Tuesday, January 13, 2015
Sebab Bencana Menimpa
Seorang ahli hikmah, Ibn Ataillah Askandari pernah berkata, “Apabila Allah menguji orang Islam dengan tragedi, maka mereka mesti MELIHAT DENGAN MATA HATI dan MEMIKIRKAN DENGAN AKAL, agar tercungkil hikmahnya. Jika tidak, itu petanda penglihatan hati tidak jauh, akal yang pendek.”
BENCANA adalah SEBAHAGIAN UJIAN yang tidak dapat dihindari kerana HIDUP ini hakikatnya adalah UJIAN. Apabila sanggup hidup, mesti sanggup diuji. Firman Allah: “Dia yang menjadikan mati dan hidup adalah untuk menguji siapakah dalam kalangan kamu yang TERBAIK AMALANNYA.” (Surah Al Mulk ayat 2).
Manusia tidak suka musibah kerana bentuknya yang negatif seperti kematian, kesakitan, kemiskinan, ketakutan, kegagalan, kesedihan, bencana dll. Musibah menimpa semua manusia tidak kira sama ada yang baik atau yang jahat. Cuma bagaimana keadaan seseorang semasa dia ditimpa musibah dan bagaimana dia menghadapi musibah itu menentukan darjatnya di sisi Allah. Firman Allah: “Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal perkara itu amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal perkara itu amat buruk bagimu. Allah mengetahui, sedangkan kamu tidak mengetahui. (Surah al Baqarah ayat 216).
Orang yang beriman yakin setiap perintah Allah itu semuanya bermaksud baik belaka dan yakin dengan hikmah di sebaliknya:
1. Sebagai KAFARAH untuk menyucikan diri orang-orang baik yang terbuat jahat akibat kelalaian dan tidak mampu melawan hawa nafsu.
2. Sebagai IBTILA’ ke atas orang baik yang buat baik supaya dia mendapat pahala berganda (pahala syahid, pahala sabar, pahala pemaaf, pahala bersangka baik) yang meninggikan darjatnya.
3. Sebagai BALA ke atas orang jahat yang membuat jahat akibat memutuskan hubungan dengan Allah. Mereka dihukum di dunia sebelum dihukum dengan lebih berat di akhirat.
4. Musibah menguji dan menguatkan IMAN seseorang mukmin.
5. Melatih diri supaya SABAR.
6. Supaya manusia lebih DEKAT dengan Allah.
7. Mungkin Allah RINDU hendak mendengar rintihan hamba-Nya.
8. Indikator bahawa ALLAH MAHA PERKASA dan manusia pula hamba yang sangat lemah dan tidak berdaya dalam apa jua.
9. Musibah meletakkan manusia berada dalam keadaan TAWADUK, menjadikan DOA serta TAUBAT betul-betul IKHLAS.
10.MEMBANGKITKAN orang yang LALAI dengan nikmat dunia.
11.Supaya manusia yang melakukan KEROSAKAN pada alam sekitar dapat mengambil pengajaran akibat perbuatan mereka.
12.Kadangkala orang yang ditimpa musibah itu adalah akibat perbuatan orang lain. Keadaannya kini dikira orang yang TERANIAYA.Maka Allah merahmatinya dengan mengurniakan DOA yang MAKBUL.
13.Musibah adalah SUMBER PAHALA bagi mereka yang memberi khidmat kebajikan kepada manusia lain.
14.Musibah menunjukkan bahawa dunia ini hina dan tiada apa-apa jika dibandingkan dengan akhirat. DUNIA hanya JAMBATAN ke syurga atau neraka.
15.Musibah adalah PILIHAN ALLAH bagi hamba-Nya dan ia adalah yang terbaik.
Begitulah besarnya hikmah musibah, zahirnya negatif tetapi secara tersirat amat positif. Rasulullah s.a.w. bersabda: “ Perumpamaan orang yang beriman apabila ditimpa ujian, bagai besi yang dimasukkan ke dalam api, lalu hilanglah karatnya (tahi besi) dan tinggallah yang baik sahaja.” Baginda juga bersabda: “ Sungguh mengagumkan urusan seorang Mukmin, semua perkara (yang terjadi pada ) dirinya selalu baik untuknya. Kalau mendapatkan kesenangan, dia terus bersyukur. Maka itu sangat baik untuknya. Dan kalau tertimpa musibah, dia terus bersabar. Dan ini pun menjadi baik untuknya.”
Allah berfirman: “Hanyasanya ucapan orang yang beriman apabila diseru kepada Allah dan Rasul-Nya supaya melaksanakan hukum antara mereka, mereka berkata, ‘Kami dengar dan kami taat.’ Mereka itulah orang yang berjaya.” (An Nur ayat 51)----------“(Iaitu) orang yang apabila ditimpa kesusahan, mereka berkata, ‘ Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali’” (Al Baqarah ayat 156).
Begitulah respons orang yang beriman. Namun begitu, mengapa masih ramai manusia tidak patuh kepada perintah dan tidak sabar dengan musibah. Puncanya kerana kurang ilmu dan lemah iman. Dengan ilmu, akan terserlah hikmah dalam setiap musibah dan dengan iman, hati boleh ditenteramkan dengan mengingati Allah. Dalam suatu hadis qudsi, Allah menegaskan: “Wahai anak Adam, jika engkau sabar dan mencari keredhaan pada saat musibah yang pertama, maka Aku tidak meredhai pahala selain syurga.” (HR Ibn Majah no. 1597).
Tidak salah bersedih dengan musibah. Tidak salah berasa derita ketika mentaati perintah Allah. Namun jangan membantah dengan sombong. Dan jangan bersedih secara keterlaluan.Alangkah malang jika seorang anak yang sedang sakit meluahkan ubat yang disuapkan oleh ibunya bagi menyembuhkan dia. Malah lebih malang lagi jika seorang hamba menolak hikmah musibah yang dikurniakan oleh Allah. Hamba itu akan menderita dua kali. Pertama, menderita ketika musibah itu. Kedua, kerana terluput dan tercabutnya hikmah di sebalik musibah itu.
Carilah dan temuilah hikmah musibah. Sesungguhnya ada JANNAH (syurga) di sebalik musibah.
(Ringkasan artikel “Hikmah Musibah” dalam Solusi #19. Ibrah dari peristiwa tsunami 26 Disember 2004)
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment