Wednesday, September 30, 2015
Malaikat Rahmat Enggan Masuk Rumah
Malaikat Rahmat tidak akan masuk ke rumah pemutus silatulrahim, pemakan harta anak yatim secara haram, memelihara anjing, penyimpan gambar pencerca Sahabat Nabi, orang yang telah mati dan sebagainya, rumah yang berkumandang nyanyian memuja selain daripada Allah S.W.T., penghuninya sering meninggikan suara, pensyirik seperti tukang tilik, ahli sihir dan nujum, rumah yang menggunakan pinggan mangkuk emas, rumah perokok dan penagih dadah, pemberi dan penerima rasuah, rumah yang terdapat amalan maksiat serta budaya syaitan di dalamnya, pendosa besar, penderhaka ibu bapa, pemakan riba, peminum arak, rumah yang terdapat patung serta loceng, dan rumah dihuni mereka yang dilaknati Allah S.W.T., kerana mengubah kejadian Allah S.W.T. seperti wanita yang mencukur kening, memakai gelang atau rantai di kaki, rumah yang penghuninya berhadas besar tanpa mandi junub, dan rumah mereka yang membazir seperti berhias secara berlebihan.
Kebaikan Bukan Remeh
Jika terjatuh pada dosa kecil, janganlah dipandang kecilnya dosa itu, tetapi pandanglah kepada siapa dosa itu dilakukan. Seseorang hamba tidak akan tahu dosa mana satu yang telah mengundang kemurkaan-Nya.Jika tidak mampu menjadi pensel yang menulis untuk membahagiakan orang, maka jadikanlah diri sebagai getah pemadam yang menghapuskan kesedihan mereka. Letakkan semua dosa di hadapan mata agar dapat dilihat keburukan akhlak untuk diperbaiki. Cabaran dalam kehidupan bukan bertujuan menguji kekuatan diri, tetapi untuk melihat kesungguhan memohon pertolongan Allah.
Letakkan amal di belakang agar tiada kesempatan untuk menghitungnya dan dibangga-banggakan. Jangan pernah menganggap amalan itu cukup banyak sehingga terbit perasaan sombong dan berkuasa dengannya. Usah terlalu kagum dengan teknologi tanpa wayar zaman kini kerana hamba-hamba Allah yang tawaduk sejak dahulu sentiasa berhubung dengan-Nya tanpa wayar.
Dalam kitab "Miftah Daaris Sa'adah", Ibnul Qayyim al-Jauziyyah menulis: "Boleh jadi saat kamu tidur, pintu-pintu langit sedang diketuk oleh puluhan doa kebaikan untukmu dari seorang fakir yang telah kamu tolong, atau dari orang kelaparan yang telah kamu beri makan, atau dari seorang yang kesedihan yang telah kamu bahagiakan, atau dari seseorang yang berpapasan denganmu yang telah kamu berikan senyuman, atau dari seorang yang dihimpit kesulitan dan telah kamu lapangkan. Maka jangan sekali-kali kamu meremehkan sebuah kebaikan...
Diriwayatkan dalam Syi’bul Iman oleh al-Imam Baihaqi, juga di dalam Tafsir Imam al-Qurthubi, seekor katak tidak tahan melihat Nabi Ibrahim a.s.cuba dibakar oleh Raja Namrud dengan api sebesar bukit. Lalu ia terlompat-lompat ke tepi sungai, menaruhkan air di mulut dan menyemburkannya ke arah api tersebut. Sungguhpun perbuatan itu sia-sia namun Allah Maha Melihat jiwa besar seekor katak kecil yang tidak dapat dilihat oleh makhluk lain. Cintanya kepada Nabi Ibrahim dan niatnya hendak menyelamatkan Nabi Ibrahim (padahal Nabi Ibrahim sudah dilindungi oleh Allah), maka Allah mengharamkan katak daripada dibunuh hingga ke akhir zaman. Perintah ini membabitkan semua katak, walaupun yang melakukan kebaikan itu hanya seekor sahaja.
Tuesday, September 29, 2015
Suara Wanita Bukan Aurat
Syeikh Wahbah Zuhaili dalam Fiqh Al Islami wa Adillatuhu berkata, "Suara wanita menurut jumhur (majoriti ulama) bukanlah aurat kerana para sahabat Nabi mendengarkan suara para isteri Nabi s.a.w. untuk mempelajari hukum-hukum agama, tetapi diharamkan mendengarkan suara wanita yang disuarakan dengan melagukan dan mengeraskannya walaupun dalam membaca Al Quran dengan sebab khuatir timbul fitnah."
Menurut Syeikh Yusuf Qaradhawi, berinteraksi antara lawan jenis yang dilarang ialah berbicara yang dapat membangkitkan nafsu orang yang kotor hatinya.Banyak riwayat yang boleh dijadikan dalil bahwa suara wanita bukanlah aurat. Ummul Mukminin Aisyah RA sendiri sering ditanya oleh para sahabat tentang hadis-hadis yang ia terima dari Rasulullah SAW semasa hidupnya.Aisyah RA merupakan orang keempat terbanyak yang meriwayatkan hadis. Semua hadis darinya dia ceritakan kepada para sahabat nabi. Aisyah sudah menjadi guru bagi para pemburu hadis Rasulullah s.a.w.Rasulullah s.a.w. sendiri mempunyai majlis taklim khusus untuk kaum wanita.Para wanita belajar dari Rasulullah, bertanya dan berbincang terus dengan Beliau.
Dalam surah al-Ahzab ayat 32, Allah SWT berfirman, "Hai isteri-isteri Nabi, kamu sekalian tidaklah seperti wanita yang lain jika kamu bertaqwa. Maka janganlah kamu ‘tunduk’ dalam berbicara sehingga berkeinginanlah orang yang ada ‘penyakit dalam hatinya’ dan ucapkanlah perkataan yang baik." Ayat ini menegaskan, jika wanita ingin berkomunikasi dengan lawan jenisnya, hendaklah memperhatikan adab sopan santun yang baik. Jangan ia mendayu-dayukan suaranya sehingga membangkitkan syahwat laki-laki.Jadi, sebenarnya tidak salah bagi Muslimah untuk berbicara secara langsung dengan lawan jenis selagi tidak membawa unsur negatif. Apalagi, untuk tujuan menuntut ilmu yang memerlukan perbincangan dan bertukar pendapat sejauh komunikasi tersebut bermanfaat dan memperhatikan adab-adabnya.
Monday, September 28, 2015
Melihat Dengan Mata Hati
Firman Allah dalam Surah Ali Imran ayat 190 bermaksud: “Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi dan silih bergantinya malam dan siang terdapat tanda-tanda (kebesaran Allah) bagi ORANG YANG BERAKAL.” Gunakan akal kita untuk menghayati nikmat yang Allah kurniakan kepada manusia. Salah satunya ialah mata yang kita guna untuk melihat. Contoh, MATA ZAHIR melihat air dalam sebuah gelas, tetapi MATA HATI melihat H2O yang membentuk air dalam gelas iaitu satu komponen hidrogen serta dua komponen oksigen.
Kita melakukan ibadah puasa pada bulan Ramadan dengan matlamat tersendiri; “nak diet, nak jimat, nak jaga kesihatan” dan berbagai lagi. Semua jawapan itu tidak salah. Sekarang mari kita lihat bulan Ramadan dengan mata hati berdasarkan Surah Al Baqarah ayat 183 bermaksud: “Wahai orang yang BERIMAN, diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang sebelum kamu, agar kamu BERTAQWA.” Bererti Allah mahu kita mencapai kemuncak ibadah puasa iaitu menjadi orang yang BERIMAN.
Umat nabi-nabi sebelum umat Muhammad iaitu umat Musa, umat Isa, umat Nuh juga diperintahkan berpuasa. Umat Nabi Musa a.s. berpuasa mengikut bulan yang ditetapkan dalam kalendar Yahudi. Mereka berpuasa dari Maghrib ke maghrib. Satu tempoh yang agak panjang. Nabi Muhammad s.a.w. ialah nabi terakhir dari barisan nabi-nabi, boleh dikatakan sebagai nabi bongsu. Dalam keluarga, anak bongsu adalah anak paling ringan beratnya berbanding anak-anak lain yang terdahulu. Disebabkan nabi kita yang bongsu, ibadah puasa yang diperintahkan ke atas umatnya lebih ringan berbanding umat nabi-nabi terdahulu. Kita berpuasa dari subuh ke maghrib. Panjang atau pendek tempoh berpuasa bukan ukuran, bukan hendak bersaing dari segi ketahanan fizikal. Yang penting ialah kekuatan minda dan hati iaitu TAQWA, rasa takut dan mengharap hanya kepada Allah S.W.T. semata-mata. Taqwa tidak boleh dilihat secara fizikal. Ia dirasai di dalam hati. Pada bulan Ramadan kita sangat berhati-hati segala dengan tindak-tanduk sebab tidak mahu membatalkan puasa. Hati mengawal seluruh anggota tubuh - lidah, tangan, kaki, mata dari melakukan dosa. Pun begitu, adalah amat malang apabila ketaqwaan yang dilatih pada bulan Ramadan tidak dapat diteruskan hingga ke sepanjang tahun.
Kembali pada Surah Ali Imran ayat 190. “Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi dan silih bergantinya malam dan siang terdapat tanda-tanda (kebesaran Allah) bagi orang yang berakal.” Cuba perhatikan. Untuk menentukan bermulanya bulan Ramadan, kita makhluk di BUMI merujuk kepada terbitnya anak bulan, iaitu makhluk Allah yang ada di LANGIT. Begitu juga bila hendak menentukan tarikh hari raya bulan Syawal. Kita rujuk kepada makhluk langit itu.
Sebelum mula berpuasa kita disunatkan bersahur. Sahur tamat 10 minit sebelum terbit fajar waktu subuh. Sekali lagi manusia di bumi merujuk kepada makhluk di langit iaitu MATAHARI. Hendak berbuka puasa juga rujuk kepada terbenamnya matahari. Waktu berbuka puasa di Malaysia tidak sama dengan negara lain kerana masing-masing bergantung kepada waktu matahari terbenam di tempat sendiri. BILA MAKHLUK DI LANGIT TAAT DENGAN KETENTUAN ALLAH, MAKHLUK DI BUMI JUGA AKAN TURUT TAAT SAMA. Inilah perlambangan yang difirmankan Allah dalam Surah Al Dzariyat ayat 20-21: “Dan di bumi terdapat tanda-tanda (kebesaran Allah) bagi orang yang yakin. Dan juga pada (juga) dirimu sendiri. Maka apakah kamu tidak memerhatikan?”
Dalam keluarga ayah adalah matahari dan ibu pula bulan. Mereka berada di atas. Jika AYAH DAN IBU TAAT KEPADA ALLAH, ANAK-ANAK YANG DI BAWAH TURUT TAAT. Jika sebaliknya, anak-anak terdedah kepada maksiat dan dosa. Samalah juga keadaannya di tempat kerja. Kalau MAJIKAN BERMAKSIAT dengan tidak menjaga solat, aurat dan akhlak, PEKERJA JUGA MELAKUKAN DOSA.
Manusia berasal dari tanah. DILIHAT DENGAN MATA ZAHIR, TANAH ITU KOTOR. Jika melekat di lantai, kita bersihkan. Namun bila dilihat dengan MATA HATI, pakaian terkena najis berat, kita cuci dengan air TANAH YANG MENYUCIKAN, bukan sekadar membersih. Mungkinkah ini salah satu faktor mengapa Allah mencipta Adam a.s. daripada tanah supaya anak cucu Adam membawa falsafah tanah bagi menyucikan bumi? Najis apa yang manusia mesti sucikan? Najis itu namanya SYIRIK, DOSA dan MAKSIAT. Untuk menyucikan perlu ada ilmu. Macam mana hendak elakkan rasuah kalau kita tidak tahu rasuah itu berdosa? Dengan mata hati yang berilmu, kita tahu membezakan yang hak dan batil, yang halal dan haram.
Tanah perlu disucikan sebelum ia boleh menyucikan. Mana mungkin baju yang terkena najis berat kita cuci dengan air tanah yang bertahi anjing. Makin kotorlah baju itu. Manusia yang berasal dari tanah dan hendak menyucikan manusia lain yang juga berasal dari tanah, mesti menyucikan dirinya dahulu melalui PENYUCIAN JIWA dari dosa dan maksiat. Mematuhi perintah Allah adalah penyucian jiwa yang dituntut. Haiwan yang hendak disembelih menjadi tenang dan tidak meronta-ronta bila matanya ditutup dan dibacakan "Bismillah Allahuakbar". Inikan pula manusia yang tubuhnya terdiri daripada molekul air yang mampu berubah dengan ayat-ayat Allah S.W.T.
Rasulullah s.a.w bersabda, “Jadilah kamu di dunia ini umpama seorang pengembara atau perantau di jalan.” (HR Bukhari). Perantau asing yang bekerja di negara kita bersungguh-sungguh mencari rezeki kerana sedar kehadiran mereka adalah atas permit yang boleh ditamatkan bila-bila masa. Pendapatan mereka dihantar pulang ke kampung halaman bagi membantu keluarga. Pahala ibadah yang mereka lakukan di masjid-masjid kita, mereka kirim ke kampung akhirat kerana ingin membina istana indah di sana. Mereka melihat kehidupan ini dengan mata hati, bukan dengan mata zahir.
Rakyat tempatan bekerja keras mencari wang demi membina istana di dunia, meninggalkan tuntutan agama, mewah hidup di tempat sendiri sehingga terlupa permit yang Allah beri untuk hidup di muka bumi ini pun boleh ditarik bila-bila masa. Sepatutnya apa yang kita dapat di dunia janganlah dihabiskan untuk dunia semata-mata. Hantarkan sebahagian daripadanya ke tempat asal kita di akhirat sana. Moyang kita, Adam a.s. yang berasal dari syurga. Sebagai anak cucunya, tidakkah kita ingin kembali ke tempat asal kita di syurga sana? Oleh itu gunakanlah permit masa yang Allah beri untuk menyediakan pasport ke sana iaitu TAQWA, KEAMPUNAN dan RAHMAT. Inilah gambaran keseluruhan Islam.
Allah S.W.T. melakukan sesuatu mengikut kemahuan-Nya. Gunakan mata hati untuk melihat kesemuanya. Bumi ciptaan Allah ini planet terindah dan terbaik buat manusia di mana yang baik dan jahat, sempurna dan cacat sama-sama menghuni tanpa diasingkan, supaya masing-masing mempelajari dan mendapatkan REDHA-NYA. Allah menjadikan hari ketujuh, JUMAAT sebagai hari kebesaran penuh kebaikan. RAMADAN pula teristimewa dari kesemua 12 bulan.
Allah S.W.T. menciptakan manusia sebagai khalifah di bumi sebagai jawapan kepada soalan para malaikat. Allah S.W.T. mahu menguji siapa di kalangan kita yang yang terbaik amalannya. Malaikat makhluk suci yang patuh menuruti perintah setakat yang Allah ajarkan. Berbeza dengan Adam a.s. dan keturunannya yang terus menerus mengembangkan ilmu asas yang Allah ajarkan. Perkembangan ilmu ini berlangsung sejak zaman Adam a.s. hinggalah ke zaman Nabi Muhammad s.a.w. Kita paling beruntung kerana memperolehi kitab ilmu teragung, AL QURAN. Isinya dihayati dan diamalkan. Kita belajar bukan sahaja ilmu Al Quran, tetapi juga semua ilmu yang lain kerana wahyu pertama yang diterima oleh Rasulullah s.a.w. bermula dengan perkataan IQRA' bererti BACALAH. Kekuatan sesuatu umat ialah pada tabiat membaca. Dalam menuntut ilmu dan mempraktikkannya, ikutlah resmi padi, makin berisi makin tunduk. Makin berisi ilmu di dada, makin tunduk kepada Allah S.W.T. dengan penuh keimanan. Wallahualam [Ceramah Ustaz Nushi Mahfuz dalam siaran AL KULIAH TV3 pada 18 September 2015]
Tuesday, September 22, 2015
Ubat Mujarab
Imam Ibn Qayyim alJauziyyah bercerita: "Suatu ketika saat aku bermukim di Makkah waktu menunaikan ibadah Haji aku mengalami sakit yang amat sangat di kakiku sehingga hampir membuat segala pergerakanku terhenti. Hal itu sering berlaku sewaktu aku sedang tawaf dan sewaktu berjalan kaki ketika menunaikan ibadah yang lain.Lalu aku berikhtiar dengan membaca surah al-Fatihah dan kutiup ke tangan lalu kusapukan ke tempat yg sakit. Dengan izin Allah ku rasakan sakit tersebut hilang seolah-olah seperti seketul batu yang jatuh.Ku cuba lagi dalam beberapa kali kaedah ini dan antara lainnya dengan mengambil air zam-zam dan kubacakan padanya Al-Fatihah dan diminum.Aku mendapati rawatan ini lebih banyak manfaat dan kesan dari rawatan dan ikhtiar lain sebelumnya..."[Ustaz Dr Abu Anas Madani]
Monday, September 21, 2015
Maksiat Tersembunyi
Sabda Rasulullah Sollallahu 'Alaihi Wa Sallam :"Aku sangat mengenali beberapa golongan manusia dari kalangan umatku yang datang pada Hari Kiamat dengan kebaikan yang banyak seumpama Bukit Tihamah Baidha'. Namun, Allah menjadikan amalan tersebut seperti debu-debu yang berterbangan (sia-sia)." Lalu Thauban Radhiayallahu 'Anhu berkata :Wahai Rasulallah, beritahulah kepada kami ciri-ciri golongan tersebut? Terangkanlah kepada kami supaya kami tidak menjadi seperti mereka. Sesungguhnya kami tidak mengetahuinya.
Baginda Sollallahu 'Alaihi Wa Sallam pun bersabda :"Sesungguhnya mereka adalah dari kalangan saudara-saudara kalian, dari golongan yang sama kulit dengan kalian dan mereka melakukan pada waktu malam sepertimana yang kalian lakukan.Namun demikian, apabila mereka bersunyian-sunyian dengan perkara-perkara yang dilarang oleh Allah, mereka sanggup melanggarnya." - Hadith Sahih riwayat al-Imam Ibnu Majah rahimahullah.
"Mata boleh berzina dengan melihat, lidah boleh berzina dengan bercakap, tangan boleh berzina dengan berpegangan, kaki boleh berzina dengan berjalan ke arah tempat maksiat, hati pula boleh berzina dengan merindui, mengingati dan membayangi si dia." - HR Bukhari dan Muslim
Khasiat Teh Halba
Halba mempunyai banyak khasiat. Di antaranya ialah melancarkan perjalanan darah dan merawat masalah senggugut pra-haid, menguatkan fungsi rahim, merangsang dan menyuburkan rahim, merembes insulin dan mengurangkan kadar glukosa darah sekali gus merawat penyakit kencing manis, mengurangkan pengumpulan lemak baru dalam badan dan mengurangkan berat badan, menguatkan fungsi jantung., merawat masalah sembelit dan buasir, melegakan masalah sakit kepala (migraine), membantu mengatasi masalah kekurangan darah, mengurangkan ketagihan rokok dan dadah, membantu kecerdasan, kekuatan dan menggalakkan tumbesaran anak-anak yang meningkat usia baligh, mengaktifkan kelenjar susu, meningkatkan saiz payudara secara semulajadi, memanaskan buah pinggang dan organ pembiakan, memulih dan menambah tenaga seksual lelaki dan wanita, memelihara keseimbangan kadar hormon dalam badan, memelihara keanjalan kulit.
Untuk menyediakan teh halba: masukkan 2 gelas air ke dalam periuk.Masukkan pula 1 sudu besar biji halba ke dalamnya.Rebus hingga mendidih, kemudian terus tutup api d tutup periuk supaya wap herba tidak keluar.Setelah suam, tapis dan tuang ke dalam cawan. Masukkan 2 sudu besar cuka epal / cuka kurma / cuka anggur / cuka delima. Hendak masukkan gula merah atau madu pun boleh... tidak masukkan apa-apa lebih baik. Kacau dan minum 3 kali sehari, sebelum sarapan, makan tengah hari dan makan malam.Jika anda rajin bersenam selepas minum secawan teh halba selama 30 minit setiap hari sehingga 3 bulan, berat badan akan cepat menurun!!!
Sunday, September 20, 2015
Manfaatkan Hari Arafah
Ketika tiba hari Arafah pada 9 Zulhijjah, Rasulullah S.A.W. bersungguh-sungguh berdoa kepada Allah SWT. Sayidina Usamah bin Zaid meriwayatkan, ketika beliau menunggang bersama Rasulullah S.A.W. pada hari Arafah, beliau melihat Baginda S.A.W. mengangkat kedua-dua belah tangannya memohon doa kepada Allah S.W.T. hinggakan apabila unta Baginda duduk dan terjatuh tali unta, Baginda terus mencapainya dengan sebelah tangan, manakala tangan sebelah lagi masih tetap diangkat (berdoa). Diriwayatkan juga, Rasulullah S.A.W. tidak meninggalkan Padang Arafah sehinggalah terbenam matahari.
Bagi yang tidak berpeluang berada di Arafah patut gunakan peluang hari penuh barakah ini untuk berpuasa sunat, memperbanyakkan ibadah dan memohon keampunan dari Allah S.W.T. Sesungguhnya 10 hari pertama bulan Zulhijjah adalah hari-hari ibadah yang utama, terutama hari Arafah, Hari Raya Aidiladha sehinggalah hari-hari Tasyrik.
"SAUDARAKU JEMAAH HAJI! SELFI KAMU KETIKA SEDANG BERIBADAT (haji; tawaf, saie, melontar. Solat, berdoa, baca quran dll) AKAN MENGURANGKAN KESEMPURNAAN SIFAT IKHLAS".
Firman Allah s.w.t berfirman:
وَمَا أُمِرُوا إِلَّا لِيَعْبُدُوا اللَّهَ مُخْلِصِينَ لَهُ الدِّينَ حُنَفَاءَ وَيُقِيمُوا الصَّلَاةَ وَيُؤْتُوا الزَّكَاةَ ۚ وَذَٰلِكَ دِينُ الْقَيِّمَة
ِ
MAksudnya: "Pada hal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan ibadat kepada-Nya lagi tetap teguh di atas tauhid; dan supaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat. Dan yang demikian itulah Agama yang benar". [Al-Bayyinah: 05]
Hati Basi vs Hati Bunga
Si Kaya memberi bakul berisi makanan basi kepada Si Fakir. Si Fakir tersenyum dan meninggalkan rumah mewah itu dengan sebakul makanan basi. Sesampai di tempatnya, bakul itu dikosongkan, dibersihkan dan diisi dengan bunga yang cantik. Dia kembali ke rumah mewah dan menyerahkan bakul bunganya kepada Si Kaya yang nyata kehairanan, "Aku beri kamu bakul makanan basi tapi kamu kembalikannya dengan bunga?" Jawab Si Fakir, "Setiap orang memberikan apa yang ada di dalam hatinya"!!!
Bila hati disibukkan dunia, hidup bagaikan di tanah gersang, tidak mampu menghidupkan apa-apa benih, tidak juga ketaqwaan. Tanaman taqwa tidak tumbuh segar kecuali disemaikan benih iman.
Friday, September 18, 2015
Tersembunyi 6 Perkara
Allah SWT selesai menciptakan Jibrail a.s. dengan bentuk yang cantik, dan Allah menciptakan pula baginya 600 sayap yang panjang , sayap itu antara timur dan barat (ada pendapat lain menyatakan 124, 000 sayap). Setelah itu Jibrail a.s. memandang dirinya sendiri dan berkata:'Wahai Tuhanku, adakah Engkau menciptakan makhluk yang lebih baik daripada aku?' Lalu Allah S.W.T. berfirman yang bermaksud.. 'Tidak'Kemudian Jibrail a.s. berdiri serta solat dua rakaat kerana syukur kepada Allah S.W.T. dan tiap-tiap rakaat itu lamanya 20,000 tahun.
Setelah selesai Jibrail a.s. solat, maka Allah S.W.T. berfirman yang bermaksud. 'Wahai Jibrail, kamu telah menyembah Aku dengan ibadah yang bersungguh-sungguh, dan tidak ada seorang pun yang menyembah kepada-Ku seperti ibadat kamu, akan tetapi di akhir zaman nanti akan datang seorang nabi yang mulia yang paling Aku cintai. Namanya Muhammad. Dia mempunyai umat yang lemah dan sentiasa berdosa, sekiranya mereka itu mengerjakan solat dua rakaat yang hanya sebentar sahaja, dan mereka dalam keadaan lupa serta serba kurang, fikiran mereka melayang bermacam-macam dan dosa mereka pun besar juga. Maka demi kemuliaann-Ku dan ketinggian-Ku, sesungguhnya solat mereka itu Aku lebih sukai dari solatmu itu. Kerana mereka mengerjakan solat atas perintah-Ku, sedangkan kamu mengerjakan solat bukan atas perintah-Ku.'
Kemudian Jibrail a.s. berkata: 'Ya Tuhanku, apakah yang Engkau hadiahkan kepada mereka sebagai imbalan ibadat mereka?'Lalu Allah berfirman yang bermaksud. 'Ya Jibrail, akan Aku berikan mereka Syurga Ma'waa sebagai tempat tinggal.' Kemudian Jibrail a.s. meminta izin kepada Allah untuk melihat Syurga Ma'waa.Setelah Jibrail a.s. mendapat izin dari Allah .S.W.T maka pergilah Jibrail a.s. dengan mengembangkan sayapnya dan terbang. Setiap dia mengembangkan dua sayapnya dia boleh menempuh jarak perjalanan 3,000 tahun, terbanglah malaikat Jibrail a.s. selama 300 tahun sehingga dia merasa letih dan lemah dan akhirnya dia turun singgah berteduh di bawah bayangan sebuah pohon dan dia sujud kepada Allah SWT lalu ia berkata dalam sujud:
'Ya Tuhanku apakah sudah aku menempuh jarak perjalanan setengahnya, atau sepertiganya, atau seperempatnya?' Kemudian Allah S.W.T. berfirman yang bermaksud. 'Wahai Jibrail, kalau kamu dapat terbang selama 3000 tahun dan meskipun Aku memberikan kekuatan kepadamu seperti kekuatan yang engkau miliki, lalu kamu terbang seperti yang telah kamu lakukan, nescaya kamu tidak akan sampai kepada sepersepuluh dari beberapa perpuluhan yang telah Kuberikan kepada umat Muhammad terhadap imbalan solat dua rakaat yang mereka kerjakan.'
Sesungguhnya Allah S.W.T telah menyembunyikan enam perkara iaitu * Allah S.W.T telah menyembunyikan redha-Nya dalam taat. * Allah S.W.T telah menyembunyikan murka-Nya di dalam maksiat. * Allah S.W.T telah menyembunyikan nama-Nya yang Maha Agung di dalam Al-Quran. * Allah S.W.T telah menyembunyikan Lailatul Qadar di dalam bulan Ramadhan. * Allah S.W.T telah menyembunyikan solat yang paling utama di dalam solat (yang lima waktu). * Allah S.W.T telah menyembunyikan (tarikh terjadinya) hari kiamat di dalam semua hari.....Saudara yang dikasihi, marilah kita beribadat penuh ikhlas dan bersungguh-sungguh semata-mata kerana Zat Maha Agung yang mencipta kita.
Mawar Mekar Di Kasut Kiri
Sangat terkesan dengan foto ini. Dia kehilangan kakinya dalam serangan Israel ke atas Gaza tahun lalu. Kakinya kudung kerana dia berjuang mempertahankan agama dan tanah airnya. Dia bersyukur kepada Allah kerana memberinya peluang untuk terus berjihad lagi dalam hidup ini. Kasut yang pernah dipakai di kaki kirinya dahulu kini menjadi tempat dia menyuburkan suatu makhluk ciptaan Allah, pohon mawar merah....lambang kasih sayang insan. Allahuakbar!!!
Presiden Mesir Fattah As-Sisi, penyokong kuat Israel, mengarahkan parit-parit besar digali di Rafah dan mengalirkan berjuta-juta liter air laut ke dalamnya bagi menenggelamkan terowong-terowong yang menjadi nadi kehidupan penghuni Gaza. Perang 51 hari tahun lalu meranapkan ribuan rumah, menghancurkan tanaman, menyebabkan penduduk hidup bagaikan gelandangan. Tindakan terbaru ini menjadikan kehidupan mereka semakin perit.
As-Sisi membuat kenyataan bahawa Masjid al-Aqsa sekarang berada di bawah kuasa Israel dan Tel Aviv sedang melaksanakan "tanggungjawab"nya terhadap Al-Aqsa. Raja Salman, pemerintah Saudi mengecam tindakan tentera Israel yang mengganggu penduduk Palestin yang sedang beribadah di Masjid Al Aqsa. Doakan untuk keselamatan mereka dan kesucian al-Aqsa daripada tangan jahat regim Zionis dan sekutunya Fattah As-Sisi. Hasbunallah wa nikmal wakil!!!
Kehebatan Petang Hari Jumaat
Thowuus bin Kaisan rahimahullah apabila selesai mendirikan Solat Asar pada hari Jumaat, beliau akan mengadap kiblat dan tidak akan bercakap dengan sesiapa pun sehinggalah tenggelam matahari. Al-Mufaddhal bin Fadholah rahimahullah pula setelah Solat Asar pada hari Jumaat, beliau akan menyendiri di suatu sudut masjid lalu berterusan berdoa sehingga tenggelam matahari. Sa'id bin Jubair rahimahullah setelah menunaikan Solat Asar pada hari Jumaat, beliau tidak bercakap dengan sesiapa pun sehinggalah matahari terbenam kerana mahu menjaga waktu yang sangat mulia ini daripada disia-siakan.Mereka sangat mengambil berat waktu tersebut kerana tidak mahu terhalang daripada ditaufiqkan oleh Allah untuk mendapat waktu yang mustajab ini.
Sabda Rasulullah Sollallahu 'Alaihi Wa Sallam:" Pada hari Jumaat terdapat dua belas waktu. Tidak ada seseorang hamba muslim yang memohon sesuatu daripada Allah, melainkan Allah akan mengurniakan kepadanya permohonannya itu. Justeru, berusahalah bersungguh-sungguh untuk mendapatkannya pada PENGHUJUNG WAKTU SELEPAS SOLAT ASAR. (Hadith Sahih riwayat Abu Daud dan An-Nasa'ie.)....."Ya Allah, taufiqkanlah kami untuk memanfaatkan waktu yang mustajab doa ini." [Ustaz Abu Anas Madani]
Thursday, September 17, 2015
Pokok Dan Petir
Subhanallah, inilah sebabnya kita dilarang berteduh di bawah pokok ketika hujan lebat yang disertai ribut petir. Menurut kajian sains, petir mempunyai suhu yang mampu menjangkau sehingga 54,000 darjah Celcius, bersamaan 100 juta volt. Sekali terkena renjatannya, hangus teruk seluruh tubuh. [Foto Khairul Azli]
Bangsa Terhina Ke Bangsa Termulia
Kata al-Imam Qatadah al-Sadusi (meninggal 118H) 1,300 tahun dahulu kepada orang Arab:“Dahulu bangsa Arab adalah manusia paling hina, paling buruk kehidupan, paling sesat, paling kurang pakaian dan paling lapar. Dicengkam antara dua singa; Parsi dan Rum.Demi Allah! Tiada di tanah Arab apa yang membolehkan orang lain iri hati kepada mereka. Sesiapa yang hidup di kalangan mereka, hidup dalam keburukan dan yang mati pula, binasa dan dibuang ke dalam api. Mereka dimakan, mereka tidak memakan.
Demi Allah! Kita tidak tahu adanya bangsa di bumi ini pada masa itu yang paling rendah dan lekeh daripada mereka. Sehinggalah Allah membawa Islam kepada kamu (wahai orang Arab!). Allah bekalkan kepada kamu al-Quran, Dia membuka kepada kamu bumi jihad, Dia meluaskan untuk kamu rezeki, Dia jadikan kamu memerintah manusia. Dengan Islamlah Allah berikan kepada kamu apa yang sedang kamu lihat. Bersyukurlah terhadap nikmat-nikmatNya kerana Tuhan kamu pemberi nikmat yang sukakan mereka yang bersyukur. Mereka yang bersyukur pula sentiasa mendapat tambahan”. (Al-Tabari, Tafsir al-Tabari –tahziban- 2/349, Damsyik: Dar al-Qalam.)
Wednesday, September 16, 2015
Lupakan Jubah Ingat Amanah
Negara Islam hari ini bukan kekurangan serban dan jubah. Bukan kekurangan mereka yang bercakap agama dan berlagak ‘beragama’. Bukan kekurangan mereka yang berzikir kuat di khalayak ramai dengan pelbagai lagu dan dendangan. Bukan kekurangan penceramah dengan pelbagai gaya lawak jenaka dan seloka sehingga ceramah agama menjadi ‘new entertainment’ dalam mencari pasaran pendengar dan ‘pembayar’.Bukan kekurangan orang politik yang menempelkan diri dengan agama, sama ada menjadi penaja kepada program agama yang membolehkan mereka mendapat political mileage, ataupun mereka sendiri melafazkan kalimah berunsur agama bagi membolehkan rakyat lebih mempercayai. Bukan juga kekurangan program agama yang dirasmikan orang politik yang ‘tidaklah beragama sangat’. Walaupun memang ada yang ikhlas melibatkan diri dalam semua itu.
Yang kurang ialah penghayatan sebenar kepada hakikat agama Islam yang diturunkan Allah untuk manusia. Agama sering dipamerkan dalam bentuk upacara yang direka dan diadakan oleh pihak yang mempunyai agenda tersendiri seperti upacara berteriak tangis zikir di khalayak ramai bagi memukau orang ramai agar terpengaruh kepada tokoh-tokoh dan mempercayai mereka sebagai ‘orang-orang Tuhan’. Orang politik juga boleh menumpang sekaki supaya mereka dilihat sebagai manusia yang mendapat ‘restu’ dari orang-orang Tuhan. Kita sibuk dengan upacara agama yang sebahagiannya tidak pernah diamalkan oleh Nabi s.a.w dan para sahabat, namun intipati ajaran Islam iaitu amanah dalam pentadbiran dan pengurusan harta awam ataupun kepimpinan negara dilupakan.
Setiap negara Islam ada mufti dan pelbagai jawatan agama yang lain, ada pelbagai upacara agama, ataupun ‘agama yang diupacarakan’, malangnya dalam masa yang sama indeks rasuah, pengalahgunaan kuasa, salah tadbir urus cukup tinggi. Rakyat diperdayakan oleh mereka yang berselindung di sebalik jubah tokoh agama. Telinga rakyat disumbat dengan dengungan doa yang memuja dan memuji penguasa sama ada menteri, presiden, raja ataupun sultan walaupun mereka itulah mencemari segala amanah yang Allah tanggungkan keatas bahu mereka.
Sesetengah rakyat di negeri ‘entah berentah’ memuji sultannya bagaikan wali Tuhan kerana isteri sultan itu bertudung. Dalam masa yang sama mereka lupa sang sultan itu sedang membina istana berharga berbilion dari wang rakyat jelata. Kehebatan seorang sultan, raja, presiden, perdana menteri dan seumpamanya bukan kerana berjubah ataupun berserban, isteri bertudung, pergi ke masjid dan segala amalan peribadi yang lain. Itu adalah tanggungjawab setiap muslim tanpa mengira siapa pun dia, rakyat ataupun raja. Kehebatan penguasa ialah apabila dia amanah terhadap jawatan dan harta negara yang berada di bawah kawalannya. Perkara itu tidak dapat dibuat oleh rakyat, hanya mampu dibuat oleh penguasa kerana dia memegang tampuk kuasa.
Jika mereka tidak amanah, sekalipun memakai pelbagai gelaran agama, ataupun dipagari oleh jubah-jubah agama, mereka tetap pengkhianat. Dalam hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim, seorang yang menyertai misi jihad bersama Rasulullah s.a.w telah dibunuh. Orang ramai mengucapkan tahniah kerana beliau telah mati syahid. Namun Nabi s.a.w menyebut: “Tidak! Sesungguhnya selendang dari harta rampasan perang yang dia ambil pada hari Peperangan Khaibar tanpa pembahagian (yang betul) sedang menyalakan api neraka ke atasnya”.
Betapa, seorang mati semasa berjuang bersama Nabi s.a.w tetap Allah hukum kerana telah mengambil harta awam dengan cara yang salah. Itu sehelai selendang, bagaimana pula jutaan, bahkan ratusan juta harta awam? Sebahagian Negara Barat, walaupun mereka tiada paderi negara yang bertaraf jusa, tiada upacara doa mingguan memuja penguasa tetapi apabila mereka amanah, maka negara mereka lebih teratur dan baik urus tadbirnya dibandingkan negara-negara umat Islam. Ini kerana di Barat, sama ada secara ‘terpaksa’ ataupun terbudaya dalam sistem yang mereka bina dan pakai, mereka memegang prinsip pentadbiran yang terpenting iaitu amanah.
Sebelum datang ayat yang memerintah taat kepada penguasa, Al Quran terlebih dahulu mendatangkan ayat yang memerintahkan amanah diberikan kepada yang layak dan penguasa yang diberikan amanah itu hendaklah memerintah dengan adil. Allah terlebih dahulu berfirman:(maksudnya) "Sesungguhnya Allah menyuruh kamu memberikan amanah kepada yang berhak menerimanya dan apabila kamu berhukum dalam kalangan manusia maka hendaklah kamu berhukum dengan adil. Sesungguhnya Allah memberikan pengajaran yang sebaik-baiknya kepadamu. Sesungguhnya Allah adalah Maha mendengar lagi Maha melihat". (Surah al-Nisa: 58). Selepas itu barulah diikuti dengan firman: (maksudnya) " Wahai mereka yang beriman! Taatilah Allah dan taatilah Rasul dan uli al-Amr (pemimpin) dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berselisih pendapat maka kembalilah kepada Allah (al-Quran) dan Rasul (Sunnah), jika kamu benar beriman dengan Allah dan hari akhirat. Yang demikian itu yang paling utama dan paling baik akibatnya" (Surah al-Nisa' 59).
Al-Imam al-Qurtubi menyebut riwayat daripada khalifah Ali bin Abi Talib r.a bahawa beliau menyebut: "Tanggungjawab imam (pemerintah) adalah memerintah dengan adil dan menunaikan amanah. Apabila dia menjalankan tanggungjawab sedemikian maka wajib ke atas muslimin mentaatinya. Ini kerana Allah menyuruh agar ditunaikan amanah dan melaksanakan keadilan kemudian diperintahkan agar rakyat mentaatinya (pemerintah)" (Al-Qurtubi, al-Jami' li Ahkam al-Quran, 5/259, Beirut: Dar al-Fikr).Amanah adalah isu utama kegagalan urus tadbir yang baik dalam dunia umat Islam hari ini, di samping soal ‘al-quwwah’ ataupun keupayaan sebagai pentadbir yang baik. Kebanyakan Negara Islam bukannya miskin. Banyak hasilnya, tetapi diuruskan oleh yang tidak amanah dan tidak berkemampuan, maka lemah dan rosaklah negara.
Seringkali mimbar Jumaat dan ceramah agama menyebut nama ‘Umar bin al-Khattab, khalifah kedua yang sangat hebat dan menjadi rujukan dalam Islam. Pada tahun 17 dan 18 Hijrah telah berlaku kemarau teruk di Madinah. Rakyat menjadi susah. Ibn Jarir al-Tabari meriwayatkan bahawa ‘Umar bin al-Khattab tidak makan lemak haiwan, susu dan daging pada tahun berkenaan sehingga orang ramai dapat memakannya. Barangan makanan berkurangan di pasar. Suatu hari pekerjanya dapat membelikan untuknya lemak dan susu namun pada harga yang agak tinggi. ‘Umar enggan makan bahkan berkata: “Engkau telah menyebabkan lemak dan susu menjadi mahal, sedekahkan kedua-duanya, aku benci pembaziran. Bagaimana aku dapat memahami keadaan rakyat jika tidak mengenai aku apa yang mengenai mereka?”. (Al-Tabari, 2/358, Beirut: Dar al-Fikr).‘Umar tidak berkata: ‘kenaikan harga barang adalah takdir Allah, bersyukur dan berterima kasih kepada penguasa’. Beliau juga tidak membuat fatwa dungu yang menyatakan ‘subsidi tiada dalam Islam’. Sebaliknya beliau dengan penuh amanah dan tanggungjawab di hadapan Allah menghadapi keadaan tersebut.
Asas kefahaman kita tentang agama perlu diperbetulkan. Bukti kesan ajaran Islam bukan pada fesyen pakaian, ataupun hiasan doa upacara yang mana gaji pembacanya dibayar, atau dendangan lagu agama atas pentas yang dihadiri oleh mereka berpangkat dan jawatan. Kesan ajaran Islam terhasil dari akidah yang bersih, ibadah yang sahih dan nilai etika yang luhur yang diamalkan oleh para penguasa dan diikuti oleh rakyat jelata. Dunia Islam memerlukan manusia politik yang amanah untuk memerintah, bukan sekadar berjubah atau berdamping dengan mereka yang berjubah tetapi tidak amanah terhadap harta negara dan rakyat. [Adaptasi dari tulisan Dr MAZA]
Umat Islam seluruh dunia berpecah belah... baik zahir mahupun batin... dihina dan diratah...kerana telah menggantikan pengabdian kepada ALLAH dengan PANGKAT dan HARTA. Itulah hakikatnya.
Subscribe to:
Posts (Atom)