Sunday, January 18, 2015
Imam Nawawi
Selama lebih 4 tahun beliau makan roti kering dan minum air putih. Tidak ada waktu untuk makan yang sedap kerana sibuk belajar. Buah-buahan yang melambak di pasar-pasar Damsyik pun jarang beliau makan kerana bimbang yang beliau makan itu adalah buah-buahan hasil dari tanah wakaf milik umat Islam. Cerita tentang karamah beliau memenuhi buku-buku yang menceritakan tentang karamah Ulama. Antara lain disebut bahwa ketika menulis di malam hari, cahaya memancar dari hujung jari-jarinya sehingga menerangi tempat beliau menulis. Beliau meninggal dunia pada usia yang sangat muda,umur yang sangat produktif iaitu 45 tahun. Beliau adalah Imam Hafez Muhayeddin Abu Zakarya Yahya bin Syaraf Nawawi, yang lebih dikenal sebagai Imam Nawawi. Beliau mengambil nisbah kampung beliau iaitu Nawa, sebuah desa di Dar’a di selatan Damsyik. Beliau lahir di Nawa (1233 M). Beliau belajar, mengajar dan menulis karya-karyanya di Damsyik. Sebelum wafat beliau kembali ke kampungnya di Nawa dan mengakhiri usianya di kampung itu. Karyanya luar biasa. Hampir lebih dari 20 buah. Di antara yang termasyuhur adalah Syarh Sahih Muslim sekitar 12 jilid, Majmu Syarh Muhazzab 20 jilid, dan yang paling fenomenal menjadi Best Seller sepanjang masa adalah “Riyadhus Shalihin” yang diterjemahkan ke dalam puluhan bahasa dunia.
Meskipun sangat muda, di kalangan ulama sezamannya beliau sangat dihormati sebagai seorang Ulama teladan.Pernah suatu ketika, Sultan yang berkuasa di Damsyik sedang bersiap sedia hendak memerangi Tartar. Kerana ekonomi negara sudah menjunam, Sultan berusaha mengumpulkan dana membiayai perang dengan mengambil cukai dari rakyat. Para Ulama dikumpul untuk ditanyakan pendapat. Semua ulama setuju bahawa itu dibolehkan secara syariat. Ketika itu Imam Nawawi tidak hadir. Sultan pun memanggil Imam Nawawi dan menanyakan pendapat beliau.Beliau menjawab, "Saya setuju bila semua emas yang ada di istana dan seluruh perhiasan yang dipakai dayang-dayang Istana dikumpulkan, jika tidak mencukupi, baru boleh mengambil cukai dari rakyat”. Kebijakan Pemerintah harus menguntungkan masyarakat, harus memberi kemudahan kepada masyarakat, bukan untuk keuntungan peribadi, apalagi golongan asing."
Sungguh malang sekali apabila 7 Januari 2015 lalu, kubur beliau dihancurkan dengan bom yang ditanam di dalam kubur tersebut. Pada 2008, di atas kuburnya ada sebatang pohon yang sudah tua dan tidak berdaun. Pohon itu masih segar, dan kalau ditoreh batangnya terlihat seperti pohon yang masih hidup. Rahimallah Imam Nawawi, meskipun maqammu hancur namun Kitab Riyadus Sholihin masih utuh terjaga di hati para pelajar. Dari Abu Hurairah, Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda,Allah Ta’ala berFirman:
إِنَّ اللَّهَ قَالَ مَنْ عَادَى لِى وَلِيًّا فَقَدْ آذَنْتُهُ بِالْحَرْبِ
"Barangsiapa memerangi wali (kekasih)-Ku, maka Aku akan memeranginya." Semoga Allah membalas kebiadaban perosak kedamaian. [Siti Nurbaya Osman]
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment