Saturday, April 9, 2016

Muhasabah Diri Si Perunding Imej

Muhasabah diri Puan Mary, seorang perunding imej.


Dalam satu sesi networking, saya bertemu seorang wanita. Gaya dan pakaiannya seperti wanita bekerjaya lain yang pernah saya temui.
Beliau memakai blazer berseluar yang berwarna biru tua, bertudung dengan corak bunga mawar dan berwarna pink lembut, kasut hitam bertumit tinggi dan beg kulit berwarna perang gelap. Saya senyum tatkala kami berpandangan lantas saya menghulurkan tangan untuk bersalam. "Assalamualaikum, Puan. Apa khabar?"

"Waalaikumsalam. Saya bukan puan. Saya Datin, Datin Amira," respons pantas beliau menyebabkan saya sedikit kaget.

Dalam keadaan begini, saya percaya ramai di antara kita sudah terasa 'sentap'. Dalam hati kita sudah pasti mula mengata-ngata wanita ini poyo, berlagak, begitu dan begini. Jujurnya saya juga begitu. Saya bercakap di dalam hati kecil saya yang wanita ini berlagak, poyo dan mengada-ngada.

Eh! Itu semua hanya SANGKAAN saja. Saya baru bertemu wanita ini kurang dari seminit. Apakah saya sudah layak menilai keseluruhan karakter beliau dalam tempoh sesingkat itu? Saya yang mudah terasa 'sentap'. Saya yang menyangka itu dan ini. Saya yang menuduh wanita ini di dalam hati saya dengan pelbagai gelaran yang tidak enak hanya kerana cara beliau memberi respons sebegitu.

Saya fikir lagi, sebagai seorang profesional, dewasa dan matang, adakah lebih mudah dan lebih wajar untuk:
1) saya yang betulkan hati dan minda saya, atau,
2) saya suruh orang lain yang saya rasa 'poyo' itu 'sedar diri sikit'

Dalam situasi saya ini, saya pilih pilihan 1. Saya yang sebenarnya perlu betulkan diri saya, jiwa saya, hati saya. Lalu saya tundukkan kepala sedikit dan segera memohon maaf. "Maafkan, saya Datin. Saya, Mary. Nice meeting you, Datin."

Beliau senyum lalu menyentuh bahu saya seraya berbisik kecil, "It is okay. Saya nervous sebenarnya pergi acara networking sebegini. So many great people and I am just a housewife, datang teman suami."

Saya membalas perlahan, "No, Datin. You did not look nervous at all. Blazer biru tua ini menyebabkan Datin kelihatan seperti seorang CEO. You are the CEO of your home."

Beliau senyum. Dan kami menyambung perbualan bersama dengan beberapa lagi sahabat lain dalam sesi networking itu selama hampir 2 jam.

Saya kemudiannya mengenali bahawa Datin Amira seorang yang aktif dalam kerja-kerja amal. Beliau juga seorang ibu yang hebat, mempunyai seorang anak autisme dan sudah 5 tahun menjaga sendiri ibu mertua yang menghidapi Alzheimer. Sangkaan awal saya bahawa beliau seorang yang berlagak, poyo dan mengada-ngada sudah hilang. Malah diganti dengan rasa kagum dan terinspirasi dengan kesungguhan beliau dalam mengurus keluarga dan kerja-kerja amal.

Saya pelajari bahawa apabila kita berada dalam situasi diperbetulkan oleh orang lain, kita langsung sahaja meminta maaf, panggil dengan cara yang dipilih oleh orang itu dan teruskan perbualan.

Saya berhenti menyangka-nyangka.
Saya berhenti cepat terasa.
Saya berhenti menuduh di dalam hati.
Saya betulkan diri saya dahulu.

Just respect and move on. Remember:

Our reaction to a situation literally has the power to change the situation itself.

No comments:

Post a Comment