Wednesday, April 20, 2016

MANJA Yang Menjadikan Insan LEMBIK



Ilmu adalah cahaya kehidupan duniawi dan ukhrawi. Namun ada sikap yang kurang baik di antara para pencari ilmu. Ustaz Dr Zaharuddin Abdul Rahman menganggap sifat orang seperti ini sebagai terlalu 'MANJA'. Padahal susah payah dan pengorbanan dalam menghadiri majlis ilmu adalah satu faktor besar bagi keberkatan ilmu tersebut.

Bermacam alasan yang diajukan, di antaranya:

a. Bila seseorang ustaz atau guru hadir berceramah di suatu tempat yang bukan berdekatan mereka, diminta datang mengajar di tempat mereka.
b. Bila buat di tempat mereka, diminta pula guru mengajar pada waktu mereka cuti.
c. Bila buat waktu mereka cuti, mereka ada program lain lalu minta guru yang mengajar memuat naik ceramah ke youtube.
d. Bila sudah ada di youtube, mereka komen kenapa panjang sangat, dan minta guru buat pendek-pendek agar tidak letih menonton.
e. Bila ada soalan mereka dihantar ke email, SMS, Whatsapp, Inbox, mereka mahu guru jawab dengan segera.
f. Bila guru lambat balas, mereka kata guru sombong, berlagak selebriti, lalu minta guru bertaubat.
g. Bila guru membalas ringkas dan pendek serta padat, mereka anggap guru tidak ada hikmah dalam berbahasa kerana kelihatan kasar tanpa pendahuluan.
h. Bila semua ini dinyatakan, guru diminta bersabar dengan asam garam dalam berdakwah. Mereka sendiri tidak sabar menghadapi kepayahan hadir ke majlis ilmu guru terbabit.

Nampak benar kita tidak serius dalam mempelajari ilmu agama, pada hal ia adalah kebaikan untuk diri di alam barzakh dan akhirat. Ia sama penting seperti kita keluar bekerja mencari nafkah. 'Manja' mencari ilmu akan menjadikan kita LEMBIK, LESU, LUARAN NAMPAK HEBAT TETAPI DALAMAN KOSONG sehingga tidak mampu mengamalkan perkara yang bakal dibawa ke akhirat. Muhasabah Diri

No comments:

Post a Comment