Saturday, July 26, 2014
Puasa Enam Di Bulan Syawal
Walaupun ada ulama yang menyebut tentang keafdhalan sunat puasa enam hari pada Bulan Syawal, ia bukan terhad setakat enam hari berturut-turut selepas hari raya, sebaliknya enam hari pada Bulan Syawal sama ada berturut-turut atau berselang-seli dalam bulan tersebut dianggap sebagai memenuhi maksud hadis.
Apatah lagi di sana ada hadis Abu Sa’id al-Khudri katanya:
“Aku telah menyediakan makanan untuk Rasulullah s.a.w. Maka baginda dan sahabat-sahabatnya pun datang ke tempatku. Apabila makanan dihidangkan, seorang lelaki dalam kalangan mereka berkata: “Aku berpuasa”. Rasulullah s.a.w pun bersabda: “Saudara kamu telah menjemput kamu, dan bersusah payah untuk kamu”. Kemudian baginda berkata kepada lelaki itu: “Bukalah puasa, dan berpuasalah satu hari lain sebagai ganti – jika mahu” (Riwayat al-Baihaqi dalam al-Sunan al-Kubra, dinilai hasan oleh al-Hafiz Ibn Hajar dalam Fath al-Bari).
Dalam riwayat lain oleh al-Tabarani dalam al-Ausad baginda mengkritik lelaki tersebut dengan bersabda: “Saudara kamu telah menjemput kamu, dan bersusah payah untuk kamu kemudian kamu berkata ‘aku berpuasa!!”.
Ini menggambarkan betapa menjaga hubungan baik itu patut diutamakan sementara puasa sunat pula boleh diganti pada hari yang lain. Puasa enam Syawal pun demikian. Maka untuk menjaga hubungan kaum keluarga, maka elok ditangguhkan puasa tersebut jika hari-hari pada Bulan Syawal masih banyak.
Pada zaman ini, cuti yang terhad, waktu pertemuan sesama keluarga juga terbatas oleh kesibukan dan urusan yang berbagai, maka amalkanlah galakan Nabi s.a.w ini ‘berbuka dan ganti pada hari yang lain jika mahu’. Dengan itu hubungan keluarga dapat dikuatkan atau dijaga, puasa enam juga dapat dilaksanakan.
Jika kita luaskan apa yang Islam luaskan, dan elakkan menokok tambah apa yang Islam tidak izinkan, maka kita akan melihat Islam itu begitu indah dan mudah.[Dr. MAZA]
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment