Tuesday, April 26, 2016

Sikap Pseudo-Ahlus Sunnah Wal Jamaah


Setiap tahun Raja Salman bin Abd al-'Aziz memerintahkan agar 1000 orang dijemput dari seluruh dunia menjadi tetamu baginda. Kali ini 250 para mufti dan tokoh-tokoh agama dijemput dari seluruh dunia, tanpa mengira perbezaan aliran dan latar belakang mazhab, asalkan Islam dari Ahlus Sunnah wal Jamaah maka akan dijemput.

Semasa pertemuan khas beberapa orang kami dengan Amir Madinah iaitu anak Raja Salman al-Amir Faisal bin Salman, beliau mengingatkan tentang tanggungjawab ukhuwwah Islamiyyah dan keluasan Ahlus Sunnah wal Jamaah. Perbezaan latar kefahaman dalam aliran Ahlus Sunnah wal Jamaah tidak boleh dijadikan sebab perpecahan dan keretakan ukhuwwah.

Teringat kita di Malaysia tentang segelintir mereka yang mendakwa konon mereka ASWAJA (Ahlus Sunnah wal Jamaah) tetapi asyik mengkafirkan dan menyesatkan pihak lain. Mereka menuduh orang lain mengkafirkan, padahal yang jelas di sisi semua merekalah yang sering menyesatkan dan mengkafirkan orang itu dan ini.

Baru-baru ini mereka menuduh Dr Zakir Naik dengan pelbagai tuduhan kononnya DZN bukan aswaja. Sebelum itu mereka juga mempertikaikan akidah Imam Masjid Haram as-Syeikh Abdur Rahman as-Sudaisi.Lebih dahsyat lagi sehingga ada yang menghukum akidah imam-imam Masjid Haram dan Masjid Nabi s.a.w tidak betul, sesat kononnya 'wahabi'. Bayangkan jika imam-imam Masjidil Haram dan Masjid Nabi pun sesat, apa lagi yang tinggal bagi umat Islam.
Paling dahsyat apabila mereka serentak dengan HINDRAF mempertikaikan pendakwah seperti DZN ke Malaysia atas kononnya menjaga Ahlus Sunnah wal Jamaah.

Mereka itu pseudo-Ahlus Sunnah wal Jamaah. Mereka pemecah belah umat.Jika kita kaji sebahagian mereka mempunyai hubungan dengan ajaran sesat Ahbash, ajaran pengkafir umat yang diasaskan oleh Abdullah al-Harari. Pada zaman Uthman bin 'Affan, ada Abdullah bin Saba, yahudi yang mengaku membela Islam tetapi berusaha menimbulkan pergaduhan sesama masyarakat muslim atas tuduhan akidah orang lain salah. Akibatnya, terbunuh Saidina Uthman dan porak peranda umat Islam berperang sesama sendiri. Hari ini kelompok yang mengaku kononnya mereka Ahlus Sunnah wal Jamaah (ASWAJA) secara palsu ini bertindak hal yang sama.

Marilah kita bersatu atas keluasan Islam dan hindari kemerbahayaan puak pseudo-Ahlus Sunnah wal Jamaah itu.

[Coretan Dr MAZA]

No comments:

Post a Comment