Monday, September 7, 2015
Menjadi Hamba Bermanfaat
Orang berilmu akan tetap hidup amalannya meskipun telah meninggalkan dunia yang fana dan tulang-tulangnya hancur di dalam tanah. Gajah mati meninggalkan gading, manusia mati meninggalkan nama dan sejarah. Yang berharga bagi gajah adalah kekuatan bentuk fizikalnya, sementara manusia berharga kerana kekuatan ilmunya. Ilmu akan tetap melekat pada pemiliknya dan berkembang. Sejarah membuktikan betapa para ilmuwan yang ilmunya tetap hidup meskipun dia telah pergi berabad lamanya. Nama-nama besar yang tidak pernah luput seperti Imam Bukhari, Imam Muslim, Imam Abu Daud, Imam Tirmizi, Imam Ahmad Hambali, Imam Nasa’I, Imam Ibnu Majah dan para ilmuwan lain. Sumbangan kita terhadap penyampaian ilmu masih terlalu jauh berbanding nama-nama besar itu. Oleh yang demikian carilah ilmu yang bermanfaat dan sebarkan dengan kebenaran kerana ilmu yang bermanfaat dan amal jariyah adalah di antara perkara yang memberatkan mizan kebaikan pada Hari Penentuan.[Adaptasi dari tulisan Ustazah Dr Siti Nurbaya Usman]
Allah memerintahkan hambanya supaya mencari ilmu dan berjihad di jalan-Nya menerusi LIMA BINAAN yang mengukuhkah agama. SOLAT adalah JIHAD AKIDAH yang mengEsakan Allah menerusi SYAHADAH. Solat umpama "bakul". Jika bakul bocor, semurng barang yang ada di dalamnya berciciran. Begitu juga solat. Kalau solat "bocor", ibadah-ibadah lain juga bakal keciciran. ZAKAT, SEDEKAH, WAQAF dan MENCARI NAFKAH untuk diri dan orang-orang di bawah tanggungan pula adalah JIHAD EKONOMI. Dengan cara yang demikian, umat Islam tidak menjadi golongan yang meminta-minta. PUASA merupakan JIHAD MELAWAN HAWA NAFSU. Dalam keadaan berpuasa akhlak tidak baik yang bersumber dari nafsu dapat dikurangkan, contoh pembaziran, menahan kemarahan dan nafsu syahwat berlebihan akibat pengambilan makanan yang berlebihan. MENUNAIKAN HAJI dan UMRAH adalah JIHAD PEMBERSIHAN DOSA. Jika dilakukan dengan mematuhi rukun dan syarat-syarat haji, Allah menjanjikan pembersihan dosa seumpama bayi yang baru lahir. Allah menilai usaha, bukan hasil. Usaha yang dilakukan dengan rasa tulus ikhlas, mempunyai nilai yang tinggi di sisi Allah.Oleh itu jadilah hamba yang memberi manfaat kepada diri dan juga orang lain menerusi harta, ilmu, waktu dan tenaga, tuturkata dan nasihat serta sikap dan akhlak.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment