Wednesday, April 19, 2017

Bahagia Bila Membahagiakan Orang Lain


Wanita bergelar Puan Sri itu cantik dan bergaya. Namun dia tidak bahagia. Hidupnya kosong tanpa erti. Diadukan perihal dirinya kepada seorang kaunselor. Kaunselor itu memanggil Makcik Aminah, si tukang cuci masuk ke pejabatnya.

Selepas Makcik Aminah duduk, kaunselor itu meminta dia menceritakan hal dirinya.

"Sebenarnya suami saya meninggal dunia kerana kanser. Anak tunggal saya pula mati kemalangan. Saya sebatang kara dan tak berharta. Sedih sangat, makan tak lalu, tidur pun tak lena.

"Suatu hari ketika pulang dari kerja, seekor kucing ikut mengekori. Saya rasa kasihan dan memberinya minum susu. Selepas kenyang, kucing itu menggeselkan badannya ke kaki saya, mungkin itu caranya menunjukkan rasa terima kasih. Saya rasa tenang dan senang."

"Malam itu saya terfikir, kalau tolong kucing pun boleh membuat saya rasa senang, apa lagi kalau saya menolong manusia. Keesokannya saya buat kuih dan sedekahkan pada jiran yang suaminya kurang sihat. Saya gembira melihat mereka berdua ceria."

"Sejak hari itu saya berusaha beri apa jua bantuan, sama ada wang, makanan yang saya sediakan sendiri ataupun tenaga kepada jiran dan juga komuniti. Saya bahagia dapat berkongsi apa yang saya ada dengan orang lain."

Mendengarkan kisah Makcik Aminah, Puan Sri rasa sebak. Dia ada segala-galanya tetapi hanya mementingkan diri dan golongan yang sama sepertinya. Sentiasa bersaing "siapa lebih kaya, lebih bergaya, lebih hebat". Hidupnya penuh kepura-puraan.

Kini dia sedar kebahagiaan datang apabila dapat membahagiakan orang lain. Sikap diri sendiri lebih penting daripada apa yang ada di sisi.

============

Ada di tangan, tiada di hati.
(Orang kaya tetapi zuhud. Sangat susah ditemui)

Ada di tangan, ada di hati.
(Orang kaya dan tidak zuhud. Biasa sangat ditemui)

Tiada di tangan, tiada di hati.
(Orang miskin tetapi zuhud. Jarang-jarang ditemui)

Tiada di tangan, ada di hati.
(Orang miskin tetapi tidak zuhud. Selalu ditemui)

No comments:

Post a Comment