar, telah berhari-hari tidak terjual dan disimpan dalam ais.Untuk selamat, beli yang segar dan suruh penjual layur depan mata kita. Beli ayam yang kakinya masih tegak bila ditelentangkan. Jika kakinya meleweh jatuh, itu tanda ayam lama. Begitu juga ayam yang siap dipotong, mungkin ia ayam yang sudah lama.

Bila membeli daging, mintalah daging yang digantung dan masih ada darah pada pahanya. Jika daging diletak di bawah kemungkinan dicampur daging import yang lebih murah. Walau nampak cantik ia telah dibekukan berbulan-bulan. Ada peniaga berpura memotong daging di paha yang digantung agar tidak mencukupi timbangan dan bila ditimbang tidak mencukupi,lalu ditambah dengan daging yang diletak di bawah, tidak digantung. Itu daging import yang jauh lebih murah.

Jangan terpedaya dengan apa yang kita lihat. Pandangan mata boleh menipu. Umpama fatamorgana di gurun. Nampak seperti air atau jalan yang panas, padahal ia tidak wujud. Pandangan menipu yang tidak dapat memahami hakikat sebenar. Oleh itu kita mesti melihat sesuatu dengan hakikat dan fikiran.

Sebab itu Allah suruh kita berfikir mengguna akal.Jangan membuat kesimpulan berdasarkan pandangan sahaja. Berjubah berserban bukan tanda muktamad seseorang itu baik.Biasa membaca berita ustaz yang mengajar kitab Hikam di masjid,tetapi akhirnya ditemui dia mengguna murid sebagai pemuas nafsunya dengan meletak fahaman kepada murid bahawa apa yang dilakukannya adalah digerakkan oleh Allah. Air yang tenang jangan disangka tiada buaya. Waspada selalu dan teliti dulu denga fikiran baru buat kesimpulan. 

Bila Allah takdirkan sesuatu peristiwa, jangan sekadar berbicara dengan apa yang dapat dilihat oleh mata, tetapi lihatlah juga hakikat sebaliknya. Kebakaran maahad tahfiz yang mengorban jiwa tidak seharus dilihat pada aspek kelemahan pentadbiran dari segi keselamatan sahaja tetapi perlu diinsafi mengapa Allah takdirkan wujudnya budak-budak yang sanggup melakukan sedemikian. Rosaknya akhlak remaja kini hingga tidak punya perasaan belas kasihan. Akal dikuasai oleh dadah, akibat kurang didikan dan kawalan ibu bapa, kegagalan kerajaan menangani masalah penyebaran dadah. Allah ingin  mengingatkan manusia bahawa dadah bukan sekadar membunuh jiwa orang yang mengambilnya tetapi boleh juga mengancam nyawa orang lain. Ia mesti diperangi seperti memerangi musuh yang menyeberang sempadan.

Belajarlah melihat dengan hakikat. Alam ini indah kerana Allah yang mencipta keindahan itu. Begitu hebat Yang Maha Mencipta. Begitulah seterusnya.Wallahua'lam. [Dari pemikiran Cikgu Abdul Ghani Haron]


Harumnya Minyak Wangi Syurga




IMAM THABRANI dalam Hadith Hasan Shahihnya pernah menulis kisah tentang syurga... Syurga digambarkan mempunyai tingkatan-tingkatan, yang luasnya seluas langit dan bumi…. 

Suatu ketika, SETITIS MINYAK WANGI YANG SANGAT HARUM dari seorang penduduk syurga yang berada di tingkat atas, JATUH MENITIS KE TINGKAT BAWAH... BAU HARUM DARI SETITIS MINYAK WANGI ITU, MENGALAHKAN BAU WANGI-WANGIAN yang ada pada seluruh penduduk di syurga tingkat bawah itu…. Seluruh isi syurga yang berada di tingkat bawah itu menjadi heboh… Mereka  bertanya-tanya, DARI MANAKAH WANGI HARUM ITU? Semerbak wangi yang belum pernah mereka rasakan sebelumnya…. Lalu dijawab oleh Malaikat penjaga syurga, BAU YANG SANGAT HARUM ITU, BERASAL DARI TITISAN MINYAK WANGI DARI SEORANG PENDUDUK SYURGA, YANG TINGGAL DI TINGKAT ATAS… 

Penduduk syurga tingkat bawah itu pun bertanya, APA YANG MEMBUAT ORANG TERSEBUT BOLEH MEMASUKI SYURGA TINGKAT ATAS? Betapa mulianya orang itu, hingga ditempatkan di syurga yang ada di bahagian atas….

Malaikat pun menjawab... Amal ibadah si pemilik parfum itu pada dasarnya sama dengan orang-orang yang ada di syurga bahagian bawah… "Namun bezanya, si pemilik parfum itu MEMILIKI ZIKIR YANG LEBIH BANYAK dari engkau sebanyak satu kali… Maka ia pun ditempatkan di syurga yang lebih tinggi," Jawab malaikat itu….

Ketika itu, MENYESALLAH PENDUDUK SYURGA yang berada di tingkat bawah... Mereka menyesal, mengapa sewaktu di dunia, MEREKA MENYIA-NYIAKAN WAKTU... TIDAK BERZIKIR SEBANYAK2NYA KEPADA ALLAH… Andaikan mereka banyak berzikir dan beribadah, tentu mereka boleh ditempatkan di syurga yang lebih tinggi itu…. Wallahu a’lam….. *GAMBAR HIASAN SAHAJA*…..

[Sumber: FB Ustaz Ramli Joned

Tuesday, September 19, 2017

Kekesalan Pengikut Al Arqam

Perkongsian seorang bapa, Haji Ahmad Salim yang kesal kerana mengabaikan pendidikan anak-anak kerana taksubnya dengan Al Arqam.



Apabila saya mengenangkan penglibatan saya dalam jemaah Al Arqam, saya tidak boleh lupa beberapa keputusan yang saya buat terhadap pendidikan anak-anak saya yang sehingga hari ini kalau saya terpandang wajah mereka sesekali akan menusuk ke dalam hati saya rasa penyesalan, rasa bersalah kerana menzalimi mereka, menyebabkan musnah hancur lebur cita-cita dan harapan mereka. Saya memohon kepada ALLAH agar mengampunkan dosa-dosa saya. Saya menulis artikel ini dengan harapan semoga ALLAH mengikis dari diri saya sebarang unsur kezaliman dan taksub.

Semenjak tahun 1986 hingga 1996 seramai 6 orang anak-anak saya dihantar ke sekolah Arqam tanpa memikir panjang masa depan mereka, walaupun saya tahu sekolah Arqam dalam keadaan serba daif. Saya yakin dengan perjuangan Arqam untuk menegakkan Islam di tengah masyarakat. Saya nampak hanya yang baik sahaja.

Dua orang anak lelaki saya yang sulung dan yang kedua saya berhentikan daripada sekolah kebangsaan dan memasukkan mereka ke sekolah Arqam di kampung Sempadan.. Empat orang anak perempuan saya dihantar ke sekolah Arqam dari darjah satu lagi semenjak tahun 1988. Pada tahun 1996 semua sekolah Arqam ditutup akibat pengharaman Arqam pada 1994. Tiga orang anak-anak saya yang bersekolah Arqam ketika itu dimasukkan ke sekolah kebangsaan oleh isteri saya yang bertungkus lumus berusaha meyelamatkan anak-anak saya. Pada masa itu saya menjadi orang tahanan I.S.A. di Kemunting. Berkat usaha isteri tanpa pertolongan  daripada sesiapa daripada jemaah Arqam, mereka dapat melanjutkan pelajaran sehingga mereka tamat belajar sampai ke universiti. Seorang daripadanya pula dihantar oleh Arqam belajar di sekolah menengah di Jordan sebelum pengharaman Arqam sehingga tamat ke peringkat universiti. Sehingga sekarang dia masih bersama Arqam. 

Dua orang anak lelaki yang saya berhentikan dan masuk ke sekolah Arqam pada tahun 1986, selang beberapa bulan telah dihantar oleh jemaah Arqam ke Pakistan untuk belajar tahfiz.

Ketika itu buat pertama kali jemaah Arqam menghantar anak-anak mereka belajar tahfiz di Pakistan. Tanpa merujuk kepada anak-anak, dengan perbelanjaan sendiri saya bersetuju menghantar kedua-dua anak saya ke Pakistan. Terasa bangga di hati kerana anak dapat peluang belajar tahfiz diluar negara.

Dalam masa empat tahun anak-anak saya di Pakistan, saya kurang ambil tahu tentang hal mereka. Sibuk dengan perjuangan Arqam sehingga kebajikan anak-anak dilepaskan kepada jemaah semata-mata.

Alangkah kecewanya saya apabila mereka pulang mereka gagal di sekolah tahfiz. Saya diberitahu mereka sering ponteng kelas. Mereka selalu kena pukul  sehingga salah seorang anak saya fobia dengan pengajian. Tidak mahu belajar lagi. Semenjak balik dari Pakistan hubungan saya dengan anak-anak saya semakin teruk. Mereka menyalahkan saya kerana menghantar mereka ke Pakistan. Selepas mereka gagal di Pakistan saya gagal mengambil langkah untuk memulihkan keadaan.  Saya membiarkan sahaja mereka tanpa pelajaran yang sempurna. Saya sibuk berdakwah dalam Arqam dan membiarkan anak saya memusnahkan hidupnya akibat memberontak terhadap tindakan zalim saya. 

Saya berlaku zalim terhadap anak-anak. Saya meyerahkan urusan mereka semuanya kepada isteri. Sikap tidak mesra dengan anak-anak meyebabkan mereka tidak mesra dengan saya. Ini salah saya kerana tertipu dengan nafsu, tertipu dalam perjuangan yang kononnya menolong agama ALLAH tetapi sebenarnya perjuangan kebatilan bertopengkan lslam.

Anak-anakku, maafkanlah ayahmu kerana mengabaikan tugas sebagai seorang ayah, sikap tidak mesra, sikap kurang prihatin ayah terhadap keperluanmu terutama keperluan emosi dan spiritual ketika kamu sangat-sangat memerlukannya.

Saya juga ingin memohon maaf kepada bekas anak-anak buah saya dalam Arqam dahulu yang turut sama menghantar anak-anak mereka ke sekolah Arqam. Saya percaya ada di antara mereka yang turut 'tekorban'. Saya meyusun jari sepuluh memohon maaf di atas ketaksuban saya  dalam perjuangan ini dahulu.

Ya ALLAH ampunkanlah segala dosa2 hambamu ini. Berikanlah daku kekuatan dalam memperbaiki diriku agar mengalir subur kembali kasih sayang di dalam diriku terhadap mereka yang ku zalimi.
Attachments area

Thursday, September 14, 2017

Tandas 50 Sen



Al Kisah: Di Hadapan Sebuah Tandas Awam 

Pemuda: 
Pakcik perlu bayar 50 sen untuk masuk ke tandas.

Orang Tua itu menitiskan air mata

Pemuda: 
Eh pakcik, janganlah menangis. Kalau pakcik tak ada duit, saya boleh bayarkan. Pakcik masuk sahaja.

Orang Tua: 
Aku menangis bukan kerana tiada duit, aku ada banyak duit sehingga tandas inipun mampu aku beli.

Pemuda: Jadi, 
Mengapa pakcik menangis?

Orang Tua: 
Aku menangis kerana tempat sebusuk dan sehina inipun ada harga yang perlu dibayar untuk masuk.  Ini kan           pula syurga yang begitu indah, berapa pula bayaran yang harus aku bayar.. cukupkah amalanku untuk membayar harga sebuah syurga..

Pemuda itu pula turut menangis.

“Sesungguhnya Allah swt telah membeli dari orang-orang mukmin, diri dan harta mereka dengan memberikan syurga untuk mereka.” 

(At Taubah: 111)

Wednesday, September 13, 2017

Jawapan Buat Siti Kasim Dan David Orok




Salam Perdamaian Penulis hulurkan kerana itulah teras bagi agama Islam yang dibawa oleh Nabi terakhir, Nabi Muhammad S.A.W.

1-Seminggu dua ini masyarakat dikeruhkan dengan pelbagai isu yang jika tidak disantuni dengan sikap saling menghormati dan ketaatan dalam mengamalkan agama masing-masing pasti akan menambah perpecahan dan hilangnya semangat saling berkasih sayang yang menjadi teras bagi kedamaian semua agama. 

2- Apatah lagi jika isu kesucian agama dan pokok keyakinan dalam beraqidah menjadi ejekan serta sendaan mereka yang tidak bertanggung jawab. 

3- Islam yang berasal dari kata akarnya 'SALAM' membawa erti kedamaian serta keselamatan. Ia memberi satu isyarat bahawa Muslim
yang benar ialah Muslim yang darinya terserlah kedamaian serta keselamatan buat manusia sejagat.

4- Islam melarang umatnya mencerca keyakinan agama lain. Bahkan Islam menyatakan prinsip perhormatannya dalam beraqidah  agama lain melalui ayat-ayat suci Al-Quran seperti : 

لَكُمْ دِينُكُمْ وَلِيَ دِينِ 

" Bagi kamu agama kamu, bagi kami agama kami." ( Al-Kafirun : 6) 

" وَلا تَسُبُّوا الَّذِينَ يَدْعُونَ مِنْ دُونِ اللَّهِ فَيَسُبُّوا اللَّهَ عَدْوًا بِغَيْرِ عِلْمٍ كَذَلِكَ زَيَّنَّا لِكُلِّ أُمَّةٍ عَمَلَهُمْ ثُمَّ إِلَى رَبِّهِمْ مَرْجِعُهُمْ فَيُنَبِّئُهُمْ بِمَا كَانُوا يَعْمَلُونَ (١٠٨)

"Dan janganlah kamu menghina sembahan-sembahan yang mereka sembah selain Allah, karena mereka nanti akan menghina Allah dengan melampaui batas tanpa pengetahuan. Demikianlah Kami jadikan Setiap umat menganggap baik pekerjaan mereka. kemudian kepada Tuhan merekalah kembali mereka, lalu Dia memberitakan kepada mereka apa yang dahulu mereka kerjakan." (Al-An'am:108)

Serta ayat-ayat lain yang mengajar setiap Muslim agar menghormati prinsip aqidah agama lain. 

5- Membaca penulisan Saudara David Orok, menerusi link yang Penulis sertakan di bawah, Penulis beranggapan bahawa beliau tidak mengenali Islam dan kedamaian yang menjadi asas kepada penyebaran Dakwah Islamiah di dunia ini.

6- Tuduhan beliau terhadap status nasab Nabi Ismail bin Ibrahim dengan tuduhan sebagai 'Anak luar nikah' amat mengguris hati umat Islam terutama di negara ini.

7- Beliau mendatangkan hujah untuk
menyokong tuduhannya itu berdasarkan kefahaman beliau terhadap dalil-dalil dari Holy Bible. 

8- Oleh kerana beliau turut menuduh ibadat korban umat Islam adalah sia-sia kerana Muslim yang melaksanakan ibadat korban tersebut tidak memahami konteks pengorbanan Ibrahim mengikut kepercayaan Yahudi, maka Penulis terpanggil untuk memberi jawapan di atas tuduhan beliau tersebut.

9- Penulis akan memberi jawapan mengikut susunan tuduhan beliau terhadap keyakinan Muslim serta kesucian nasab Nabi Ismail bin Ibrahim A.S.

TUDUHAN BELIAU

Tuduhan Pertama : Nabi Ismail adalah anak luar nikah Ibrahim dan Hajar. 

Jawapan : Nabi Ismail adalah anak sah taraf Ibrahim kerana Bible telah menyatakan dengan jelas bahawa hajar ialah ISTERI Ibrahim. Ini berdasarkan kepada terjemahan Bible KJV yang menyatakan : 

" And Sarai Abram's wife took Hagar her maid the Egyptian,after Abram had dwelt ten years in the land of Canaan, and gave her to her husband Abram to be his WIFE ".  
                                           (Gen:16:3)

Juga di dalam Bible The Gideons menyatakan : 

" Then Sarai, Abram's wife, took
Hagar her maid, the Egyptian, and gave her to her husband Abram to be his WIFE, after Abram had dwelt ten years in the land of Canaan."

                                               (Gen:16:3)

Juga di dalam Bible NRSV menyatakan : 

"So, after Abram had lived ten years in the land of Canaan, Sarai, Abram's wife, took Hagar the Egyptian, her slave girl, and gave her to her husband Abram as a WIFE."

                                               (Gen:16:3)

Di dalam Al-Kitab Al-Muqaddas, Bible Versi Arab menyatakan : 

فاخذت ساراي امراءة ابرام هاجر المصرية جاريتها من بعد عشرسنين لاقامة ابرام في ارض كنعان واعطتها لابرام رجلها 'زوجة'  له

( تكوين :١٦/٣)

Dan banyak lagi dalil yang menyatakan bahawa Hagar adalah ISTERI Ibrahim (bukan gundik) di dalam pelbagai versi Bible.

Penulis beranggapan, beliau menuduh Nabi Ismail A.S adalah anak luar nikah atau tidak sah taraf berdasarkan kenyataan dalam satu versi Bible iaitu versi Today's English Version (TEV) yang menyatakan bahawa Hajar bukanlah isteri ibrahim sebaliknya hanyalah 'GUNDIK' Ibrahim. Versi tersebut menyatakan :

" So she (Sarai) gave Hagar to him to be his concubine. (This happened after Abram had lived in Canaan for ten years).

                                               (Gen:16:3)

Namun perlu diingat, TEV Version ini adalah Bible keluaran tahun 1976. 
Manakala Versi-versi Bible yang mengakui bahawa Hajar adalah ISTERI Ibrahim adalah lebih baru. Perhatikan tahun keluaran bagi setiap versi yang dinyatakan di bawah : 

1-KJV (King James Version) - Tahun 1979

2-The Gideons -Tahun 1983

3-NRSV (New Revised Standard Version) - Tahun 1989.

4-Bible versi Arab (الكتاب المقدس)-     Tahun 2002

Dan kalau saudara tetap berpendirian bahawa Ismail anak luar nikah Ibrahim dengan beralasan tetap memegang dalil dari versi TEV yang menyatakan Hajar adalah GUNDIK Ibrahim, persoalannya ialah bagaimanakah dengan aqidah mereka yang memegang dalil bahawa Hagar ialah ISTERI Ibrahim seperti yang dinyatakan dalam versi KJV, NRSV, الكتاب المقدس dan lain-lain.

Tuduhan kedua : Bukan Ismail yang dikorbankan sebaliknya Ishak. 

Jawapan : Bible telah menegaskan bahawa satu-satunya anak Ibrahim yang dikorbankan di pergunungan Moria ialah Ismail. Ini berdasarkan Kronologi kelahiran anak-anak Ibrahim berdasarkan dalil dari Bible seperti di bawah : 

"Kemudian Hagar (Hajar) melahirkan seorang anak lelaki, lalu Abram (Ibrahim) bapa anak itu menamakan dia Ismail. Pada masa itu Abram berumur 86 tahun."

                                (Kejadian 16:15-16)

Dan bandingkan dengan ayat ini :

"Ibrahim berumur 100 tahun ketika Ishak dilahirkan."

                                      (Kejadian 21 :5)

Melalui dua ayat ini jelas menunjukkan ISMAIL lebih dahulu dilahirkan dan menjadi anak tunggal Ibrahim selama 14 tahun sebelum mendapat adik lelaki yang bernama Ishak. 

Sedangkan perintah Allah kepada Ibrahim agar mengorbankan anaknya yang tunggal telah disebut secara jelas di dalam ayat ini : 

"Allah berfirman: “Pergilah ke tanah Moria dengan ISHAK, ANAKMU YANG TUNGGAL, yang sangat engkau kasihi. Di situ, di sebuah gunung yang akan Ku tunjukkan kepadamu, persembahkanlah anakmu sebagai korban untuk menyenangkan hati-Ku“.

                                       (Kejadian 22:2)

Walaupun ayat di atas menyatakan ISHAK yang dikorbankan di tanah Moria, tetapi kita telah bersetuju berdasarkan dalil dari Bible bahawa SATU-SATUNYA ANAK TUNGGAL IBRAHIM YANG HIDUP SELAMA 14 TAHUN MENDAHULUI ISHAK IALAH ISMAIL.

Manakala kalimah Ishak di dalam ayat ini kami sebagai Muslim menyakini bahawa ia adalah kata tambahan yang dimasukkan oleh Ahli Kitab Yahudi di dalam Old Testament bagi memadamkan kesahihan Geneology Ismail yang darinya lahirlah 'Sayyidul Anbiya' iaitu Nabi Muhammad S.A.W. 

Sekiranya saudara masih berhujah dengan menyatakan Ishak dianggap sebagai anak tunggal Ibrahim kerana Ismail hanyalah anak luar nikah Ibrahim, saudara telah melakukan dua kesalahan: 

Pertama : Menuduh Ibrahim, yang merupakan Nabi agung bagi tiga agama terbesar di dunia sebagai penzina. 

Kedua : Menyalahi dalil-dalil dari Bible yang secara jelas menyatakan bahawa Hagar bukanlah Gundik Ibrahim sebaliknya dia adalah ISTERI yang sah. 

Tuduhan Ketiga : Al-Quran mengakui bahawa pengorbanan Ishak adalah bukti pembenaran Yesus akan disalib untuk menebus dosa manusia yang diwarisi dari adam.

Jawapan : Idea Dosa Warisan tidak ada kena mengena dengan keyakinan Muslim. Setiap dosa tidak boleh diwariskan bahkan Al-Quran telah menegaskan prinsip ini dengan firmanNya : 

"Barangsiapa yang berbuat sesuai dengan hidayah Allah, maka sesungguhnya dia berbuat kebaikan itu untuk (keselamatan) dirinya sendiri dan barangsiapa yang sesat maka kesesatannya itu adalah untuk (kerugiannya) sendiri. Dan setiap orang yang berdosa (dengan dosanya) tidak pula dapat menanggung dosa orang lain dan kami tidak akan menimpakan azab sebelum kami mengutuskan rasul (kepada manusia). 

                             (Surah Al-Isra 17:15) 

Bahkan Bible membenarkan Al-Quran dengan katanya :

"Tetapi sesiapa yang makan anggur yang masam, dia sendirilah yang akan merasa masamnya. Setiap orang akan mati kerana dosanya sendiri."

                                      (Yeremia 31:30)

"Orang yang berdosa akan mati. Seorang anak tidak menanggung akibat daripada dosa bapanya. Demikian juga seorang bapa tidak menanggung akibat daripada dosa anaknya. Seorang yang baik akan menerima ganjaran kerana kebaikannya, dan seorang yang jahat akan menanggung akibat daripada kejahatannya."

                                   (Yeheizkel 18:20)

Perhatikan juga di dalam Matius 16:27:

"Anak Manusia sudah hampir tiba bersama–sama para Malaikat-Nya dengan kemuliaan Bapa-Nya. Pada masa itu Dia membalas tiap – tiap orang menurut perbuatannya sendiri."

Juga di dalam Roma 2:5-6 juga menyatakan:

"Kamu degil dan keras kepala. Oleh itu, kamu sendiri yang menjadikan hukuman kamu semakin berat pada hari Kiamat apabila Allah menyatakan kemurkaan-Nya dan menjatuhkan hukuman yang adil. Hal yang demikian itu adalah kerana Allah akan membalas setiap orang, setimpal dengan perbuatannya sendiri."

Sebab itulah kami menyatakan bahawa idea dosa warisan ini tidak ada kaitan sama sekali dengan Islam serta pengorbanan yang dilakukan oleh Ibrahim hanyalah penzahiran sifat ubudiyyahnya terhadap Allah SWT. 

Sebenarnya, masih banyak yang hendak Penulis nyatakan sebagai perkongsian bersama namun memadailah penulisan ini sebagai muqaddimah jawapan buat saudara.

Penulis tidak mengharapkan saudara meyakini Islam atau Al-Quran kerana tiada paksaan dalam beragama tetapi memadailah saudara yakin dan beriman terhadap apa yang disebut oleh kitab saudara sendiri. 

Semoga saling bertimbang rasa dan berlapang dada membawa lebih keharmonian bersama.

Nukilan asal: 
YH Dato Rashidy Jamil Al-Rashid,
Kuala Lumpur.
Dipetik dari FB Firdaus Wong

Tuesday, September 12, 2017

Ibadah Bukan Untuk Main-main




Semenjak dua ini, syair Ibn Mubarak ini berdendangan di benak...Part, "Pasti kamu sedar main-main sahaja kamu beribadah" sentap!

"Wahai si abid dua tanah suci kalaulah kamu melihat kami
            Pasti kamu sedar main-main sahaja kamu beribadah

Wahai orang yang membasahkan pipinya dengan air mata
            Leher kami pula kebasahan dengan darah

Atau siapa yang memenatkan kudanya pada yang sia-sia
            Kuda kami pagi pertempuran sudah kepenatan

Bagi kamu hembusan wangian sedangkan wangian kami,
            Debu-debuan di kaki-kaki kuda, debu yang mulia

Dan sungguh telah datang kepada kita sabdaan Nabi kita, 
            Kata-kata yang betul, benar, tidak berdusta

Bahawa tidak sama debu ahli Allah di
             Hidungnya dibandingkan asap api yang membakar

Ini pula kitab Allah yang bertutur antara kita
             Bahawa orang syahid sebenarnya tidak mati, tidak berdusta"

ياَ عَـابِدَ الْحَرَمَيْنِ لَوْ أَبْصَرْتَنَـا  … لَعَلِمْتَ أَنَّكَ فِي الْعِبَادَةِ تَلْعَبُ
مَنْ كَانَ يَخْضِبَ خَدَّهُ بِدُمُوعِـهِ…  فَنُحُورِنَـا بِدَمَائِنَـا تَتَخَضَّبُ
أَوْ كَانَ يُتْعِبُ خَيْلَـهُ فِي بَاطِـلٍ…  فَخُيُولَنَا يَوْمَ الصَّبِيحَـةِ تَتْعَبُ
رِيْحُ الْعَبِيرِ لَكُمْ وَنَحْنُ عَبِـيْرُنَا ...    رَهَجُ السَّنَابِكِ وَالْغُبَارُ الأَطْيَبُ 
وَلَقَدْ أَتَـانَا مِـنْ مَقَالِ نَبِيِنَا ...    قَوْلٌ صَحِيحٌ صَادِقٌ لَا يَكْذِبُ 
لَا يَسْتَوِيْ غُبَـارُ أَهْلِ اللهِ فِي ...    أَنْفِ أمْرِئٍ وَدُخَانُ نَارٍ تَلهَبُ 
هَذَا كِتَابُ اللهِ يَنْـطِقُ بَيْنَنَا ...    لَيْسَ الشَّهِيدُ بِمَيـِّتٍ لَا يَكْذِبُ 

-Abdullah bin al-Mubarak, (Siyar A‘lam al-Nubala’)



Qunut Nazilah, Bila lagi?

Sebenarnya jika kita berjaya menghafal doa qunut witir atau subuh, maka hendak menghafal qunut nazilah lagi mudah. Soalnya mahu atau tidak. Sayanglah, jika dipanjangkan umur sampai 50 tahun tetapi hanya mampu mengaminkan qunut nazilah orang lain sahaja!

..................Keperluan Masa Depan

Membaca qunut nazilah syariat Allah. Bahkan ia syiar ukhuwah Islam. Jika benar kita bersimpati dengan saudara seiman yang dizalimi nun di sana, bantulah mereka. Jarak bukannya penghalang untuk menghulurkan bantuan material. Sekalipun benar-benar terhalang, tiada siapa yang mampu menghalang bantuan doa kita buat mereka. 

Syariat Allah ini tetap relevan sepanjang zaman. Bahkan sangat mustahak bagi kita yang menjadi warga akhir zaman. Masa depan bakal menyaksikan tragedi demi tragedi menimpa umat Islam. Ini bukan analisis atau ramalan bahkan realiti yang didedahkan lebih awal oleh Rasulullah. 

Sabda Baginda: “Masa semakin cepat, amal semakin berkurangan, bakhil semakin melampau dan al-haraj semakin menjadi-jadi.” 
Sahabat bertanya: “apa itu al-haraj?”
“Pembunuhan, pembunuhan!” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

..................Hanya Ustaz Tahu?

“Ustaz, malam bila ustaz ada kelapangan. Boleh solat di surau kami?”

“Kenapa, ya? Kalau ikutkan memanglah tiada kelapangan. Tetapi tengoklah hajatnya dahulu. Kalau mustahak boleh saya usahakan.”

“Begini ustaz. Sekarang ini kan berlaku tragedi di Syria. Terbaru isu Rohingya pula. Jadi kami hendak adakan bacaan qunut Nazilah dalam solat Marghib atau Isyak. Tidak sedaplah, surau di tempat kami tidak buat qunut nazilah dalam keadaan sekarang.”

Mengeluh. Membaca doa bukannya kerjaya eksklusif ustaz dan ulama. Doa keperluan semua Muslim. Rasulullah mengajar doa untuk setiap umatnya, bukannya diswastakan kepada golongan tertentu. 

Benarlah, jika ada ustaz atau orang yang lebih utama, kita harapkan mereka mengepalai doa. Namun tidaklah sampai ketika ketiadaan ustaz, mana tidak berdoa.

.......................Tambahkan Koleksi Doa 

Bila kali terakhir kita menghafal doa? Alangkah baiknya kalau kita konsisten menambah senarai doa yang dihafal. 

Tidak mengapalah kita sudah tidak “sempat dan larat” hendak menghafal ayat al-Quran. Setidak-tidaknya kita hafal ayat-ayat doa daripada Allah. Sekurang-kurangnya ada 40 doa “Rabbana” yang Allah ajarkan sendiri untuk kita munajatkan kepada-Nya.

Tidak mengapa jika tidak bertambah hadis atau zikir baru untuk dihafal. Setidak-tidaknya kita hafal rangkap doa ma’thur yang baru. Dalam doa itu terkandung zikir dan ilmu sekali gus. Jika begitu, qunut nazilah antara doa yang mesti kita hafal.

........................Bukan Semasa Jumaat Sahaja

Pembacaan qunut nazilah digerakkan apabila berlaku tragedi atau musibah dahsyat yang menimpa umat Islam. Selama tempoh itu kita disarankan berqunut nazilah sehingga musibah berakhir.

Kita boleh menadah tangan berqunut dalam semua solat yang lima. Maka sayanglah kalau kita hanya berdoa qunut semasa solat Jumaat sahaja. Sesiapa yang menjadi imam, lakukanlah qunut nazilah dalam setiap solat yang dipimpinnya.

Begitulah qunut nazilah Rasulullah. Ibn Abbas menceritakan: “Rasulullah berqunut selama sebulan berturut-turut baik dalam solat Zohor, Asar, Marghib, Isyak mahupun Subuh.” (Riwayat Abu Dawud)

Bahkan diperdebatkan oleh ulama tentang hukum qunut nazilah dalam solat Jumaat. Sebahagian fuqaha berpendapat makruh perkara demikian. Sekalipun tidak berqunut, semasa khutbah itupun boleh dilakukan doa seumpama. 

.......................Tidak Perlu Panjang-panjang 

Sebenarnya qunut nazilah pendek sahaja. Rasulullah berqunut nazilah ringkas sahaja namun isinya fokus kepada tragedi yang berkaitan sahaja. Cuba amati hadis-hadis berkaitan qunut nazilah Nabi.

Anas pernah ditanya: “Adakah Rasulullah pernah berqunut dalam solat Subuh?” Beliau menjawab: “Ya, selepas rukuk secara ringkas.” (Riwayat Muslim) 

Maka membaca qunut nazilah biarlah pendek tetapi kerap. Itu lebih baik berbanding berdoa qunut panjang-panjang tetapi seminggu sekali sahaja.

..................Tiada Lafaz Khusus

Tiada lafaz khusus bagi qunut Nazilah. Sebaliknya lafaznya bersesuaian dengan tragedi yang berlaku. Ia bukan seperti doa qunut Subuh atau witir, Allahummahdina..

Usah rasa pelik jika disebutkan nama orang atau golongan secara khusus. Bahkan itu lebih menepati matlamat dan membangkitkan kesedaran. Perhati qunut nazilah Nabi yang menyebut secara khusus nama-nama sahabat yang diharapkan keselamatan. Begitu juga golongan kuffar yang diharapkan kemusnahan buat mereka.

......................Boleh buat sendiri-sendiri

Tidak salah berdoa qunut nazilah sendirian. Tidak semestinya dalam solat berjemaah. Maka para Muslimah pun boleh menambah koleksi doa dengan qunut nazilah. Dengan itu, biarpun tidak berjemaah masjid, kesedaran dan keprihatinan mereka tidak kalah. Ini kerana mereka berqunut nazilah sendiri-sendiri di rumah.

Walau bagaimanapun saya tidak menafikan ijtihad kedua mahupun ketiga ulama dalam persoalan ini. 

...............Bila Lagi?

Akhir sekali, tahniah kepada saudara yang sudah menghafal. Namun tidak terlewat bagi yang belum. Marilah kita memaksa diri menghafal doa qunut nazilah. Kalau bukan sekarang, bila lagi?

Catatan: Ini ialah tulisan lama saya daripada  ruangan Byb! dalam Solusi 60. Maaf kerana agak panjang, mudah-mudahan "panjang" juga faedahnya.

[FB Muhammad Luqman Makhtar]