Friday, July 11, 2014
Mesra Kanak-Kanak
Islam memberikan persekitaran yang mesra dan selesa kepada perkembangan seseorang anak. Islam tidak pernah melayan kanak-kanak dengan layanan yang hina seperti yang dilakukan oleh sebahagian ahli masjid. Islam tidak pernah menjadikan anak kecil penghalang antara seorang dengan Allah. Kata Abu Qatadah al-Ansari:
“Rasulullah s.a.w pernah solat sambil mendukung Umamah binti Zainab binti Rasulillah, anak kepada (suaminya) Abi al-‘As bin Rabi’ah bin ‘Abd Shams. Apabila baginda mahu sujud baginda meletakkannya. Apabila bangun baginda mendukungnya kembali” (Riwayat al-Bukhari).
Inilah kemesraan agama dengan kehidupan kanak-kanak. Kemesraan seperti ini tidak kelihatan dalam kejumudan fikiran sesetengah orang sekarang yang enggan melihat agamanya dari jendela sunnah Nabi s.a.w tetapi lebih selesa dengan ikutan golongan yang keras dan menghukum agama menurut perasaan mereka yang hambar. Dalam hadis sahih riwayat Abu Ya’la, Ibn Abi Syaibah, Ahmad dan al-Nasai, Rasulullah s.a.w pernah sujud begitu panjang dalam satu solat disebabkan cucu baginda al-Hasan atau al-Husain - rawi hadis tidak pasti- menaiki tengkuk baginda ketika sedang sujud. Sahabat kehairanan dan bertanya sebabnya. Baginda menjawab:“Sesungguhnya anakku (cucuku) telah menjadikan aku tunggangannya. Aku tidak suka mengganggunya sehingga dia tunai hajatnya”.
Sebab sejak dari kecil lagi telah dibiasakan, maka timbullah suasana mesra di antara generasi muda dan generasi tua dan mereka merasakan tiada dinding yang menghalang mereka dan agama ini. Sabda Nabi s.a.w: “Aku mendirikan solat (sebagai imam) dan aku berhasrat ingin memanjangkannya. Tiba-tiba aku mendengar tangisan bayi, maka aku mensegerakan solatku kerana aku tidak suka membebankan ibunya” (Riwayat al-Bukhari).
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment