Wednesday, May 30, 2018

Masalah Jantung Tun Dr Mahathir Mohamad


MASALAH JANTUNG KEDUA . DICERITAKAN OLEH YAB AYAHANDA TUN DR MAHATHIR MOHAMAD SENDIRI DALAM DOKTOR UMUM :

Saya tidak memperlahankan rentak hidup sejak bersara daripada jawatan Perdana Menteri pada 2003. Selain memberi ucapan dan ceramah di merata dunia serta menubuhkan pejabat di Yayasan Kepemimpinan Perdana di Putrajaya, saya juga kembali menunggang kuda. Saya melawat Argentina di Amerika Selatan setiap tahun dan menunggang kuda di Banjaran Andes, ada kalanya sampai lapan jam tanpa henti. Bagaimanapun, menjelang akhir 2006, iaitu selepas lawatan yang memenatkan ke Arab Saudi, Jepun dan New Zealand serta menghadiri banyak acara di Kuala Lumpur, saya mengalami serangan jantung yang ringan pada petang hari rumah terbuka Aidilfitri anak-anak saya.
 
Saya berada di rumah pada 6 November apabila berasa sesak dada seperti yang dialami dulu. Hasmah menelefon Datuk Dr Nasir Muda, seorang ahli kardiologi yang merupakan doktor peribadi saya dan pada awal pagi itu, saya dibawa ke IJN. Doktor terus memasukkan titisan ubat ke dalam sistem darah saya. Kemudian, selepas membuat ujian ECG doktor mengesahkan saya mengalami serangan jantung yang sederhana. Saya sembuh agak cepat dan pada hari keempat saya sudah boleh duduk di atas katil serta bersedia untuk memulakan kerja. Setiap kali saya meminta alat tulis saya, Hasmah akan menganggapnya sebagai satu petanda yang baik. Walaupun saya pulih dengan agak cepat, jelas sekali yang saya perlu menimbang kemungkinan menjalani pembedahan jantung kali kedua. Dalam kebanyakan kes, pesakit akan kekal sihat selama 10 tahun selepas pembedahan pintasan jantung, tetapi saya telah menjalaninya 18 tahun lalu. Doktor saya memberitahu yang saya perlu memutuskan secepat mungkin sama ada mahu menjalani pembedahan kedua atau tidak sebelum keadaan menjadi lebih buruk dan berbahaya untuk membuat pembedahan. Saya terpaksa memikirkan dengan mendalam keputusan saya berhubung hal itu memandangkan umur saya sudah pun melebihi 80 tahun. Pada usia itu, proses penyembuhan selepas pembedahan mungkin lebih sukar.
 
Sambil menimbang keputusan sama ada mahu menjalani pembedahan atau tidak, saya mula melakukan satu siri senaman yang bertujuan untuk melancarkan pusingan darah. Saya juga menggunakan treadmill dan berkayuh basikal, ada kalanya sampai 10km sehari. Hasmah berpendapat bahawa saya agak keterlaluan melakukannya. Bahkan, saya juga mengetahui kemudiannya yang beliau meminta pelatih kuda saya agar mengajar haiwan itu supaya tidak berlari terlalu laju.
 
Walaupun saya bersungguh-sungguh bersenam, menjelang Mei 2007 saya berasa kaki amat berat dan saya tercungap-cungap apabila menaiki tangga. Pada bulan itu juga kami menganjurkan perjumpaan penuntut kelas 1947 Kolej Perubatan di Bukit Merah, Perak. Kami menghabiskan beberapa hari bersembang sehingga lewat malam. Selesai perjumpaan itu, saya dan Hasmah terbang ke Langkawi untuk bercuti pendek.
 
Ketika di pulau itu, saya menderita serangan edema pulmonari (pulmonary oedema ) yang teruk. Serangan tersebut berpunca daripada pengumpulan cecair berlebihan di dalam paru-paru yang menyebabkan kesukaran bernafas. Pada hari serangan tersebut, saya berasa penat dan apabila terjaga daripada tidur yang pendek, saya mengalami sesak nafas. Saya menggunakan alat penyedut udara (inhaler), tetapi tidak berkesan. Selepas itu, segala-galanya berlaku dengan pantas - paru-paru saya dipenuhi cecair dan saya amat susah untuk bernafas. Dr Nasir memanggil ambulans, tetapi kemudian membatalkannya selepas memikirkan yang ia akan mengambil masa yang lama untuk sampai. Lalu dia memimpin saya memasuki kereta dan meluru ke hospital. Saya masih ingat yang saya mendengar beliau menyuruh saya bertahan walaupun saya sendiri berasa di antara sedar dan pengsan. Kami berselisih dengan ambulans di pertengahan jalan, tetapi Dr Nasir mengarahkan pemandu kami supaya meneruskan perjalanan kerana beliau sedar yang kami sudah kesuntukan masa. Hasmah memberitahu saya kemudian yang beliau menyangka akan kehilangan saya pada hari itu. Di dalam kereta, Hasmah duduk di depan untuk memberi ruang kepada saya dan Dr Nasir. Hasmah hanya dapat meletakkan tangannya dia atas lutut saya dalam usahanya untuk menenteramkan saya.
 
Di hospital, mereka memaksakan oksigen masuk ke dalam paru-paru saya dan berjaya menstabilkan keadaan saya dalam masa setengah jam. Dr Nasir menghubungi rakan-rakannya di IJN dan pakar bius, Dr Sharifah Suraya Syed Mohd Tahir terbang ke Langkawi dengan membawa semua peralatan yang tidak ada di Hospital Langkawi.     
 
Menjelang waktu itu, boleh dikatakan hampir semua orang Langkawi sudah mendengar apa yang terjadi dan mereka mula berkumpul di hospital. Keesokannya, sewaktu hendak ke Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi dan dalam usaha untuk melepasi orang ramai yang berada di hadapan hospital, Pengarah Hospital telah menggunakan dua buah ambulans - sebuah untuk membawa saya dan sebuah lagi sebagai 'umpan'. Ambulans saya keluar ikut pintu belakang manakala ambulans 'umpan' keluar ikut pintu utama. Apabila saya sampai di lapangan terbang, beberapa orang anak kami tiba dengan penerbangan komensial. Mereka bagaimanapun terpaksa berpatah balik ke Kuala Lumpur menaiki pesawat yang sama.
 
Saya diterbangkan ke Kuala Lumpur menaiki jet swasta. Membawa saya ke atas pesawat itu ternyata sukar kerana tangganya tidak boleh menampung tandu. Jadi saya terpaksa diusung dengan seorang mengampu kepala dan bahu saya manakala seorang lagi mengangkat kaki saya. Disebabkan tidak mahu badan saya membengkok maka pakar fisioterapi saya, Boey Ghod Chee merangkak di bawah badan saya untuk mengampunya sewaktu menaiki tangga pesawat. Saya memerlukan oksigen, tetapi berbahaya untuk terbang pada paras yang tinggi dengan tangki oksigen berada di dalam pesawat. Oleh itu, pesawat terpaksa terbang pada paras yang rendah sepanjang perjalanan.
 
Serangan itu membuatkan saya berasa lemah dan tidak sihat. Saya mula menimbangkan secara serius mengenai nasihat doktor supaya menjalani pembedahan pintasan jantung kali kedua. Pembedahan kedua nanti sudah tentulah mempunyai risiko yang lebih tinggi kerana saya sudah pun berusia 82 tahun. Sebaliknya, kalau saya enggan menjalaninya maka kemungkinan diserang sekali lagi mustahil boleh dielakkan. Akhirnya walaupun pembedahan pintasan koronari kali kedua tidak memberi apa-apa jaminan, saya memutuskan untuk mengambil risiko. Sekali lagi, latihan perubatan yang saya terima tidak membantu memberikan saya keyakinan kerana saya tahu kemungkinan berlaku kerumitan sewaktu pembedahan adalah besar.
 
Saya ada juga memikirkan untuk menjalani pembedahan kedua di luar negara, tetapi sekali lagi saya bimbang tindakan itu akan menyebabkan orang ramai hilang keyakinan kepada doktor kita. IJN membawa masuk seorang pakar perunding dari Klinik Mayo di Amerika Syarikat, tetapi pasukan pembedahan tetap diketuai oleh Dr Yahya dan Dr Rozali sekali lagi.
 
Saya dimasukkan semula ke IJN pada 2 September 2007 dan menjalani pembedahan pintasan kedua dua hari kemudian. Bukan Dr Yahya dan Dr Rozali sahaja ahli pasukan pembedahan tahun 1988 yang terbabit dalam pembedahan kedua, malah boleh dikatakan semua anggota pasukan bekenaan, termasuk jururawat dewan bedah, turut serta. Ada antara mereka telah meninggalkan IJN untuk membuka klinik sendiri, tetapi mereka semuanya kembali membantu.   
 
Dalam proses pemulihan selepas pembedahan, buat seketika saya meracau dan mengalami bermacam-macam mimpi aneh, antaranya menjadi anak seorang Sultan dan bekerja sebagai jurulatih kuda. Kadang-kadang saya berasa seperti berada di tempat lain, misalnya Indonesia, Thailand dan China. Saya bernafas dengan bantuan mesin pernafasan yang menghalang saya daripada menelan dan bercakap. Malah selepas tiub ditanggalkan daripada tenggorok saya, saya masih berasa seolah-olah ia berada di situ dan sukar menelan buat seketika. Disebabkan saya tidak boleh bercakap maka saya cuba berkomunikasi dengan menulis, tetapi sukar mengingati huruf yang betul. Keluarga saya memberikan sebuah papan kekunci untuk membolehkan saya menunjukkan huruf-huruf yang saya mahu, tetapi itu pun sukar bagi saya. Suatu ketika, apabila kehampaan menguasai diri, saya cuba mencabut semua tiub yang ada pada badan saya. Hasmah marah dan mengingatkan saya betapa ramai orang telah bersusah payah bekerja keras menolong saya.                   
 
Saya terkena jangkitan selepas dua minggu berada di ICU. Doktor-doktor yang merawat saya tahu bahawa mereka terpaksa membedah saya semula, tetapi bimbang saya tidak bersetuju. Namun, saya memberikan persetujuan dengan harapan ia akan membantu saya segera pulih dan mengakhiri penderitaan untuk cuba tidur bersama-sama segala macam tiub di leher, tangan, belakang dan dada saya.
 
Saya dibawa masuk semula ke dewan bedah pada 22 September. Walaupun pembedahan berjalan tanpa sebarang masalah, proses pemulihan sekali lagi sukar. Saya dilanda kemurungan dan berasa sangat tidak bermaya untuk meneruskan usaha pemulihan. Jadi, beberapa orang pelawat dibenarkan menemui saya untuk mengembalikan semangat saya. Mereka termasuklah rakan-rakan menunggang kuda; Mufti Perlis ketika itu, Dr Mohd Asri Zainul Abidin dan bekas doktor peribadi saya, Datuk Dr Zainal Hamid. Hasmah turut membantu. Beliau membawa salah satu gambar saya yang paling diminatinya dan sambil menunjukkannya kepada saya, Hasmah berbisik yang beliau telah membawa lelaki itu ke hospital dan beliau akan membawanya pulang semula ke rumah. 
 
Hasmah jarang meninggalkan saya sepanjang berada di hospital. Beliau pulang ke rumah semalam sahaja pada bulan puasa untuk bersama-sama keluarga dan selebihnya beliau bermalam di hospital. Suatu hari, beliau jatuh tertiarap dari kerusinya akibat terlalu penat. Ini menyebabkan keadaan di ICU menjadi kelam-kabut, tetapi Hasmah berkeras mengatakan yang beliau tidak apa-apa dan cuma kepenatan.
 
Keseluruhannya saya menghabiskan masa 49 hari di IJN sebelum keluar pada 20 Oktober.Saya akui yang ada waktunya saya berasa seperti sudah di penghujung hayat. Malah, dari awal lagi saya sudah tahu apa yang menanti di hadapan. Jadi, pada hari saya dimasukkan ke IJN saya telah memberikan kepada Hasmah nombor kod beg bimbit yang mengandungi dokumen peribadi saya. Pada suatu ketika, apabila nampak tanda-tanda yang keadaan saya tidak akan pulih, Hasmah terfikir juga untuk membuka beg tersebut. Bagaimanapun apabila beliau memberitahu Mirzan mengenainya, Mirzan berkata yang masanya belum tiba dan eloklah beg itu tidak diusik.
 
Selepas menjalani dua pembedahan terakhir itu, saya mula memperoleh semula sebahagian besar tenaga saya. Namun, saya tetap mudah penat dan masih kekurangan berat badan. Inilah sekali dalam hidup saya apabila berat badan saya sukar hendak dinaikkan walaupun di negara kita, setiap orang cuba memaksa orang lain makan sehingga tidak boleh bangun.
 
Sewaktu saya menulis buku ini, tiga tahun sudah berlalu sejak pembedahan kedua. Proses pemulihan lebih perlahan daripada pembedahan pertama, tetapi berlaku secara progresif dan saya sekarang sudah cergas sepenuhnya.
 
Saya mula menunggang kuda semula dan menjadikannya kegiatan mingguan. Saya juga berjalan kaki apabila cuaca mengizinkan. Kalau tidak, saya akan menggunakan treadmill. Pada waktu pagi, saya melakukan senaman angkat berat. Pada Februari 2009, saya ke Argentina dan menghabiskan 10 hari menunggang kuda di padang rumput pampas pada setiap pagi dan petang.
 
Saya bekerja di tiga pejabat yang berlainan mulai jam 8.30 pagi hingga 6.00 petang dan sering menghadiri majlis makan. Kebanyakan waktu hujung minggu saya dihabiskan di luar. Saya juga akan ke luar negara sekurang-kurangnya sekali sebulan untuk memberi ceramah.
 
Walaupun sudah dua kali menjalani pembedahan jantung, secara amnya saya menikmati kesihatan yang baik. Ramai orang bertanya berulang kali mengenai stamina saya dan bagaimana saya kelihatan lebih muda daripada usia sebenar. Saya menjawab secara berseloroh bahawa seseorang harus memilih ibu bapanya dengan berhati-hati.
 
Namun, soalan yang sama terus diajukan. Ramai percaya dan menyebarkan kepada orang lain yang kononnya saya menerima suntikan di Switzerland. Seorang wanita menegur saya di sebuah pasar raya dan bertanya adakah benar saya makan ubat berharga RM5,000 sehari. Ramai juga yang pergi ke farmasi di mana saya membeli vitamin dan mereka akan membeli apa sahaja yang saya beli.
 
Akhirnya, saya berjanji kepada mereka yang saya akan memberitahu segala-galanya di dalam memoir ini. Soalnya, apakah yang hendak saya beritahu? Orang akan kecewa kalau saya mula bercakap mengenai penjagaan kesihatan dan kebersihan diri. Mereka mahu sesuatu yang boleh menyelesaikan segala masalah serta-merta, tetapi malangnya tidak ada cara seperti itu. Bagaimanapun, ada perkara tertentu yang boleh membantu kita kelihatan lebih muda daripada usia sebenar.
 
Menjalani kehidupan yang cergas adalah penting untuk semua peringkat usia, terutamanya dalam tempoh persaraan. Setakat yang terdaya, saya cuba mengekalkan rutin kerja. Saya bangun awal untuk solat Subuh. Selepas bersolat, saya bercukur, menggosok gigi dan mandi air suam. Sebelum sarapan, saya membuat beberapa minit pernafasan panjang dan senaman ringan.
 
Sarapan saya juga ringan sahaja dan kemudian saya memulakan hari dengan menulis. Saya berasa kehilangan kalau tidak menulis sesuatu pada awal pagi. Bagi saya, menulis membantu menggerakkan otak dan menajamkan ingatan. Saya jarang melakukan senaman berat, khususnya pada waktu pagi hari bekerja. Saya menggunakan treadmill sekali-sekala, saya tidak berjalan kaki sekerap yang saya inginkan dan saya tidak bermain golf.
 
Kegemaran saya adalah menunggang kuda yang saya pelajari ketika berusia 60 tahun. Ia bermula apabila saya dijemput oleh Allahyarham Presiden Pakistan, Muhammad Zia ul-Haq bagi menyaksikan perarakan Hari Kebangsaan negaranya. Kami pergi ke tempat perarakan dengan kereta dan kemudian menaiki kereta kuda. Kami diiringi oleh pengawal berkuda Pathan yang berpakaian seragam tentera. Saya teruja dengan apa yang saya lihat dan mengambil keputusan untuk membeli dua ekor kuda dari Pakistan. Presiden Zia  mendapat tahu hasrat saya lalu menghadiahkan dua ekor kuda itu kepada saya. Maka saya pun mulalah belajar menunggang kuda di Kelab Menunggang dan Polo Selangor.
 
Perkara pertama yang saya pelajari mengenai kegiatan menunggang kuda adalah duduk tegak dan lurus di atas pelana. Ini sangat penting. Ia bertujuan untuk mengelak kita daripada sakit belakang. Saya fikir, ia turut membantu saya berdiri tegak dan tidak membongkok walaupun usia saya sudah melepasi 80 tahun. Apabila kita bongkok, kita akan nampak tua.
 
Saya juga mempunyai tabiat berjalan seperti orang berkawat. Kebanyakan orang yang berusia 80 tahun umumnya akan berjalan lebih perlahan. Malah, ada yang terketar-ketar dan mengheret kaki. Orang yang lebih muda biasanya suka membantu orang tua bangun, berdiri, berjalan dan memanjat anak tangga. Kadangkala, orang tua pun suka dibantu. Mereka sukakan perhatian dan sikap prihatin anak cucu mereka. Kalau kita membenarkan diri kita dibantu, ia boleh menjadi tabiat. Selagi boleh dan terdaya, eloklah kita cuba mengelak daripada dibantu. Ini membuatkan kita nampak seperti orang muda. Lagipun, ia baik bagi otot dan imbangan kita.
 
Saya juga cuba tidur secukupnya, iaitu enam jam pada waktu malam, dan kalau boleh, di atas katil yang sesuai. Selepas makan tengah hari, saya akan melelapkan mata selama 15 minit sambil duduk di atas kerusi yang selesa dengan menegakkan kepala. Saya membuat rutin yang sama apabila dalam perjalanan atau jika tidak ada apa-apa yang hendak dilakukan. Melelapkan mata sebentar sambil duduk amat penting. Jika kita berbaring, kita akan bangun dalam keadaan terhuyung-hayang dan tidak dapat bekerja.
 
Di samping kemampuan saya mencuri masa untuk melelapkan mata buat seketika, pengalaman saya sebagai seorang doktor turut membantu saya bekerja dalam tempoh waktu yang lama ketika menjadi Perdana Menteri. Selepas tidur sepanjang penerbangan, saya boleh terus bekerja. Lagipun apabila melawat negara asing, saya tidak ada masa untuk berehat. Sebaik sahaja turun kapal terbang, saya akan terus bertugas. Kalau nasib baik, bolehlah berehat sebentar sementara menunggu pagi.
 
Yang lebih penting, kita mesti bersenang hati kalau mahu kelihatan muda. Kegembiraan bercinta adalah yang paling nyata. Memanglah sukar untuk berasa gembira setiap masa, tetapi kalau kita bersyukur dengan apa yang kita nikmati setiap kali bangun pagi, kita akan berasa gembira. Memanglah ada masalah yang perlu diatasi dan kesedihan untuk dirasai, namun tentu ada sesuatu yang boleh membuatkan kita gembira. Bagi saya, sejak dulu dan lebih-lebih lagi sekarang, dapat bangun setiap pagi adalah anugerah paling besar.
 
Jadi, saya tidak ada rumusan khas untuk kelihatan lebih muda daripada usia saya. Orang yang mengharapkan saya agar memberitahu mereka nama bahan awet muda (elixir) untuk kelihatan muda yang saya guna, akan berasa hampa kerana saya tidak ada ramuan itu. Hakikatnya, ia tidak wujud pun.

No comments:

Post a Comment