Monday, April 3, 2017

Perintah Allah Bukan Lapuk


Rusa bangga melihat bayang-bayang dirinya di dalam tasik yang jernih. Betapa tegap tubuhnya dan alangkah cantik tanduknya. Namun ia malu dengan kehodohan tapak kakinya.

Suatu hari ketika sedang makan di sebuah lembah yang subur, seekor harimau tiba-tiba muncul dari sebalik semak. Rusa lari lintang-pukang menyelamatkan diri.

Dengan sehabis kudrat ia meredah pokok, duri dan onak yang menyakitkan badan. Tiba-tiba tanduknya tersangkut di pokok, cuba ditarik sehabis daya namun gagal. Ia menangis dan menyesal.

"Wahai tanduk yang kubanggakan, kerana kau aku tersangkut dan akan mati. Wahai kaki yang aku benci, kaulah yang bertungkus-lumus membantu aku menyelamatkan diri."

Harimau menerjah. Kaki rusa sehabis kudrat menendang harimau.... terus menerus bergelut hingga ke saat harimau membenamkan taringnya ke tengkuk rusa.

Kaki buruk yang dianggap tidak berguna itu berjasa sampai ke akhir...

(Ustazah Norhafizah Musa)

=========


Dalam dunia fana ini, kita bangga dengan kemuliaan, pujian, harta dan nama, yang di dalamnya ada dosa dan maksiat. Kita lupa itu semua bakal menyebabkan kita menderita di akhirat.

Kita malu dengan sunnah Nabi s.a.w., malu menjalankan perintah Allah kerana menganggapnya lapuk dan tidak selari dengan kehendak masyarakat moden.

Tetapi, sunnah dan perintah itulah tiket untuk menikmati kebahagiaan sebenar di alam yang abadi. Berbaloi kita bersusah payah sekarang untuk mendapatkannya.

Teruslah berbuat baik dan beramal soleh sehingga kita kembali kepada-Nya.

No comments:

Post a Comment