Saturday, April 29, 2017
Patung: Antara Protestan Dan Katolik
Sebelum agama Kristian menjadi agama pemerintahan Rom, masyarakat Rom sudah beragama dengan paganisme. Mereka percaya kepada dewa Mithra, Sol Invictus, Jupiter, Apollo dan lain-lain. Pada zaman paganisme ini, masyarakat Rom sudah begitu sinonim dengan pengukiran dan penyembahan patung hasil daripada pengaruh Hellenisme.[1]
Hellenisme terkenal dengan budaya pemahatan patung. Malah di dalam sejarah sudah merakamkan sejarah pembinaan patung di India (Bachtrian Buddhism), dan juga kemerosotan agama Zoroaster di Parsi (Sellucid) adalah banyak pengaruh daripada Hellenisme yang dibawa oleh Yunani.
Apabila datangnya agama Kristian yang dibawa oleh orang terkemudian selepas Jesus, ia disebar oleh pengikut Saint Paul, lalu akhirnya menjadi agama rasmi di dalam pemerintahan Rom, dari situ ia mula di asimilasikan ke dalam kepercayaan paganisme di Rom lalu berlaku sinkretisme diantara ajaran Kristian dan juga paganisme. Salah satu kesannya adalah pengukiran patung-patung di dalam Gereja. Tradisi patung ini diteruskan oleh gereja Katolik khususnya. Mereka membuat patung dari kalangan saint (wali) mereka dan juga patung Jesus serta Mary.[2]
Pada asalnya mereka (golongan Kristian) sudah maklum bahawa Jesus tidak pernah membawa konsep pemahatan patung. Jika dibaca di dalam Perjanjian Baru, tidak ada satupun ayat yang menjurus ke arah itu. Malah pada zaman Jesus, rumah ibadat mereka adalah ‘Synagogue’ (rumah ibadat Yahudi) yang tidak ada patung-patung. Ini kerana perkara itu bercanggah dengan ajaran Taurat dan Perjanjian Lama yang melarang mengukir patung.[3]
Akan tetapi penganut Kristian Katolik tidak mengendahkan perintah itu. Mereka membuat patung-patung sehinggalah perkara itu menjadi konflik besar yang menjadi serangan kepada golongan yang menyokong revolusi agama Kristian pada abad ke 15 M. Martin Luther antara tokoh yang terkenal di dalam mazhab Protestan yang mengkritik keras amalan pembinaan patung di dalam mazhab Katolik. Martin Luther berkata:
“Anything that one imagines of God apart from Christ is only useless thinking and vain idolatry.”[4]
“Superstition, idolatry and hypocrisy have ample wages, but truth goes a begging.”[5]
Malah di dalam mazhab Protestan menganggap perbuatan menghormati patung adalah satu dosa.[6] Dan antara salah satu perkara yang membezakan diantara kedua mazhab ini adalah pembinaan patung di gereja. Golongan Protestan tidak membenarkan untuk mengukir patung malah lambang salib mereka juga ‘kosong’ tidak sama seperti lambang salib dalam Katolik yang ada ukiran Jesus yang disalib. Golongan Protestan berhujah mengatakan perbuatan mengukir patung adalah dilarang di dalam Bible:
Jangan ada padamu tuhan lain di hadapan-Ku. Jangan membuat bagimu patung yang menyerupai apapun yang ada di langit di atas, atau yang ada di bumi di bawah, atau yang ada di dalam air di bawah bumi. Jangan sujud menyembah kepadanya atau beribadah kepadanya, sebab Aku, Tuhan, adalah tuhan yang cemburu, yang membalaskan kesalahan bapa kepada anak-anaknya, kepada keturunan yang ketiga dan keempat dari orang-orang yang membenci Aku. (Keluaran 20: 3-5)
“Hati-hatilah, supaya jangan kamu melupakan perjanjian Tuhan, yang telah diikat-Nya dengan kamu dan membuat bagimu patung yang menyerupai apapun yang oleh Tuhan, dilarang kau perbuat.” (Ulangan 4: 23)
"Janganlah kamu membuat berhala bagimu, dan patung atau tugu berhala janganlah kamu dirikan bagimu; juga batu berukir janganlah kamu tempatkan di negerimu untuk sujud menyembah kepadanya, sebab Akulah Tuhanmu.” (Imamat 26: 1)
“Janganlah engkau sujud menyembah kepada tuhan mereka atau beribadah kepadanya, dan janganlah engkau meniru perbuatan mereka, tetapi haruslah engkau memusnahkan sama sekali patung-patung berhala buatan mereka, dan tugu-tugu berhala mereka haruslah kau remukkan sama sekali.” (Keluaran 23:24)
Di dalam Perjanjian Lama begitu jelas melarang pengukiran patung. Malah mengarah untuk memusnahkan patung-patung yang menjadi penghormatan di dalam agama lain. Selain itu juga, di dalam Perjanjian Baru juga melarang mengenai patung:
“Atau tidak tahukah kamu, bahawa orang-orang yang tidak adil tidak akan mendapat bahagian dalam Kerajaan tuhan? Janganlah sesat! Orang cabul, penyembah berhala, orang berzina..” (1 Korintus 6: 9)
“Anak-anakku, waspadalah terhadap segala berhala.” (1 Yohanes 5:21)
Walaupun dikemukakan hujah yang sejelas itupun, golongan Katolik tidak mengendahkannya malah mereka beralasan bahawa perbuatan membina patung itu ada kebaikannya walau tidak diajar oleh Bible. Antaranya adalah mereka beranggapan bahawa mereka tidak menyembah patung itu tetapi menghormati peribadi yang dipatungkan itu. Selain itu juga mereka menggunakan alasan bahawa patung itu hanya sekadar lambang yang membantu untuk mengarah hati kepada tuhan.
Isu ini masih diperdebatkan oleh golongan Katolik dan Protestan sehingga pada hari ini. Di dalam Katolik masih berpegang ia adalah amalan tradisi masyarakat Yunani terdahulu disampin mencari hujah untuk membenarkan pengukiran patung di dalam gereja. Manakala Protestan di dalam isu ini membangkitkan ayat-ayat larangan terhadap perkara itu dan mengajak kembali kepada sejarah awal Jesus yang tidak memperkenalkan perkara itu.
Kesimpulan
Asal agama tidak membenarkan mengukir patung. Akan tetapi apabila sesuatu agama itu disinkretisme dengan amalan lain maka ia membentuk banyak penyimpangan dari ajaran teks asal. Begitu juga berlaku kepada golongan Protestan yang cuba untuk kembali memahami teks asal di dalam masalah ini akan tetapi tidak dipedulikan oleh golongan Katolik kerana mereka memiliki alasan tersendiri. Walaupun mereka berbeza di dalam soal pembuatan patung dan sebagainya akan tetapi aqidah ketuhanan mereka tetap sama iaitu mempercayai Jesus, tuhan bapa dan roh kudus adalah tuhan dalam satu atau triniti (Athanasian Creed).
Jika dilihat kembali kepada hujah golongan Protestan terhadap isu patung ini timbul beberapa persoalan yang melibatkan konteks hujah serangannya terhadap isu ini. Mereka beralasan pengukiran patung ini tidak dianjurkan oleh Bible dan ia juga tidak dibuat oleh Jesus.
Sebenarnya di dalam Bible juga jelas mengatakan Tuhan itu esa atau tunggal seperti di dalam Ulangan 6: 4, Markus 12: 29 dan tidak ada satupun ayat yang mengatakan Jesus itu adalah tuhan. Malah di dalam Bible sendiri tidak ada konsep triniti. Persoalannya, jika dilihat kembali kepada logik konteks penolakkan terhadap pengukiran patung maka meraka juga perlu menolak konsep triniti ini.
Ini antara perkara yang boleh diperbincangkan secara ilmiah di antara golongan Kristian dan juga Muslim kerana umat Islam juga beriman kepada Jesus atau nabi Isa. Dalam Islam Jesus adalah seorang rasul dan bukan tuhan.[7] Semoga Allah memberi hidayah kepada kita semua.
Nota Kaki:
[1] Lihat Diarmaid MacCulloch, (2009). A History of Christianity, Penguin Books, London, hlm 37-40
[2] Lihat Alister E. McGrath, (2015). Christianity An Introduction, Wiley Blackwell, UK, hlm 122-126
[3] Lihat Ulangan 4: 23, Imamat 26: 1, dan Keluaran 23:24
[4] Lihat Daniel Whyte, III, (2007). Just Jesus!: The Greatest Things Ever Said About the Greatest Man Who Ever Lived, Torch Legacy Publictions, USA, hlm 129
[5] Lihat Martin Luther, Alexander Chalmers, (-). The Table Talk of Martin Luther, H.G Bohn, York Street, Covent Garden, hlm 25
[6] Lihat Devin Rose, (2014). The Protestant’s Dilemma, Chatholic Answers Press, San Diego, hlm 56
[7] Surah an Nisa 171, al Maa’idah 116
R&D TEAM MRM
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment