Saturday, April 9, 2016

Cerita Masjid


Ustaz Shahrizan Daud At-Turabi membahagikan orang yang ke masjid/surau kepada empat golongan :
* Golongan yang taat kepada perintah Allah dan Rasul – memang menjadi rutin buat mereka untuk datang menunaikan solat secara berjemaah biar macam mana pun keadaan fasiliti, selesa atau tidak, keadaan bacaan imam sempurna atau tidak dan sebagainya.

* Golongan bermasalah – yang berpandangan hanya Allah dan surau atau masjid sahaja tempat mereka memohon pertolongan.

* Golongan berhajat – seperti waktu urusan nikah kahwin, kematian, hendak menggunakan bilik air atau mencari wifi.

* Komitmen – Individu yang komited dengan tanggungjawab tertentu terhadap masjid/surau. Andai kata tidak datang, komitmennya tidak terlaksana, maka dia akan dimarah, mendapat malu kerana dianggap culas dalam tugas.

Tidak ada sesiapa pun boleh memaksa orang ramai datang ke surau / masjid. Yang penting BAGAIMANA hendak menarik minat orang ramai supaya suka datang ke ke surau /masjid.

Perkara ini mengutamakan 2 perkara.

1. Mengurus dan menjaga "makhluk hidup" iaitu:

i) AHLI JAWATANKUASA mesti bersifat mesra jemaah, rajin berjemaah, tidak buat masjid/surau seolah-olah milik sendiri, merendahkan hak orang lain dan menganggap kawasan parkir masjid adalah eksklusif untuk AJK. Gunakan duit tabung dengan jujur dan bersungguh-sungguh.

ii) IMAM dan BILAL patut dijaga oleh AJK dari sudut keperluan, contoh jubah dan pakaian yang sesuai dan selesa, mempunyai kemahiran interpersonal, tahu bila hendak baca surah panjang, bila hennak baca surah pendek, berketrampilan dan mudah rapat dgn jemaah. Jangan banyak keluar masuk bilik imam sebelum dan selepas solat, banyakkan duduk di ruang solat. IMAM/BILAL adalah ikon Masjid/Surau.

iii) PENCERAMAH undangan perlu dijaga. Elakkan golongan yang ekstrem dalam berceramah berunsur politik mahupun yang ekstrem dalam pegangan mazhab, bahan pengajian dan kuliah berkualiti. Utamakan penghargaan PENCERAMAH yang datang ke masjid/surau dari sudut bayaran honorium dan kebajikan lain. Jangan salah anggap tentang konsep fi sabilillah.

2. Urus dan jaga "makhluk mati":

i) Fasiliti Masjid/surau. Utamakan pengurusan tandas. Kalau kawasan sekecil itu mampu disenggara dengan baik, in sya Allah kawanan utama ruang dalaman solat masjid juga mampu diurus dengan baik. Orang akan sebut-sebut masjid/surau yang tandasnya bersih. Ruang solat yang hebat belum tentu memiliki tandas yang bersih dan cantik. Utamakan tandas dan automatik ID masjid akan indah.

ii) Mikrofon dan sistem siaraya perlu bagus. Faktor persekitaran bunyi bunyi mampu mendatangkan khusyuk dan minat orang ke masjid/surau.

iii) Jaga kebersihan karpet dan sejadah. Telekung perlu dibasuh selalu. Kalau ada komitmen dengan kedai dobi terdekat, in sya Allah kedai itu sudi menaja.

iv) Adakah tempat permainan kanak-kanak, sudut bacaan, papan kenyataan, dewan dll juga jangan dinafikan walaupun bukan keutamaan.

Bila institusi masjid/surau sudah bagus, kita kena perkukuhkan. Jemaah pula jangan hanya memerhati dan mencari salah tetapi melibatkan diri, Bukan sekadar menyumbang dana tetapi juga kena menyumbang jiwa.



No comments:

Post a Comment